Memaparkan catatan dengan label SIDANG DUN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label SIDANG DUN. Papar semua catatan

Selasa, 25 Ogos 2020

ADUN Ayer Hangat Speaker DUN Kedah baharu

azrulhakimie

 

Juhari ganti Datuk Ahmad Kassim letak jawatan 15 Ogos lepas

ALOR SETAR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat Juhari Bulat hari ini dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang baharu.

Pelantikan beliau dibuat pada sesi persidangan DUN di sini bagi menggantikan Datuk Ahmad Kassim yang meletak jawatan pada 15 Ogos lepas.

Juhari sebelum ini merupakan Timbalan Speaker DUN bermula 4 Julai 2018 yang dilantik ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Turut dilantik hari ini, ADUN Pantai Merdeka Ahmad Fadzli Hashim sebagai Timbalan Speaker yang baharu.

Terdahulu sidang DUN sedikit tegang apabila Ketua Pembangkang Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi mempertikaikan pelantikan speaker yang didakwa tidak mengikut prosedur yang betul.

Phahrolrazi mendakwa ahli dewan tidak menerima notis kekosongan jawatan speaker.

Sidang DUN kali ini yang berlangsung dua hari hingga esok adalah kali pertama di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah yang mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada PH pada Mei lepas.

Pada 17 Mei lalu, ADUN Jeneri Muhammad Sanusi Md Nor mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Kedah menggantikan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir yang sebelum itu meletak jawatan susulan hilang sokongan majoriti ADUN. – Bernama

Jumaat, 17 Julai 2020

PN Khianat Rakyat? Dulu Lompat Ke Parti Amanah Tak Khianat Ke, Soal Adun PAS

Hasil carian imej untuk FOTO SAARI SUNGIP
Saari Sungib

SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Saari Sungib tidak reda dengan pertukaran kerajaan Persekutuan sekarang kerana menganggap Perikatan Nasional (PN) telah mengkhianati mandat rakyat.

Kata Ketua Parti Amanah Negara (Amanah) Gombak itu, amat jelas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kira-kira dua tahun lalu, rakyat telah memberi kepercayaan kepada Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan bagi menumbangkan Barisan Nasional (BN).

“Saya rayu kepada Tuanku (Yang di-Pertuan Agong), fahamilah hati budi rakyat. Apa yang berlaku (pertukaran PH kepada PN sebagai kerajaan Persekutuan) itu tidak betul.

“Kita kena faham, (sistem) demokrasi ini bukan saja proses, ia ada adabnya,” katanya membahas usul Pakej Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor pada Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor ke-14 hari ini.

Bagaimanapun, ADUN Sijangkang dari Pas, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi bangun mencelah mengemukakan pertanyaan kepada Saari, adakah tindakannya yang sebelum ini bertanding atas tiket Pas kemudian melompat ke parti Amanah tidak mengkhianati mandat rakyat?

Hasil carian imej untuk FOTO Dr. Ahmad Yunus Hairi

Dr. Ahmad Yunus Hairi

“Dahulu YB (Saari) menang pilihan raya umum di kerusi DUN Hulu Kelang atas tiket Pas selepas itu lompat ke parti Amanah ketika itu. Tidakkah itu dinamakan mengkhianati mandat rakyat?” soal Dr. Ahmad Yunus.

Namun, Saari dengan tegas mengakui beliau bertanding atas tiket Pas tetapi hatinya ketika itu membawa aspirasi PR.

Katanya, tindakannya tidak salah kerana Presiden Pas pada waktu itu pun cenderung kepada PR sehingga membawa kepada gabungan parti berkenaan dengan PKR dan DAP.

Sesi perbahasan yang lari dari topik asal itu kemudian tegang apabila Ketua Pembangkang, Rozam Ismail memberitahu, pembentukan kerajaan PN bukan mengkhianati mandat rakyat sebaliknya disebabkan tindakan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan.

Ujar beliau, selepas peletakan jawatan itu, Yang di-Pertuan Agong memanggil setiap Ahli Parlimen untuk mendapatkan sokongan sama ada Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Selepas Tuanku selesai menemuduga setiap Ahli Parlimen dan mendapat yang menyokong Muhyiddin mendapat majoriti, maka Yang di-Pertuan Agong memperkenankan Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) itu sebagai Perdana Menteri kelapan.

“Tidak adil kalau PH menuduh PN kerajaan pintu belakang atau kerajaan mengkhianati rakyat. Kerana kalau Tun Dr. Mahathir tidak meletak jawatan, pertukaran kerajaan tidak berlaku. Kenapa tiba-tiba salahkan UMNO?” soalnya.

Kata Rizam, kalau PH mahu bercakap mengenai mandat, BN paling banyak memenangi kerusi berbanding semua parti yang bertanding.

“Kalau ikut mandat, BN paling banyak dapat kerusi, PH bentuk kerajaan kerana gabungan antara PKR, DAP, Amanah, Warisan dan Bersatu,” ujar beliau.

Rabu, 3 Jun 2020

Sultan Ibrahim beri amaran bubar DUN Johor

MALAYSIAKINI
 
Malaysiakini
 
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memberi amaran kepada wakil rakyat di negeri itu bahawa baginda akan membubarkan Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan sekiranya perebutan kuasa berterusan.

Melalui satu catatan di Facebook, baginda bertitah bahawa dirinya tidak akan membiarkan Johor dikucar-kacirkan.

“Jika berlaku lagi perebutan kuasa di kalangan wakil rakyat, saya akan bubarkan Dewan Negeri Johor serta merta.
“Saya akan berikan peluang kepada rakyat negeri Johor untuk memilih wakil mereka yang baharu, dan saya harap kali ini pilihlah pemimpin yang betul-betul ingin berkhidmat untuk rakyat dan negeri, bukan untuk parti atau diri sendiri,” titah baginda.

Perkara 23 perlembagaan negeri Johor menyebut baginda mempunyai kuasa untuk memulakan dan menangguhkan DUN, tetapi atas nasihat.

Begitu juga dengan Perkara 23(2) yang menyebut baginda mempunyai kuasa untuk membubarkan pada peringkat pertengahan, walaupun DUN belum berakhir, tetapi juga atas nasihat dan ini tertakluk kepada Perkara 7(1).

Pada hantaran di Facebook itu, sambil menzahirkan rasa amat kecewa baginda dengan kemelut politik yang masih berlaku di negeri ini, titahnya, ada pemimpin yang gila kuasa dan terus merebut jawatan demi kepentingan diri.

“Dalam keadaan rakyat yang sedang susah sekarang, mereka langsung tidak peduli dan sanggup menambah lagi derita rakyat.

“Saya tidak boleh tengok rakyat saya menderita, dan tidak akan biarkan negeri saya dikucar-kacirkan.

“Saya telah bersumpah untuk menjaga dan membela nasib rakyat dan negeri saya pada setiap masa,” titahnya.
Pakatan Harapan Johor mendakwa bahawa mereka mempunyai jumlah kerusi yang mencukupi untuk merampas semula negeri itu, setelah Perikatan Nasional mengambil alih pada bulan Februari lalu.

PN hanya mempunyai 29 kerusi DUN di Johor, berbanding 27 dari PH.

Pembelotan seorang sahaja Adun PN akan menyaksikan DUN Johor tergantung.

Rabu, 13 Mei 2020

Pelantikan Speaker DUN Melaka sah, ikut prosedur'

hmdigital

DR Ramlah

SEMUA pihak perlu menerima keputusan pelantikan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka yang baharu kerana prosedur lantikan dilakukan secara sah.

Pakar Sejarah dan Perlembagaan, Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, lantikan Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka kelmarin, mengikut Undang-undang Tubuh Negeri serta Peraturan Mesyuarat seperti yang dinyatakan oleh Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali, kelmarin.

Katanya, dakwaan kononnya kaedah pelantikan itu tidak sah adalah tidak benar kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada Perikatan Nasional (PN) menjadi majoriti dalam Dun Melaka ketika ini.

"Saya difahamkan tiada seorang pun Adun pembangkang ketika undian dibuat, namun ia tidak menjadi masalah kerana jika mereka (pembangkang) ada pada ketika itu pun, usul yang dikemukakan oleh pihak kerajaan akan menang.

"Bagi saya, kerajaan negeri menerusi Penasihat Undang-Undang (Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas) sudah pasti melakukan yang terbaik untuk melancarkan perjalanan Sidang Dun kali ini kerana ia adalah berkaitan undang-undang dan bukan perkara yang boleh dipermainkan," katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Ramlah berkata, Speaker sebelum ini, Datuk Wira Omar Jaafar sepatutnya meletak jawatan ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan dan negeri tumbang pada Februari lalu.

"Apabila berlaku pertukaran kerajaan, sudah pasti kerajaan semasa akan melantik Speaker dalam kalangan pihak yang cenderung kepadanya.

"Kenapa dia mahu meneruskan khidmat kepada pihak yang tidak melantiknya. Sepatutnya dia (Omar) letak jawatan dan bersama dengan kerajaan PH Melaka (yang tumbang pada awal Mac lalu)," katanya.

Beliau mengulas kekecohan yang berlaku pada Sidang Dun Melaka, pagi kelmarin, susulan cadangan pertukaran Speaker oleh wakil rakyat kerajaan yang diterajui PN.

Omar yang didakwa sudah hilang sokongan majoriti menolak usul yang dikemukakan dan memutuskan untuk menangguhkan persidangan hingga ke satu tarikh kelak.

Bagaimanapun, wakil rakyat kerajaan kemudian meneruskan Sidang Dun dengan dipengerusikan sementara oleh Datuk Wira Ghazale Muhamad (BN-Rim) tanpa kehadiran wakil pembangkang dan melantik Ab Rauf sebagai Speaker yang baharu.


Selasa, 12 Mei 2020

DUN Perak lantik bekas adun Umno speaker baru

Dewan Undangan Negeri Perak hari ini melantik Mohammad Zahir Abdul Khalid
dari Umno sebagai speaker dan Khalil Yahaya dari PAS sebagai timbalan. (Gambar
Facebook)

PETALING JAYA: Dewan Undangan Negeri Perak hari ini melantik seorang bekas wakil rakyat Umno sebagai speaker baru.

Mohammad Zahir Abdul Khalid, dahulunya Adun Kamunting, menggantikan ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham dari DAP, dengan sokongan 35 daripada 59 wakil rakyat.

“32 Adun kerajaan dan 3 Bebas setuju usul untuk mengosong kerusi speaker…Zahir seorang yang berpengalaman dalam sidang DUN, bekas exco Perak, dan seorang pengamal undang-undang,” kata Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu.

Faizal membentangkan usul melantik speaker baru pada mesyuarat pertama tahun ke-3 DUN Perak bagi penggal ke-14 hari ini. Usul dikemukakan pada 4 Mei, iaitu 2 minggu sebelum pembukaan DUN.

Beliau akui berlaku perbalahan antara wakil rakyat pemerintah dan pembangkang ketika usul dibentang, tetapi Pakatan Harapan terpaksa terima memandangkan Perikatan Nasional mempunyai majoriti sokongan.

Kerajaan PH tumbang di Perak pada 9 Mac selepas 7 wakil rakyat mereka menyokong pembentukan PN, yang dapat membentuk majoriti dengan 35 Adun.

Mohammad Zahir Abdul Khalid

Sementara itu, Adun Kubu Gajah, Khalil Yahaya dari PAS dilantik sebagai timbalan speaker.

Zahir pada sidang media memberi jaminan beliau bukan speaker “dewan PN”.

“Saya speaker DUN Perak dan akan cuba berlaku adil dan saksama kepada semua adun-adun dan memastikan semua berjalan tertib,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kepada speaker dan timbalannya yang lepas kerana menjalankan tugas dengan baik.

Situasi tegang sidang DUN Melaka dijangka berulang di Perak esok

 
Malaysiakini
 
 
Pakatan Harapan (PH) Perak bimbang Persidangan DUN negeri yang akan berlangsung selama sehari esok bakal menyaksikan kerajaan negeri Perikatan Nasional (PN) tidak mengikut Peraturan Tetap Dewan dalam memilih speaker.

Kebimbangan itu hadir selepas PN Melaka yang mengadakan sidang DUN hari ini telah memilih speaker mereka sendiri setelah pengumuman persidangan ditangguhkan.

Bercakap kepada Malaysiakini, Timbalan Speaker Perak Aminuddin Zulkupli mengesahkan bahawa terdapat usul untuk menggantikan Speaker Ngeh Koo Ham dan beliau sendiri yang telah dihantar ke pejabat speaker.

Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa usul tersebut gagal memenuhi syarat notis tujuh hari yang dinyatakan dalam Peraturan Tetap Dewan.

Beliau menambah, dewan boleh menolak usul yang bertentangan dengan Peraturan Tetap Dewan.

Aminuddin turut berkata beliau tidak pasti dengan nasib usul yang dibawa oleh PN kerana perkara tersebut diuruskan oleh speaker.

Aminuddin, yang juga merupakan Adun Behrang menasihati PN supaya tidak terburu-buru terhadap usul untuk menggantikan speaker dan timbalan speaker esok.

Ditanya bagaimana untuk mengelakkan kekecohan di sidang DUN Melaka, beliau berkata: "Semua orang boleh mengaku bijak, kerbau pun ada otak kan, apa yang bezakan kita ini maruah, kalau kita ada maruah, kita jaga maruah kita.”

“Kena ada maruah, PN ada majoriti di dewan, jadi nak buat mereka punya hak untuk usul undi pilih speaker, tapi lakukan secara bermaruah,” katanya.

Jelasnya lagi, PN perlu mengambil maklum bahawa rakyat di negeri kini lebih mementingkan isu pandemik Covid-19.

“Saya rasa rakyat tak suka tengok suatu yang kelam kabut, tak manis (setelah apa yang terjadi di Melaka) dalam DUN Perak,” katanya dengan menambah bahawa kerajaan PN harus mengambil perhatian berkenaan isu ini.

Adun PKR Tan Kar Hing pula berkata usul PN itu telah melucutkan hak wakil rakyat untuk menamakan calon mereka sebagaimana yang dinyatakan dalam Fasal 4 buku Peraturan Tetap Dewan.

Fasal itu menyatakan bahawa ahli parlimen boleh mengemukakan calon speaker mereka tujuh hari sebelum persidangan dan mereka akan memilih calon itu semasa persidangan, menurut Tan.

“Kita tidak diberi borang untuk memilih calon bagi speaker baru. Speaker dan timbalannya kini masih sah menggalas jawatan tersebut, mereka masih belum dilucutkan,” katanya.

Tan menggesa PN, yang mempunyai 35 dari 59 kerusi di Perak, untuk menukar speaker mengikut buku Perintah Tetap Dewan dan Undang-undang negeri bagi menggelakkan kekecohan pada Sidang DUN di Perak seperti tahun 2009 berlaku lagi.

Beliau merujuk kepada speaker PH yang diheret keluar dalam sidang, tiga bulan selepas BN meruntuhkan kerajaan PH berikutan kekalahan tiga anggota parlimen pada Februari 2009.

“Mungkin bukan situasi sama (speaker diheret keluar) tetapi mungkin akan terjadi sama seperti di Melaka,” katanya dengan meramal bahawa situasi akan menjadi tegang jika PN menyatakan usul tersebut.

“Keadaan akan jadi buruk,” kata Tan.

Ketua pembangkang baru, Abdul Aziz Bari, bagaimanapun mempunyai kepercayaan terhadap Adun Perak kerana beliau tidak dapat membayangkan mereka saling mengggunakan perkataan "babi" sama seperti Adun di Melaka awal hari ini.

“(Adun) Perak (lagi) tertib,” katanya lagi.

Abdul Aziz turut menambah bahawa PN telah membuat kesilapan dengan menghantar borang pencalonan speaker baru tidak mengikuti notis tujuh hari yang dinyatakan dalam naskhah Perintah Tetap.

“(Jika PN berterusan) dia akan jadi satu yang kecoh, apa yang berlaku di Melaka memalukan, imej tak baik,” katanya.

“Saya rasa mungkin satu liabiliti yang akan terpaksa ditanggung oleh PN,” tambah Abdul Aziz.

“Kita hormat majoriti, cuma cara kena betul,” katanya lagi.

Isnin, 11 Mei 2020

Selepas sidang DUN kecoh, Ab Rauf dilantik speaker baru Melaka

Pengerusi Umno Melaka, Ab Rauf Yusoh. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Pengerusi Umno Melaka, Ab Rauf Yusoh dilantik sebagai speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang baru.

Perkara itu diputuskan dalam Persidangan Pertama Penggal Ketiga DUN Melaka ke-14 yang dipengerusikan sementara oleh Ghazale Muhamad (BN-Rim).

Pelantikan Ab Rauf diterima selepas mendapat sokongan majoriti 16 daripada 17 Adun Perikatan Nasional, manakala semua wakil pembangkang pula tidak hadir ketika undian dibuat.

Usul pelantikan itu dibacakan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali dan disokong Abd Ghafaar Atan (BN-Asahan) dan mendapat sokongan 15 Adun kerajaan yang lain.
Pelantikan Rauf menggantikan Omar Jaafar yang dilantik semasa era pentadbiran Pakatan Harapan.

Terdahulu, rakan media yang membuat liputan di sana memaklumkan, persidangan DUN Melaka di Seri Negeri hari ini terpaksa ditangguhkan selepas berlakunya kekecohan dan perang mulut antara wakil rakyat pembangkang dan kerajaan.

Persidangan yang bermula jam 9.30 pagi itu kecoh apabila Idris Haron (BN-Sungai Udang) mendakwa Speaker DUN Omar Jaafar tidak layak berada di kerusi itu kerana tidak mendapat sokongan majoriti ahli dewan.

Perang mulut antara mereka berlanjutan selepas Idris melemparkan buku peraturan dewan ke arah Omar sebelum beberapa wakil rakyat pembangkang turut bangun hingga dewan gamat.

Malah ada antara mereka yang meminta bekas ketua menteri Melaka itu dihalau keluar kerana menghina dewan yang baru berlangsung kira-kira 30 minit.

Dewan semakin panas selepas Omar memaklumkan usul pihak kerajaan untuk menukar pengerusi persidangan ditolak oleh speaker.

Dalam masa sama, Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) turut didakwa diprovokasi oleh Low Chee Leong (DAP-Kota Laksamana) sehingga kedua-dua wakil rakyat itu terpaksa ditenangkan oleh wakil rakyat lain sebelum bentara datang.

Selain itu, media juga tidak dibenarkan membuat sebarang liputan dalam dewan ketika sidang DUN berlangsung termasuk tiada sebarang siaran langsung dipaparkan.

Difahamkan hanya media rasmi sahaja dibenarkan membuat liputan hari ini.

Kerajaan PH Melaka tumbang pada 2 Mac lalu selepas 2 Adun mereka menyokong pembentukan PN yang kemudian menguasai kerusi DUN dengan 17 wakil.

DUN Melaka mempunyai 28 kerusi.

 LIHAT VIDEO DI SINI


Jumaat, 8 Mei 2020

Sumber Bersatu sahkan ada usaha singkir speaker DUN Johor

Sumber dalaman Bersatu Johor memberitahu wujud usaha mengumpul tandatangan dalam kalangan Adun mereka bagi menyingkirkan speaker DUN negeri itu, Suhaizan Kaiat.

Enggan memberikan butiran lanjut, sumber kanan terbabit mengesahkan dakwaan Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah, berhubung kewujudan akuan bersumpah (SD) yang didakwa digerakkan pejabat Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad.

"Ya, ada," kata sumber itu yang ditanya sama ada wujud kempen mengumpul tandatangan berkenaan.

Bagaimanapun, sumber terbabit berkata, dia tidak tahu berapa ramai Adun Bersatu menurunkan tandatangan untuk SD berkenaan.

Malaysiakini sudah menghubungi Hasni untuk mendapatkan reaksi beliau.

Seorang sumber lain - juga dari Bersatu - dan seorang Adun Umno yang juga exco Johor memberitahu Malaysiakini, mereka tidak tahu mengenai kewujudan SD berkenaan.

Terdahulu melalui sesi langsung di Facebook bersama Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang malam tadi, Puah berkata, tidak semua Adun Bersatu menurunkan tandatangan ke atas SD berkenaan.

Syak ada motif lain

"Segelintir Adun Bersatu enggan tandatangan. Mengapa? Sebab mereka dihubungi pemimpin peringkat pusat, seperti Pemuda Bersatu," katanya.

Ia merujuk kepada kenyataan dikeluarkan sayap pemuda Bersatu - Armada - yang diketuai Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga penyokong kuat Dr Mahathir Mohamad, semalam.

Melalui kenyataan yang dikeluarkan selepas pertemuan dengan Mahathir, Armada meminta Bersatu memutuskan kerjasama yang terjalin dengan Umno ketika ini dan kembali kepada Pakatan Harapan (PH).

Sebelum ini PH sendiri mendakwa ada gerakan mendapatkan tandatangan bagi SD menyingkirkan Suhaizan. Untuk rekod Suhaizan ialah salah seorang pemimpin Amanah.
Hasni Mohammad
Bagaimanapun langkah itu dianggap tidak bermakna kerana proses menggantikan seseorang speaker mestilah dibuat melalui sidang DUN dan bukannya menggunakan SD.

Puah berkata, dia percaya ada motif lain di sebalik usaha Hasni mendapatkan tandatangan tersebut.

"Ini kerana beliau mahu memiliki sesuatu. Beliau mahu pastikan apabila mereka menghadiri sidang DUN dan jika ada sesuatu berlaku, beliau boleh menunjukkan SD tersebut," katanya.

DUN Johor dijadual berlangsung pada 14 Mei ini. Menurut pekeliling yang dikeluarkan sidang tersebut hanya berlangsung untuk mendengar titah diraja Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Ia akan ditangguhkan sesudah itu.

Menurut Suhaizan, melanjutkan sesi kali ini untuk lebih sehari adalah tidak sesuai kerana keadaan wabak Covid-19 sekarang.

Bagaimanapun, katanya, beliau akan membuat pertimbangan jika ada permohonan agar sidang tersebut disambung sehingga ke petang.

Kerajaan Johor yang diketuai Hasni - seorang pemimpin Umno - ditubuhkan selepas Bersatu meninggalkan PH, namun keadaan semasa menyaksikan Perikatan Nasional (PN) tidak memiliki kelebihan yang kuat dalam DUN.

PN hanya menguasai 29 kerusi manakala PH 27. Dalam keadaan begitu sebarang perubahan sokongan daripada PN - walaupun hanya melibatkan seorang Adun - akan menjadikan keadaan DUN tergantung.

Ia menjadi perhatian berdasarkan pertikaian dalaman Bersatu yang menyaksikan mereka berpecah kepada dua kumpulan, masing-masing menyokong Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir Mohamad.

Jumaat, 6 Mac 2020

Tiada keperluan Sidang DUN Khas - MB Johor

Abdul Hakim Rahman, Astro Awani
Tiada keperluan Sidang DUN Khas - MB Johor
Menurut Hasni, terpulang kepada budi bicara Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat untuk memanggil sidang DUN khas berkenaan atau tidak. - Facebook Sultan Johor
 
 
JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad tidak melihat keperluan untuk mengadakan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Khas seperti yang disarankan Pakatan Harapan (PH) Johor memandangkan penubuhan kerajaan baharu berpandukan kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor.

Bagaimanapun katanya, ia terpulang kepada budi bicara Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat untuk memanggil sidang DUN khas berkenaan atau tidak.
 
"Itu budi bicara Speaker Johor dan kita tidak mempunyai sebarang masalah untuk sidang khas berkenaan.

"Jika sidang khas itu bertujuan untuk mengesahkan kerajaan yang ada ini dapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) , perkara itu sudah diputuskan Sultan Johor,  Sultan Ibrahim Iskandar berlandaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor," katanya pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar,  di sini,  hari ini.

Hadir sama, 10 Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) Johor yang baharu mengangkat sumpah dan Pesuruhjaya PAS Johor,  Abdullah Hussein.

Pagi tadi,  10 Exco mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor,  Sultan Ibrahim Iskandar di Istana Bukit Serene membabitkan Datuk Samsolbari Jamali (BN-Semarang); Ayub Jamil (BN- Rengit), Zaiton Ismail (BN- Sungai Balang); Datuk Onn Hafiz Ghazi (BN- Layang-Layang) dan R Vidyananthan (BN-Kahang).

Turut mengangkat sumpah, Mazlan Bujang (BERSATU-Puteri Wangsa), Mohd Solihan Badri (BERSATU-Tenang); Tosrin Jarvanthi (BERSATU-Bukit Permai), Mohd Izhar Ahmad (BERSATU-Larkin) dan Dr Chong Fat Full (Bebas- Pemanis).

Ditanya ketiadaan satu-satunya ADUN PAS di Johor,  Kapten (B)  Najib Lep (Bukit Pasir) dalam barisan Exco,  Hasni yang juga ADUN Benut berkata,  peranan wakil rakyat tidak terhad sebagai Exco semata-mata.

Hasni yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor berkata, barisan Exco baharu akan dinamakan sebagai Exco Kemakmuran Johor. 
 
 

Jumaat, 22 November 2019

Larang baca ayat Quran: KM Melaka bersuara untuk siapa?

tyrazalhe

 

Adly patut beri respon neutral bukannya sibuk pertahan Fort Pin

BANGI – Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari sepatutnya memberikan respon yang lebih neutral atau memilih untuk berdiam daripada menjadi penyambung suara kepada Timbalan Speaker DAP, Datuk Dr Wong Fort Pin. 

Selasa lalu, tersebar video suasana tegang ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, apabila Fort Pin tidak membenarkan ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron membaca ayat al-Quran bagi mengakhiri perbahasan.

Berlaku pertikaman lidah beberapa minit antara Idris dan Fort Pin, sehingga ADUN Asahan, Datuk Seri Abd Ghafaar Atan yang mengambil giliran berbahas, campur tangan dengan memberi laluan untuk Idris membacakan petikan ayat al-Quran berkenaan.

Selepas diasak wakil kerajaan dan pembangkang, Fort Pin akhirnya akur dan meminta Idris meneruskan bacaan petikan al-Quran berkenaan.

Bagaimanapun, kelmarin, Adly tampil memberi respon mempertahankan tindakan Fort Pin kerana kononnya untuk menghormati masa yang telah diperuntukkan.

“Kenyataan yang menyatakan timbalan speaker tak menghormati ayat Al-Quran tidak benar dan saya harus perbetulkan, semalam kedudukan utama kita adalah masa.

“Saya beritahu timbalan speaker kita menghormati Al-Quran kerana dia menghormati masa. Masa bagi kita cukup penting. Semalam kita beri masa 13 minit, lebih 3 minit (kepada Idris) daripada orang lain,” kata Adly.

Kesal dengan perkara itu, Ketua Perhubungan Negeri Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Melaka, Ustaz Mohd Khoushaini Mohd Naim mempersoalkan tindakan Adly mempertahankan Fort Pin, berbanding menjaga perasaan majoriti 64 peratus umat Islam di negeri itu.

“Bukankah tindakan biadab Timbalan Speaker itu telah ditegur oleh wakil kerajaan dan pembangkang? Sehinggakan beliau akhirnya terpaksa akur seterusnya meminta YB Sungai Udang, Idris Haron meneruskan bacaan petikan al-Quran berkenaan. Mengapakah perlu dipertahankan lagi?

“Hujah Ketua Menteri menggunakan dalil surah Al-Asr juga tidak tepat, bahkan tidak menafikan kebiadaban Timbalan Speaker yang berkeras enggan memberi kebenaran, sungguhpun YB Asahan memberi laluan memperuntukkan masa sendiri kepada YB Tangga Batu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Serentak itu, beliau berkata, ISMA Melaka menggesa rakyat di negeri berkenaan supaya terus bangkit mempertahankan isu-isu berkaitan umat Islam.

“Jangan kita leka dan tidur lena lagi, sedarlah bahawa agama dan bangsa kita sedang dihina,” katanya.


Selasa, 5 November 2019

Adun cadang Selangor tanam ganja untuk perubatan

Mohd Shaid Rosli berkata, kerajaan Australia membenarkan 
penanaman ganja bagi tujuan perubatan menjelang 2020. 
(Gambar Facebook)
 
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor diminta mempertimbangkan cadangan penanaman ganja bagi tujuan perubatan di negeri ini.

Adun Jeram, Mohd Shaid Rosli berkata, ganja mempunyai manfaat besar dalam bidang perubatan pada masa kini.

“Saya mohon kerajaan negeri dengar dahulu cadangan saya, jika perlukan pembentangan berhubung cadangan ini, saya akan bentangkan secara terperinci kepada Dewan.

“Cuma saya minta jangan tolak cadangan ini mentah-mentah, dengar dahulu (cadangan) kemudian barulah pertimbangkan,” katanya pada sesi perbahasan Belanjawan Selangor 2020 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Shaid berkata demikian berikutan cadangannya sebelum ini ditolak untuk dibahaskan di DUN Selangor pada sesi lepas.

Beliau berkata, kerajaan Selangor perlu melihat cadangan itu dari sudut positif kerana ia dilihat akan memberi kebaikan kepada industri pertanian di negeri ini.

“Saya pernah cadangkan penanaman ganja di Selangor dan saya tetap dengan pendirian saya kerana kerajaan Australia juga akan membenarkan cadangan ini di negara mereka menjelang 2020.

“Menerusi cadangan ini, kita boleh membuat kajian hasil tanaman ganja untuk perubatan kita sendiri dan hasilnya itu juga nanti boleh dieksport ke luar (negara).”

Sidang DUN bersambung esok.

Isnin, 4 November 2019

Sidang DUN Selangor kecoh dituduh kerajaan flip-flop

Manzaidi Mohd Amin
sidangdun
Sidang DUN Selangor kecoh pasal isu kerajaan flip flop
 

SHAH ALAM – Perbahasan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2020 persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pagi ini kecoh dengan isu kerajaan Pakatan Harapan (PH) flip flop.

Ketua pembangkang yang merupakan ADUN Air Tawar, Datuk Rizam Ismail ketika mengambil bahagian dalam sesi perbahasan itu menuduh kerajaan Persekutuan flip flop gagal menunaikan janji manifestonya.

Ucapan itu menyebabkan ADUN Taman Templer dari Parti Amanah Negara (PAN), Mohd Sany Hamzan tidak puas hati, lalu bangun mencelah meminta Rizam menjelaskan apa yang kerajaan PH janji dan apa yang gagal ditunaikan.

Menjawab pertanyaan itu, Rizam menyatakan, kerajaan PH ketika kempen PRU14 berjanji akan memansuhkan PTPTN dan tol, tetapi selepas satu setengah tahun, tidak ada satu pun ditunaikan.

Tidak puas hati dengan jawapan itu, Mohd Sany sekali lagi bangun, tanpa meminta kebenaran Speaker DUN, Ng Suee Lim, menyatakan memansuhkan PTPTN dan tol bukan janji PH, sebaliknya dari Pas.

ADUN Sijangkang dari Pas, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi kemudian bangun menafikan dakwaan Mohd Sany dengan menyatakan, ada pemimpin dari PH berjanji kepada rakyat, kononnya “hari ini PH menang, esok PTPTN dihapuskan”.

Beliau turut menyindir Mohd Sany bahawa pemimpin PH terbabit juga menyatakan, kos untuk menghapuskan PTPTN tidak tinggi, iaitu RM6 bilion sahaja.

Keadaan tidak terkawal apabila ADUN Sungai Burong dari BN, Datuk Mohd Shamsudin Lias menegur sikap Taman Templer tidak mematuhi peraturan dewan, iaitu tidak meminta kebenaran dari Speaker untuk bantuk mencelah.

“Beginikah sikap seorang Yang Berhormat? Bangun ‘menyerang’ tidak meminta kebenaran Speaker,” kata Shamsuddin.

Tanpa menghiraukan Sungai Burong, Mohd Sany terus mengeluarkan kata-kata mempertahankan kerajaan PH dan menyalahkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Katanya, kalau tidak kerana Najib menyalahgunakan wang 1MDB, kerajaan PH tidak perlu menanggung beban hutang sehingga RM50 bilion untuk menjelaskan hutang berkenaan.

Keadaan bertambah gamat apabila ADUN Kuang dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBM),
Sallehudin Amiruddin bangun mencabar pihak pembangkang membuktikan PH pernah berjanji akan menurunkan harga minyak jika menang.

“PH tidak pernah berjanji akan menurunkan harga minyak kalau menang. Kita hanya janji akan menstabilkan harga,” katanya.

Semua ADUN yang terlibat dalam ‘perang’ mulut itu bangun sesuka hati tanpa meminta kebenaran Speaker untuk mendapatkan laluan dari pembahas sebenarnya, Rizam.

ADUN Sungai Panjang dari BN, Datuk Mohd Imran Tamrin cuba menarik perhatian Speaker bahawa tindakan ADUN kerajaan langsung tidak mematuhi peraturan, menyebabkan Ng Suee Lim meminta semua duduk.

“Yang Berhormat semua duduk. Sebenarnya sesi perbahasan ini giliran Ketua Pembangkang. Tapi nampaknya Ketua Pembangkang tidak ada kesempatan langsung untuk meneruskan perbahasannya.

“Saya minta semua Yang Berhormat duduk. Sungai Burong pun duduk. Saya tahu, saya tahu..ini yang saya hendak beritahu…sila duduk semua. Duduk,” arah Ng Suee Lim yang ketika itu Mohd Shamsudin cuba memintanya bertegas dengan sikap ADUN kerajaan.

Selepas keadaan reda, Rizam kemudian meneruskan perbahasannya dan menyifatkan Belanjawan 2020 Selangor sebagai tidak mencerminkan kebajikan rakyat. – MalaysiaGazette

Sabtu, 28 September 2019

Mat Hasan: Tak perlu ketua pembangkang di negeri Umno, PAS


 
Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan melontarkan cadangan supaya tiada lagi jawatan ketua pembangkang di negeri-negeri yang dikuasai partinya dan PAS.

"Apa yang perlu dibuat, salah satu saya cadangkan supaya kita tiada lagi ketua pembangkang. Kita tak bercakap lagi soal jawatan (lain)," katanya.

Menurut beliau, cadangan awal itu supaya dapat menggambarkan permuafakatan antara kedua-dua parti selepas menandatangani Piagam Muafakat Nasional, baru-baru ini.

"Itu cuma cadangan awal saya, supaya dapat menggambarkan permuafakatan tersebut.

"Kalau kita dah muafakat, tak ada lagilah pembangkang. Setakat itu dulu cadangan saya," katanya kepada media ketika menghadiri Ceramah Perdana Hijratul Rasul dan Penyatuan Ummah di Pasir Mas, Kelantan, semalam.

Hadir sama pada program tersebut Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, dan Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob.

Sementara itu ketika ditanya sejauh mana muafakat yang terjalin itu akan mewujudkan kerajaan bersama antara Umno dan PAS dalam pentadbiran peringkat negeri, Mohamad menegaskan muafakat itu baru di peringkat (pembukaan seperti surah) 'al-Fatihah'.
"Kita masih lagi di peringkat al-Fatihah, jadi kita lancarkan al-Fatihah dan kemudian kita masukkan surah-surah yang lain.

"Kini baru peringkat kita tandatangi piagam, esok-esok kita akan melihat cara yang lebih mantap, apa selepas piagam," jelasnya.

Tambah beliau, cadangan itu dilihat akan memudahkan urusan wakil rakyat antara kedua-dua parti.
"Sama ada wakil rakyat BN di Kelantan atau wakil rakyat PAS di Pahang, mereka akan jadi wakil rakyat perpaduan ummah.

"Mereka dapat menjalankan tugas dan jaga hal ehwal rakyat sama seperti rakan-rakan yang lain," katanya.

PH tidak mempunyai Adun di Terengaanu, manakala bekas menteri Mustapa Mohamed yang menyertai Bersatu pada penghujung Oktober tahun lepas menjadi Adun tunggal PH di Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Bagaimanapun, Mohamad tidak menjelaskan lanjut cadangannya mengenai negeri Perlis dan Pahang yang dikuasai BN tetapi masih mempunyai Adun pembangkang dari PH.


Jumaat, 9 Ogos 2019

DUN S'gor patut bahas RUU tukar agama sepihak - Haniff

 
   

DUN Selangor sepatutnya membahaskan usul RUU tukar agama sepihak melibatkan seseorang di bawah umur 18 tahun di negeri itu, kata peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Katanya, berdasarkan prinsip pengasingan kuasa, badan penggubal undang-undang (parlimen dan DUN) tidak boleh disekat daripada membentangkan sebarang pindaan hanya kerana terdapatnya keputusan mahkamah berhubung hal berkenaan sebelum ini.

Jelasnya, sama ada pindaan itu merupakan satu ultra vires (di luar bidang kuasanya) atau tidak biarlah ditentukan di mahkamah di kemudian hari, sekiranya terdapat pihak yang mencabarnya secara undang-undang setelah RUU itu diluluskan kelak.


Hal ini, kata Haniff, memandangkan keputusan Mahkamah Persekutuan bukanlah mutlak ketetapannya (cast in stone) dan tidak boleh berubah jika hal tersebut dibangkitkan lagi di mahkamah.

Menurut Haniff, hal yang sama juga melibatkan sebarang pindaan undang-undang atau perlembagaan apabila badan kehakiman diperlukan untuk menilai semula pendiriannya.

“Jadi apa salahnya membenarkan RUU itu didebatkan? Kalau speaker tu benar-benar mengawal pembentangan RUU, itu perkara yang sangat salah, baik dari segi moral atau perundangan.

“Ia akan kembalikan kita ke belakang, pada pendirian sama yang kita tuduh terhadap kerajaan terdahulu,” katanya kepada Malaysiakini. 

Pendirian yang disebutnya itu dipercayai merujuk ketika perihal 1MDB dihalang daripada dibincangkan di Dewan Rakyat sewaktu pentadbiran BN dahulu.

Pada Rabu, Malaysiakini melaporkan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari merancang untuk membentangkan RUU bagi membenarkan seseorang berusia bawah 18 tahun memeluk Islam dengan mendapat kebenaran sepihak, di DUN Selangor yang selesai bersidang 31 Julai.

Dia merancang berbuat demikian biarpun berdepan bantahan daripada majoriti Adun PH, termasuk daripada kabinetnya sendiri.

Bagaimanapun, rancangan itu tidak kesampaian selepas Yang Dipertua DUN Selangor Ng Suee Lim enggan menandatangani dokumen bagi membenarkan RUU itu dibentangkan.


Susulan laporan tersebut, Amirudin dan Ng saling mengeluarkan kenyataan menjelaskan kenapa RUU itu tidak dibentangkan.

Sekarang, enakmen Selangor menyatakan sesiapa yang berusia di bawah 18 tahun mesti mendapatkan persetujuan daripada “ibu dan bapa” sebelum memeluk Islam. Pindaan itu mahu mengubahnya kepada “ibu atau bapa”.

Versi Bahasa Malaysia Perlembagaan Persekutuan pula menyebut “ibu atau bapa” dalam hal itu.
Bagaimanapun Mahkamah Persekutuan tahun lalu membuat satu keputusan penting bahawa perlembagaan tidak harus ditafsirkan secara literal dan persetujuan kedua-dua ibu bapa diperlukan untuk pertukaran agama anaknya yang di bawah umur.

Keputusan mahkamah tertinggi itu dibuat dalam kes pertukaran agama secara sebelah pihak melibatkan anak M Indira Gandhi dan bekas suaminya Muhammad Riduan Abdullah.

Beberapa peguam berpendapat keputusan kes tersebut akan menjadikan pindaan yang cuba dilakukan itu tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan.

Bagaimanapun, Haniff tidak bersetuju dengan kenyataan peguam berkenaan.

“Apa akan terjadi ialah jabatan agama akan menguatkuasakan undang-undang baru, kerana (pindaan) enakmen itu hadir selepas keputusan Mahkamah Persekutuan.

“Sesiapa yang terkesan dengan perubahan ini bolehlah membawanya ke mahkamah. Ia boleh dicabar dan sepatutnya dicabar di mahkamah,” katanya.

Katanya lagi, keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi tidak berapa jelas dalam beberapa perkara, terutamanya ia tidak menyentuh sama ada hal pertukaran agama berada di bawah bidang kuasa mahkamah sivil atau mahkamah syariah.

“Sebab itulah saya kata, DUN negeri sepatutnya membenarkan pembentangan RUU itu.

“Kalau RUU tu tak diluluskan, habis cerita. Kalau ia lulus, jadi sesiapa yang tak suka boleh bawanya ke mahkamah,” jelasnya.

Rabu, 24 Julai 2019

Proton bukan Malaysia punya, China punya

Bernama
Proton
Proton

IPOH – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini kecoh sedikit gara-gara kenyataan seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (Exco) bahawa Proton bukan lagi kereta nasional.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi melontarkan kenyataan itu semasa menjawab soalan mengenai tindakan kerajaan negeri membeli kereta baharu jenama Toyota Camry bagi kegunaan Exco.

“Mengapa tak beli Proton? Proton bukan Malaysia punya, China punya. Taraf, status Proton bukan lagi kereta nasional, ia sudah dimiliki syarikat luar,” katanya semasa mewakili Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjawab soalan tambahan Ahmad Saidi Mohamad Daud (BN-Changkat Jering) di Ipoh, hari ini.

Ahmad Saidi dalam soalan tambahannya bertanya mengapa kerajaan negeri tidak membeli kereta Proton dan Exco boleh memainkan peranan sebagai duta untuk kereta nasional.

Jawapan Asmuni (Amanah-Manjoi) itu mencetuskan rasa tidak puas dalam kalangan beberapa Adun pembangkang termasuk Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengakalan Baharu) yang mempertikaikan aspek pemilikan saham dalam Proton dan mendakwa Exco berkenaan menyeleweng fakta.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semasa bercakap pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia atau Persidangan Nikkei ke-24 di Tokyo, Jun 2018 berkata, Proton Holdings (Proton) yang beliau lancarkan pada 1983 bukan lagi kereta nasional.

Syarikat China, Zhejiang Geely Holding Group (Geely) ketika ini memiliki kepentingan 49.9 peratus dalam Proton, sementara DRB-Hicom masih mengekalkan pegangan sebanyak 50.1 peratus.

Menjelas lanjut, Asmuni berkata, harga pasaran seunit kereta Toyota Camry itu adalah RM190,000, namun kerajaan negeri membelinya pada harga RM109,000 seunit iaitu penjimatan sebanyak RM81,000 menerusi rebat cukai.

Terdahulu, kepada soalan asal Ahmad Saidi yang ingin tahu kadar hutang semasa Perak, Asmuni berkata, sehingga 4 Julai lalu, hutang awam kerajaan negeri Perak berjumlah RM255.8 juta.

Katanya, jumlah itu berkurang RM313.3 juta atau 57.45 juta berbanding yang dicatatkan sehingga Disember 2018 dan pengurangan itu membuktikan komitmen pentadbiran dalam mengurangkan hutang kerajaan negeri. – MalaysiaGazette

Selasa, 30 April 2019

DUN S'wak gantung wakil rakyat DAP 12 bulan

MALAYSIAKINI

   

Jawatankuasa Hak Keistimewaan Dewan Undangan Negeri Sarawak telah memerintahkan Adun Padungan Wong King Wei digantung 12 bulan bermula hari ini berikutan kenyataannya yang menyingung perasaan Dewan dan Speaker pada persidangan DUN lepas, pada tahun lepas.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah, ketika membentangkan usul mengenai laporan Jawatankuasa Hak Keistimewaan itu sebelum itu berkata, dewan memutuskan untuk menerima saranan-saranan jawatankuasa berkenaan selepas 64 daripada 82 Adun mengundi menyokong penggantungan tersebut.

Jawatankuasa Hak Keistimewaan telah mengadakan ikuiri pada 18 Feb lepas terhadap kenyataan Wong yang dianggap telah menyinggung perasaan, melukakan hati serta menyakitkan hati Dewan Undangan Negeri Sarawak, eksekutif dan Speaker Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.

Ini berikutan kenyataan yang diucapkan Wong pada persidangan dewan undangan negeri pada 12 November lepas di mana beliau dikatakan telah mempersoalkan ketepatan waktu speaker dalam mengendalikan mesyuarat-mesyuarat.

'DUN seperti pasar ikan'

Ketika ditemui pemberita kemudian, Wong berkata beliau berasa telah diberi layanan kasar dan tidak adil oleh dewan undangan negeri dan Speaker hanya semata-mata kerana kenyataannya itu.

“Ia komen yang adil dan membina, bukan terhadap speaker secara peribadi tetapi untuk tujuan pembaharuan dewan undangan negeri,” kata Adun DAP itu, dan menambah, beliau akan mencabar penggantungannya itu di mahkamah selepas merujukkan perkara itu kepada pasukan perundangan DAP.

Ketika membentang usul tersebut Abdul Karim berkata: "Speaker adalah wakil kepada dewan undangan negeri kerana beliaulah jurucakap dan pemerhati kepada seluruh peraturan untuk menjaga ketenteraman dan ketertiban persidangan... yang mana ketiadaan speaker akan menjadikan dewan ini seperti sebuah pasar ikan.

“Setiap sesi, sama ada dalam persidangan dewan undangan negeri, di padang bola sepak atau apa juga permainan, mesti ada pengadil untuk memberi bimbingan dan mesti ada peraturan dan ketertiban dalam melakukan sesuatu perkara,” kata beliau.

Timbalan Speaker Datuk Gerawat Gala sebelum ini berkata, tindakan merujukkan Wong kepada jawatankuasa itu adalah selari dengan amalan di parlimen Westminster dan Perintah Tetap 89 DUN Sarawak.- Bernama


Ahad, 28 April 2019

Minum sawit tidak langgar peraturan DUN

MALAYSIA GAZETTE
sawit-681x379
Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang, Dr. Ko Chung Sen yang menyampaikan pandangan dengan cara berminum juga tidak melanggar peraturan mesyuarat.


KUALA KANGSAR – Tindakan meminum minyak kelapa sawit ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak adalah dibenarkan dan tidak melanggar apa-apa peraturan mesyuarat.

Speaker DUN Perak, Datuk Ngeh Koo Ham memberitahu China Press, selain berbahas, ahli-ahli dewan juga boleh bersajak, berpuisi, bernyanyi, atau berbahas menggunakan bahan info grafik.

Beliau berkata, tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang, Dr. Ko Chung Sen yang menyampaikan pandangan dengan cara berminum juga tidak melanggar peraturan mesyuarat.

Pada mesyuarat Jumaat lalu, Chung Sen dilaporkan membawa sebotol minyak sawit untuk memberi penerangan  mengenai kebaikannya.

Sebaik selesai berbahas, beliau menghabiskan satu gelas kecil minyak sawit yang ada sebagai tanda sokongan kepada produk Malaysia itu.

Walaupun rakan yang lain termasuk daripada pembangkang menyokong tindakannya dengan memberi tepukan gemuruh, sesetengah warganet bagaimanapun berpendapat ADUN Kepayang itu “berdrama” dalam mesyuarat DUN.

Mengulas lanjut, Koo Ham berpendapat Chung Sen tidak berniat untuk “berdrama” ketika minum minyak sawit.

“Chung Sen seorang doktor dan beliau menunjukkan sokongan kepada minyak sawit melalui tindakan yang nyata,” katanya.

Beliau berkata, Menteri Industri Utama, Teresa Kok juga berterima kasih kepada Chun Seng dan mahu mengedar minyak sawit kepada semua ADUN Perak, tidak kira daripada pihak kerajaan atau pembangkang.

Isnin, 22 April 2019

Tok Mat catat sejarah Nogori

Azzman Abdul Jamal
 

 

DATUK Seri Mohamad Hasan mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-14 di Seremban, hari ini.

Ia sekali gus mencatat sejarah apabila Timbalan Presiden UMNO itu menjadi wakil rakyat pertama di negeri ini mengangkat sumpah dua kali dalam tempoh satu penggal.

Bekas Menteri Besar itu mengangkat sumpah di depan Speaker DUN, Datuk Zulkefly Mohamad Omar pada 10.16 pagi.

Mohamad, 62, mengekalkan kedudukan sebagai Ketua Pembangkang di DUN Negeri Sembilan selepas menang kerusi DUN Rantau dengan memperoleh 10,397 undi.

Beliau menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Dr S Streram, 64, dengan majoriti 4,510 undi.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang mengisytiharkan kemenangan tanpa bertanding Mohamad pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu tidak sah dan terbatal.

Ia selepas Streram, yang juga dicalonkan PH bagi PRU14 lalu, dihalang daripada menghantar borang pencalonan ketika hari penamaan calon pada 28 April 2018.

Selasa, 16 April 2019

Cukuplah sehari sidang DUN Perlis, kata wakil PAS

MALAYSIAKINI

   

Wakil-wakil rakyat PAS tiada masalah dengan tempoh singkat sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang cuma berlangsung sehari, hari ini.

Anggota DUN (Adun) Sanglang Mohd Shukri Ramli berkata cukup sehari bagi negeri kecil seperti Perlis untuk bersidang, lapor Harakahdaily.

"Memandangkan tiada sebarang pembentangan rang undang-undang baharu, maka sehari pun sudah memadai.

"Namun setiap Adun diberi peluang untuk bertanya soalan tambahan pada sesi jawapan lisan anggota exco," beliau dipetik sebagai berkata di Kangar.

Perlis sebagai negeri terkecil di Malaysia hanya mempunyai 15 DUN. Ia satu daripada dua negeri yang masih dipimpin BN, selain Pahang.

PAS selepas pilihan raya umum lalu mengambil pendekatan mesra BN atas alasan kerjasama demi kebaikan umat Islam.

Sementara itu, Adun Guar Sanji Mohd Ridzuan Hashim juga dilaporkan turut berpuas hati.

"Walaupun tiada perbahasan usul tetapi kita dibenarkan menanya soalan tambahan.

“Jadi kesempatan ini boleh digunakan untuk mengutarakan masalah rakyat," beliau dipetik sebagai berkata.

Akhbar web parti itu melaporkan terdapat 34 soalan dikemukakan pada persidangan tersebut


Musa Aman pertama kali hadir sidang DUN Sabah

Musa Aman gagal hadir ke 2 sesi sidang DUN yang diadakan 
tahun lepas.

KOTA KINABALU: Bekas ketua menteri Musa Aman buat pertama kalinya hadir pada persidangan DUN Sabah hari ini.

Adun Sungai Sibuga itu yang tidak hadir dalam istiadat pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Persidangan DUN Sabah Khamis lepas dan persidangan pertama semalam merupakan satu-satunya Adun Umno di Sabah yang tinggal selepas semua rakan seperjuangannya berpaling kepada PPBM.

Sebelum ini, beliau turut gagal hadir ke 2 sesi sidang DUN yang diadakan tahun lepas dan turut menjadi Adun terakhir yang mengangkat sumpah pada 5 Sept.

Tahun lalu, beliau memberikan alasan gagal menghadiri mesyuarat dan lewat mengangkat sumpah atas alasan masalah kesihatan.