Ahad, 22 Disember 2013

Anwar: Kerajaan BN jual aset negara RM1.4 bilion, Pakatan desak ada sidang tergempar

OLEH: AFIX REDZUAN


KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat (PR) memandang serius pendedahan laporan Bank Dunia yang menyatakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjual aset negara bernilai hampir RM1.4 bilion.

Anwar Kongres PKR

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata tindakan penjualan aset negara itu merupakan satu bentuk pengkhianatan yang tidak sepatutnya berlaku dalam kedudukan ekonomi rakyat semakin tertekan.

Bercakap di hadapan hampir 500 orang hadirin di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Anwar menegaskan, PR mendesak satu sidang tergempar Parlimen diadakan bagi membincangkan perkara ini selain mencari penyelesaian mengekang kenaikan harga barang.

“Kami dalam Majlis Pimpinan Pakatan telah berbincang dan meminta sidang tergempar ini diadakan, saya sendiri akan menulis surat kepada Datuk Najib dan surat itu akan sampai pada Isnin (ini),” katanya.

Perkara ini didedahkan sendiri oleh Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dalam satu sidang media menerusi laporan terkini Bank Dunia “Malaysia Economic Monitor: Disember 2013″.

Rafizi memaklumkan, beliau tidak pasti bentuk aset yang dijual atau dicagarkan dan mungkin membabitkan aset seperti tanah dan bangunan.

Sebelum itu, Anwar bersama Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melancarkan Kempen Anti GST #FahamGSTtolakGST.

Kempen ini dibuat bagi memberikan pemahaman kepada rakyat supaya menolak perlaksanaan GST yang bakal dilakukan pada 1 April 2015 dan majlis penerangan akan dibuat ke seluruh negara.

Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapannya menyatakan GST merupakan satu konsep yang salah kerana menekan rakyat sedangkan di dalam Islam sendiri mewajibkan zakat kepada umatnya berdasarkan nisab yang telah ditetapkan.

Katanya, langkah pelaksanaan GST merupakan bukti kerajaan BN tidak mampu mengurus wang negara dengan baik akibat kawalan kewangan yang tidak cermat sehinggakan berlakunya ketirisan yang besar dalam  perbelanjaan negara. EZY

Tiada ulasan: