Isnin, 9 Disember 2013
Akta Kawalan Harga cegah peniaga seleweng GST
KUALA LUMPUR - Kerajaan akan menggunakan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan pada April 2015.
Berdasarkan pemantauan ke atas negara-negara yang sudah pun melaksanakan sistem pencukaian itu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata harga barangan (secara keseluruhan) akan naik sekitar 1.8 hingga dua peratus pada tahun pertama pelaksanaan.
"Kebiasaannya harga barangan ini akan naik kerana mereka (peniaga) tidak memansuhkan cukai 10 peratus daripada sistem asal, tapi terus memasukkan enam peratus daripada sistem GST kepada harga barangan tersebut.
"Jadi kita akan menggunakan akta yang sedia ada bagi memastikan tiada penyelewengan harga berlaku di negara ini apabila GST dilaksanakan kelak," katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Rahman Bakar pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.
Semasa membentang Bajet 2014 pada Oktober lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelaksanaan GST pada kadar enam peratus bermula April 2015.
Terdahulu, ketika menjawab soalan Senator Datuk S Nallakarupan mengenai langkah-langkah yang perlu diambil kerajaan bagi memastikan rakyat memahami pelaksanaan GST, Ahmad berkata selain kempen berterusan, kerajaan akan mengeluarkan Garis Panduan Pengguna, tiga bulan sebelum pelaksanaan sistem itu.
Beliau berkata senarai itu akan dikeluarkan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengguna serta memastikan mereka tidak ditindas sewenang-wenangnya oleh golongan peniaga kelak.
"Kempen-kempen ini akan kita teruskan supaya kita dapat menjelaskan kepada rakyat bahawa GST ialah satu cukai yang lebih telus, adil, kepada pengguna dan juga mendapatkan hasil kepada negara.
"Cukai (menjadi) lebih baik dan ia juga mendatangkan beberapa faedah, termasuk mengurangkan kos perniagaan...bila kurang kos itu, maka harga barangan dapat diturunkan," katanya.
Selain itu, Ahmad turut menjelaskan bahawa pelaksanaan GST dapat membantu mengurangkan kesan dari 'black economy' iaitu kerugian yang negara tanggung akibat tindakan beberapa pihak melarikan diri daripada membayar cukai.
Menurutnya pelaksanaan GST juga dapat mengurangkan ketirisan yang sedang berlaku dalam negara secara sistematik.
"Di negara kita, termasuk negara-negara yang sedang membangun, berlaku situasi yang disebut 'black economy atau shadow economy,' di mana berlaku ketirisan yang melibatkan puluhan bilion ringgit kerana tidak patuh cukai.
"Tetapi apabila laksanakan GST, amat sukar untuk lari, terutama kepada peniaga. Ia akan mengurangkan karenah birokrasi, menjamin ketelusan dan menjadikan harga barangan lebih berpatutan," katanya. - Bernama
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan