Sabtu, 21 Disember 2013

Ahmad Maslan kata GST akan turunkan harga barang

HARAKAHDAILY 


PUTRAJAYA:  Segala tohmahan pembangkang mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dalam risalah 'anti-GST' yang kini diedar kepada umum, akan dijawab oleh kerajaan bermula Januari ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata setiap tuduhan akan dijawab oleh pasukan GST yang terdiri daripada pegawai kewangan dan kastam.

"Kita akan jawab satu demi satu," katanya kepada media selepas merasmikan Hari Inovasi Kementerian Kewangan 2013, di sini semalam.

Beliau juga menempelak pembangkang yang hanya tahu memburukkan usaha kerajaan namun tidak menawarkan alternatif kepada GST.

"Jika GST tidak bagus masakan cukai itu diamal oleh 160 daripada 193 negara di dunia," katanya menambah jika sistem cukai sedia ada diteruskan, harga barang akan terus naik berganda-ganda, justeru bukan pilihan yang baik untuk memantapkan ekonomi negara.

"Pembangkang hanya melabel BN (Barisan Nasional) sebagai 'barang naik' namun saya mahu jelaskan bahawa dalam negara-negara yang melaksanakan GST, barang naik hanya sekejap dan selepas sistem itu difahami, kos perniagaan akhirnya dapat dikurang.

"Ini yang mereka khuatir kerana slogan mereka 'BN barang naik' sudah tidak tercapai kerana dengan GST harga barang akan turun... mana mereka suka barang turun," kata Ahmad yang juga Ketua Penerangan Umno.

Katanya GST satu sistem pencukaian yang telus dan efisien dan menerusinya kerajaan yakin dapat mengurangkan 'black economy' atau mereka yang lari daripada cukai.

Nampaknya usaha pembangkang menentang GST itu membayangkan mereka mahu membela golongan 'black economy' ini, katanya.

Pelaksanaan GST dengan kadar enam peratus pada April 2015 itu diumum oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2014.

Serentak itu juga kerajaan memansuhkan cukai perkhidmatan dan cukai jualan, yang kini pada kadar keseluruhan 16 peratus.

Mengenai pengurangan subsidi berperingkat, Ahmad berkata: "Kita tidak akan hapuskan subsidi, tetapi mengalihkannya daripada golongan tersasar kepada golongan bersasar."

"Subsidi bukan suatu yang baik dari segi teori ekonomi dan pada masa ini kita mahu membaiki struktur ekonomi negara supaya lebih tahan menghadapi cabaran di masa depan dan mampu menampung ketidaktentuan di luar sana," katanya lagi. - Bernama

Tiada ulasan: