Oleh Aisha Geoffrey
PANTAI DALAM: Dakwaan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof tidak dimaklumkan berhubung permohonan
semakan untuk membatalkan senarai 4,637 pemilih yang meragukan tidak
berasas, kata Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.
Katanya, bukti surat daripada Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Baria
yang menunjukkan suruhanjaya itu mengambil maklum perkara tersebut dan
sedang meneliti aduan berkenaan.
Surat tersebut dikemukakan Izzah pada sidang medianya di Pejabat Parlimen beliau, hari ini.
“Saya
ada surat bertarikh 6 Mac 2013 yang juga dihantar menerusi faks pada
hari yang sama melalui peguam saya kepada SPR. Pada surat penerimaan
keesokannya dicop dengan jelas dan ditandatangani oleh peguam kanan SPR.
“Surat itu adalah pembatalan nama-nama berdaftar yang tidak lengkap
dan merujuk kepada kawasan mengundi Lembah Pantai P121,” jelas Izzah.
Menurutnya, jawapan Kamaruddin itu bukti jelas bahawa SPR dimaklumkan
terlebih dahulu tentang tindakan undang-undang yang akan diambil
sekaligus menunjukkan kenyataan Aziz tidak selari dengan jawapan
tersebut.
“Mengapa Pengerusi (Aziz) kata saya tak hubungi dia sebelum ambil tindakan undang-undang?
Tindakan ini menghancurkan lagi kredibiliti SPR kerana tidak
mengambil serius isu daftar pemilih dan buat dakwaan tidak berasas,”
tegasnya.
“Ia kenyataan yang tidak boleh diterima dari seorang pengerusi
sedangkan kami berusaha sedaya mungkin untuk bekerjasama dengan SPR,”
kata Izzah.
Aziz dalam wawancara disiarkan akhbar Mingguan Malaysia menyatakan
kononnya Naib Presiden KEADILAN itu tidak pernah memaklumkan kepada
pihaknya berhubung senarai 4,637 pemilih yang meragukan dalam kawasan
parlimen beliau.
Pada 27 Mac lalu, Izzah memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan
kehakiman bagi membatalkan senarai nama pemilih yang meragukan
tersebut.
“Saya terkejut dengan kenyataan beliau (Aziz) yang menyatakan SPR
tidak dimaklumkan tentang semua rungutan dan senarai pengundi yang
meragukan sebelum kami failkan ke mahkamah,” kata Izzah. – NS
No comments:
Post a Comment