Selepas hari penamaan calon pada 20 April, saya membuat keputusan untuk
tidak menulis mengenai kempen parti-parti politik untuk mendapat
sokongan para pengundi. Saya memilih untuk membaca laporan media
tradisional dan media baru atau media sosial.
Saya tahu yang banyak pihak akan membuat ulasan, ramalan dan andaian mengenai hala tuju ke 5 Mei, iaitu tarikh pengundian di seluruh negara. Semuanya berpaksikan sokongan masing-masing, yang memihak kepada Barisan Nasional (BN) akan memberi ulasan yang positif walaupun kebenarannya belum tentu begitu, sama juga dengan mereka yang sokong Pakatan Rakyat (PR).
Tetapi, sebagai seorang pengamal media walaupun kini dalam wadah media
alternatif, saya tertanya-tanya ke mana perginya etika kewartawan, di
mana letaknya keadilan dan kesaksamaan dan kenapa tiada imbangan dalam
laporan, terutama oleh media tradisional seperti surat khabar dan radio
serta televisyen.
Setiap hari pembaca dihidang dengan laporan yang amat berat sebelah,
iaitu yang memihak kepada BN seolah-olah kita membaca lidah rasmi parti
politik, bukan sebuah akhbar 'nasional' yang sepatutnya memberi laporan
yang seimbang, adil dan benar. Kita tahu yang hampir semua akhbar di
kuasai atau dibawah kawalan parti-parti politik, tetapi dalam membuat
laporan, etika kewartawanan tidak boleh diketepikan, dinodai atau dalam
bahasa yang tidak berapa sedap didengar, dilacuri. Ini yang berlaku.
Begitu jua dengan media elektronik, iaitu radio dan tv. Semua saluran
tv, khususnya, seolah-olah 'bekerja' untuk BN. Jika adapun laporan
mengenai parti lawan, ia lebih merupakan sesuatu yang negatif.
Saya dapati hanya sebuah akhbar yang boleh diterima sebagai
menghidangkan laporan yang agak seimbang mengenai pilihaan raya umum
ke-13 ini, iaitu SINAR HARIAN. Yang lain terlampau berat sebelah.
Seperti ramai orang, saya mencari sumber lain untuk mengikuti laporan
pilihan raya di Malaysia, iaitu media asing dan sumber Internet. Benar,
bukan semua laporan dalam media Internet boleh dipercayai tetapi
pandai-pandailah memilih yang mana satu nak diikuti. Seboleh-bolehnya
usah ikuti wadah atau laman sesawang politik, yang pro-BN mahupun PR.
Kepada pelanggan Unifi yang menawarkan HyppTV, anda boleh ikuti laporan
pilihan raya "Malaysia Decides" setiap malam yang disalurkan oleh
Channel News Asia (CNA) Singapura. Saya dapati laporan oleh media
Singapura ini seimbang, saksama dan profesional. Banyak perkara yang
diabaikan oleh media tempatan, sama ada secara sengaja atau tidak,
lazimnya disiarkan oleh CNA.
Dalam laporannya yang benar-benar profesional, CNN memberi ruang kepada
kedua-dua pihak bersuara dan isu-isu yang dibangkitkan adalah isu
seharian dan semasa yang menghantui rakyat. Laporan sedemikian tidak
dibuat oleh mana-mana stesen tv Malaysia.
Satu perkara lagi yang menarik perhatian ramai pada pilihan raya kali
ini ialah betapa 'murah hatinya' kerajaan kepada rakyat. Berbilion
ringgit diluluskan dalam bermacam bentuk bantuan dan sumbangan. Perkara
sedemikian tidak pernah berlaku dalam 12 pilihan raya sebelum ini.
Siapa tidak mahu duit? Semua orang mahukan duit tetapi adakah ia dapat menjamin sokongan kepada yang memberinya? Belum tentu!
Sikap pemurah hati ini tidak ubah seperti apa yang berlaku pada musim
perayaan agama Kristian. Menjelang sambutan Hari Natal atau Krismas,
kanak-kanak akan ternanti-nanti kedatangan "Father Christmas" atau
"Santa Claus" untuk mendapat hadiah. Kegembiraan jelas terbayang diwajah
mereka yang menerima hadiah itu walaupun ia tidak seberapa sangat.
Tetatpi, ramai lupa yang kegembiraan itu hanyalah sementara dan Santa terus dilupai sehinggalah musim perayaan akan datang.
Kepada para pengundi, jangan lupa untuk keluar mengundi. Ingat, jangan
buang undi, tetapi mengundi. Undi anda amat berharga dan tidak
seharusnya dibuang. Tidak tahu pula saya kenapa Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR) menyeru kita membuang undi, tidak mengundi? http://kudaranggi.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment