Rabu, 14 Oktober 2009

Mereka yang ke hemisfera utara dinasihat suntik vaksin influenza

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan hari ini menasihatkan orang ramai yang ingin melawat negara di hemisfera utara supaya mendapatkan suntikan vaksin influenza bermusim (formula utara) memandangkan penularan wabak influenza A (H1N1) di negara-negara itu masih serius.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Ismail Merican berkata menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), negara yang terletak di hemisfera utara seperti Amerika Utara, Eropah dan Jepun telah menunjukkan peningkatan empat kali ganda penyakit itu.

WHO baru-baru ini melaporkan penularan dan jangkitan wabak itu dijangka meningkat berikutan ketibaan musim sejuk.

Di Asia, penularan virus masih kekal dengan kadar jangkitan yang berbeza mengikut negara sementara di negara-negara di hemisfera selatan seperti New Zealand, Australia dan Chile telah menunjukkan penurunan kes yang ketara.

Dr Ismail juga menasihatkan jemaah haji supaya turut mendapatkan suntikan vaksin influenza sebelum ke tanah suci.

Beliau juga mengingatkan orang ramai bahawa penularan influenza A (H1N1) dalam komuniti masih aktif dan perlu berjaga-jaga khasnya menjelang tiba sambutan perayaan Deepavali.

"Sempena perayaan Deepavali ini, orang ramai digalakkan membawa kit H1N1 (topeng mulut dan hidung, tisu dan sanitiser) di mana-mana sahaja mereka berada termasuk ketika berkunjung ke rumah ibadat, rumah terbuka, menaiki kenderaan awam atau menziarahi saudara mara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai perkembangan terkini wabak itu di negara ini, Dr Ismail berkata seramai 188 pesakit baru dengan gejala penyakit serupa influenza (ILI) dimasukkan ke hospital hari ini, sementara 156 kes telah didiscaj.

Beliau berkata sehingga kini, 698 kes masih dirawat di 78 hospital di seluruh negara dan daripada jumlah itu, hanya 30 pesakit (4.3 peratus) merupakan kes positif H1N1.

Enam daripada 30 pesakit itu kini dirawat di ICU iaitu dua kanak-kanak di bawah umur lima tahun, seorang berpenyakit kronik, seorang obesiti, seorang hamil/post natal dan seorang kanakkanak di bawah lima tahun dengan penyakit kronik.

Tiada ulasan: