Khamis, 15 Oktober 2009

Masa depan PKFZ semakin malap

Neo Chee Hua


Perdana Menteri Najib Abdul Razak telah mengumumkan penubuhan satu pasukan bertugas peringkat tertinggi (task force) yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara untuk menyiasat kes penyelewengan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) secara mendalam. Antara tugas penting pasukan bertugas ini adalah untuk mengkaji halatuju pembangunan dan perkembangan PKFZ pada masa depan.

Skandal PKFZ sememangnya perlu diselesaikan secepat mungkin. Projek pembangunan sebagai "pusat pengangkutan negara dan rantau" dalam Rancangan Malaysia ketujuh ini, tidak harus berakhir sebagai projek gajah putih yang menelan dana awam.

Semenjak PKFZ beroperasi pada tahun 2006, kadar lot yang dapat disewakan tidak begitu memuaskan. Daripada jumlah keluasan lot yang dapat disewakan, iaitu sebanyak 31,187,744 kaki persegi, hanya 4,460,021 kaki persegi, atau 14% yang tersewa. Antaranya, kadar lot yang dapat disewakan adalah 15% untuk unit industri ringan (Light Industry Unit), 19% untuk bangunan pejabat dan 14% untuk tanah-tanah lapang.

Syarikat yang bertanggungjawab untuk PKFZ, iaitu PKFZ Sdn.Bhd mengalami kerugian setiap tahun, sejak PKFZ mula beroperasi pada tahun 2006. Menurut laporan audit PricewaterhouseCoopers pada Februari 2009, kerugian syarikat tersebut telah mencatat defisit operasi (operation defisit) sebanyak RM 24,368,000 dalam tempoh dari tahun 2006 hingga September 2008.

Tetapi, Lembaga Pelabuhan Klang menganggarkan bahawa jumlah lot yang berpotensi untuk disewakan adalah 13,515,717 kaki persegi, ataupun bersamaan 43%. Malah, lembaga tersebut juga meramalkan bahawa 100% lot dapat disewakan menjelang tahun 2018. Seandainya matlamat ini tercapai, maka pendapatan daripada kutipan sewa ini akan mencecah RM112 juta (RM112,000,000), dan untung bersih selepas ditolak cukai sebanyak RM61 juta (RM 61,000,000). Oleh itu, selepas tahun 2042, PKFZ akan mampu untuk menjelaskan semua hutang yang tertunggak.

Ramalan yang terlampau optimis

Seandainya syarat-syarat seperti persaingan dalam dan luar negara, kedudukan geografi, dasar makro, strategi pemasaran, lebih-lebih lagi beban hutang yang dipikul PKFZ diambil kira, perlu diakui bahawa PKFZ mempunyai kelebihan dari segi daya saing dan juga kedudukan geografi yang strategik. Namun, apabila diambil kira faktor-faktor yang selebihnya, ramalan Lembaga Pelabuhan Klang adalah terlalu idealistik.

Persoalannya, adakah PKFZ memenuhi syarat untuk menjadi sebuah pelabuhan zon perdagangan bebas yang berjaya? Keduanya, adakah PKFZ dapat menghadapi persaingan luar?

Jebel Ali Free Zone

Biar Jebel Ali Free Zone (Jafza) di Dubai dijadikan rujukan. Jafza yang seluas 48 km persegi, dianggap sebagai salah satu zon perdagangan bebas yang terbesar, malah paling cepat pertumbuhannya di dunia. Sejak zon ini mula beroperasi pada tahun 1985, ia mencatat kadar pertumbuhan hampir 320 kali ganda dalam tempoh 23 tahun. Bilangan syarikat yang bertapak di Jafza bertambah dari 19 buah pada tahun 1985, kepada 6,100 buah pada tahun 2008.

Jafza terletak di antara Jebel Ali Port, pelabuhan yang keenam terbesar di dunia dengan Lapangan Terbang Al Maktoum, yang bakal menjadi lapangan terbang kargo yang terbesar di dunia. Jarak perjalanan dari Jafza ke Jebel Ali Port atau lapangan terbang Al Maktoum hanya mengambil masa 20 minit.

Lapangan terbang Al Maktoum dijangka mula beroperasi pada Jun 2010. Kadar perdagangan, industri dan logistik di Jafza akan dipertingkatkan kelak. Kedudukan geografi Jafza begitu strategik, sebagai pintu utama kepada mereka yang keluar dan masuk ke rantau Timur Tengah, Afrika, malah Asia Tengah, yang meliputi kira-kira 2 billion orang pengguna.

Dubai Port World (DP World) adalah sister company kepada Jebel Ali Port, juga memiliki pelabuhan Dubai. Sebagai pelabuhan yang keempat terbesar di dunia, DP World mendirikan sebanyak 49 terminal marin (marine terminal) di 31 buah negara, malah 12 lagi terminal marin baru yang bakal beroperasi. DP World juga memiliki empat zon perdagangan bebas.

Pada tahun 2008, DP World mengendalikan lebih daripada 46.8 juta kontena di seluruh dunia, malah menggariskan matlamat untuk mengendalikan 67 juta kontena pada tahun 2030. Menurut perancangan DP World, bilangan kontena yang akan dikendalikan Jebel Ali Port akan mencecah 30 juta pada tahun 2030.

Pelabuhan Singapura

Seterusnya, PKFZ dibandingkan dengan pelabuhan yang terdekat, iaitu Pelabuhan Singapura. Pelabuhan Singapura terletak di persisiran pantai selatan Singapura, dikelilingi Selat Melaka dan Selat Singapura, adalah pelabuhan entrepot yang terbesar di Asia Pasifik, juga antara pelabuhan kontena yang terbesar di dunia.

Pelabuhan Singapura mempunyai kedudukan geografi yang strategik, iaitu terletak di jalan perairan utama antara lautan Hindi dan lautan Pasifik. Pelabuhan Singapura merupakan pelabuhan yang paling pesat, serta pelabuhan pemindahan kontena yang terbanyak di seluruh dunia. Pada tahun 2008, bilangan kontena yang dipindahkan di Pelabuhan Singapura mencecah 29.9 juta, menduduki ranking tertinggi di dunia.

Selain daripada itu, Pelabuhan Singapura juga merupakan salah satu pusat pengangkutan marin (marine transport hub) yang terbesar di dunia, dilengkapi dengan kemudahan dan perkhidmatan pelabuhan yang sempurna, serta liputan rangkaian pelabuhan yang merangkumi seluruh dunia.

Kini, terdapat sekurang-kurangnya 250 buah syarikat kapal laut yang menghubungkan Singapura kepada lebih 600 pelabuhan daripada 123 negara di seluruh dunia. PSA Corporation Ltd diiktiraf sebagai syarikat pelabuhan dan perkhidmatan logistik yang terbaik di dunia. Pemenang anugerah "Pengusaha Pelabuhan Kontena Terbaik di Asia" setiap tahun ini, telah memperolehi anugerah AFIA (Asian Freight Industry Award) sebanyak 13 kali. Pada masa yang sama, Pelabuhan Singapura juga terpilih sebagai "Pelabuhan Terbaik di Asia" untuk 14 kali.

*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Analisa ini terjemah dan disunting.

Tiada ulasan: