Jumaat, 23 April 2021

Senarai barang terkawal sempena Aidilfitri akan ditambah kepada 33 jenis

PUTRAJAYA: Jumlah senarai barang kawalan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 akan ditambah daripada 12 kepada 33 jenis, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi

Beliau berkata 12 barangan yang diumumkan sebelum ini hanyalah peringkat pertama.

“Kita akan umum tambahan lagi. Berkemungkinan keseluruhan 32 atau 33 barang.

“Memang lebih 30 barang sudah dikenal pasti termasuk yang (sudah) umum ini,” katanya pada sidang media sempena lawatan dan majlis penyampaian amanat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Pada 19 April, KPDNHEP mengumumkan 12 jenis barangan bawah SHMMP 2021 bermula 21 April lalu.

Alexander berkata, senarai barang yang diumumkan dalam SHMMP termasuk ayam, telur ayam, daging, serta hasil laut seperti ikan tongkol, selayang, kembung dan mabung.

Dalam pada itu, Alexander prihatin pada semua peniaga dan pengguna, disebabkan itu beliau tidak tergesa-gesa mengumumkan harga kawalan barang supaya adil kepada semua.

Pada 21 April lalu, bekas menteri pertanian dan industri asas tani, Salahuddin Ayub, mendesak kerajaan menaikkan jumlah senarai barang SHMMP Hari Raya Puasa 2021 daripada 12 kepada 30 jenis.

Salahuddin berkata, senarai penguatkuasaan barang kawalan itu perlu dibuat dua minggu sebelum dan selepas perayaan supaya tidak membebankan pengguna, peniaga, dan pembekal.

Sebelum ini, KPDNHEP mengadakan beberapa sesi libat urus dengan pemilik ladang ayam terbesar, serta perbincangan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), bagi membolehkan penetapan harga ayam standard dilaksanakan.

Hasilnya, harga ayam standard ditetapkan pada RM7.90 bawah SHMMP Hari Raya Puasa 2021, yang bermula hari ini hingga 20 Mei, berbanding RM7.50 pada SHMMP Hari Raya Puasa 2020

Tiada ulasan: