Ahad, 8 Disember 2013

Semua kawasan perlu wujud Rukun Tetangga bagi atasi isu jenayah

Oleh : Norhayati Umor


KLANG : Kawasan Rukun Tetangga (KRT) atau persatuan penduduk perlu diwujudkan di setiap kawasan untuk menyaksikan keberadaan mereka dalam masyarakat dihormati, sekali gus menjadi rujukan dalam usaha mengekang isu jenayah dan setempat.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, berkata semua pihak harus bekerjasama bagi membuang tanggapan negatif berhubung tugas dan fungsi KRT itu.

shah_alam_mp_khalid_samad

Katanya, KRT diwujudkan supaya menjadi agensi saluran kepada penduduk untuk membawa sebarang masalah atau isu berbangkit.

“Ramai orang anggap, tugas utama KRT membuat rondaan waktu malam. Tetapi penduduk perlu tahu fungsi sebenar KRT yang sebenarnya lebih besar berbanding menjalankan rondaan.

“KRT juga perlu agresif menyalurkan maklumat kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan polis dalam usaha membantu mengekang isu jenayah,” katanya pada Majlis Mengenali Ahli Jawatankuasa Rukun Tetangga dan Jiran di Taman Summit, di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Majlis Majlis Perbandaran Klang (MPK), Noraini Yusof dan beberapa pegawai polis dari balai polis Klang.

Khalid berkata, beliau berharap lebih ramai penduduk dan generasi muda menyertai KRT di taman perumahan masing-masing supaya lebih banyak aktiviti dapat dilaksanakan.

“Peruntukan untuk KRT ada daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen dan kerajaan pusat. Jadi ia boleh digunakan dengan cara yang betul.

“Kekuatan perlu diketengahkan pemimpin KRT dan ia sangat penting kerana setiap aktiviti yang diadakan bertujuan meningkatkan semangat muhibah antara mereka,” katanya.-NFN-

Tiada ulasan: