Khamis, 19 Disember 2013

Perisikan Tentera Mantap, Mampu Hidu Ancaman Kepada Negara - PAT

 MSTAR ONLINE
 
 
KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata perisikan tentera negara ini amat mantap dalam menghidu sebarang ancaman, termasuk serangan yang dikatakan sedang dirancang oleh kumpulan Abu Sayyaf, atau Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF).

Beliau berkata anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa melakukan risikan bersama negara lain dalam mendapatkan maklumat berhubung desas-desus ancaman termasuk serangan atau pencerobohan.

"Saya menganggap (dakwaan mengenai kemungkinan) serangan itu hanyalah khabar angin yang disebarkan pihak tertentu, namun ini tidak bermakna kami dan pasukan keselamatan lain seperti polis mengambil mudah perkara (khabar angin) itu," katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas menghadiri Persidangan Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS TALK) 2013 di sini, Rabu.

Zulkifeli ditanya mengenai dakwaan yang mengatakan beberapa kumpulan militan termasuk kumpulan Abu Sayyaf dan MNLF mahu menyerang tiga kawasan iaitu Pulau Selingan (Sandakan), Pulau Langkayan (Beluran) dan Resort Sukau (Kinabatangan) pada semalam dan Hari Krismas ini.

Katanya, perisikan turut dilakukan bersama kerajaan Filipina dalam membanteras sebarang aktiviti yang boleh mengancam keamanan negara.

Zulkifeli menegaskan keadaan keselamatan di Sabah jauh lebih baik dan terjamin berbanding sebelum ini dengan kewujudan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE). -BERNAMA

Tiada ulasan: