Nurul Izzah Anwar 
 Nurul Izzah Anwar


SHAH ALAM - Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar hari ini, mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar mengeluarkan respons segera berkaitan kadar kenaikan tol bagi meredakan kebimbangan rakyat.

Jelas Nurul Izzah, yang juga merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, tindakan Perdana Menteri yang bertindak berdiam diri hanya akan menambahkan lagi kegusaran rakyat ditambah lagi dengan pelbagai berita kenaikan sejak beberapa hari yang lalu.

“Saya mendesak agar perdana menteri mengeluarkan respons serta-merta berkenaan kadar kenaikan tol ini.

“…Bagi saya janji yang dimungkiri ini akan membebani rakyat, oleh itu saya berasa amat kecewa dengan tumpuan kerajaan BN yang mengukir masa hadapan Malaysia ke arah yang malap, oleh itu perdana menteri harus keluarkan kenyataan bagi menenangkan semula hati rakyat,” katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.

Desas-desus mengenai kenaikan tol bermula ekoran kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof bahawa terdapat semakan semula kadar tol pada tahun hadapan dari segi perjanjian antara kerajaan dengan syarikat konsesi lebuh raya.

Baru-baru ini pula, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, kerajaan terpaksa menaikkan kadar tol kerana kerajaan membelanjakan RM400 juta sebagai pampasan kepada syarikat konsesi lebuh raya.

Kadar kenaikan tol dijangka berlaku antara 30 sen sehingga RM1, tetapi tidak menyatakan untuk jarak perjalanan berapa jauh.

Difahamkan, terdapat 13 lebuh raya yang terlibat dalam semakan semula kadar tol itu.