Ahad, 15 Disember 2013

Kajian sahkan Malaysia tidak mampu lahirkan pekerja berkemahiran tinggi – Lim Kit Siang

pisa2012_400_258_70


KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka tidak mampu menghasilkan pekerja berkemahiran tinggi untuk menjadi negara berpendatan tinggi jika transformasi pendidikan dilakukan ke arah mengejar kecemerlangan, bukan secara ala kadar.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, ini adalah berdasarkan kajian terkini kerajaan dalam penilaian Programme for International Student Assessment (PISA) 2012 dan laporan Bank Dunia berjudul “Malaysia Economic Monitor: High-Performing Education”.

Katanya, Penasihat Institute of Labour Market Information and Analysis (ILMIA), Lee Chee Sung, sebuah lembaga di bawah Kementerian Sumber Tenaga Manusia menyatakan demikian pada majlis perasmian portal ILMIA di Kuala Lumpur kelmarin bahawa walaupun 400,000 peluang kerja dibentuk tahun lalu, Malaysia masih belum menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi kerana kekurangan pekerja berkemahiran tinggi.

Pada majlis yang sama, Menteri Sumber Tenaga Manusia, Datuk Richard Riot Jaem mengakui bahawa pada masa ini, kira-kira 28 peratus daripada 12.7 juta tenaga buruh dalam negara terdiri daripada pekerja berkemahiran tinggi dan kerajaan mensasar untuk meningkat kepada 50 peratus menjelang 2020.

Bagaimanapun, menurut Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, kedua-dua penanda aras pendidikan antarabangsa yang penting, Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) 2011 dan PISA 2012, menunjukkan pencapaian Malaysia dalam membangunkan sumber tenaga manusia negara adalah lemah, sedangkan modal insan adalah pemacu asas bagi pertumbuhan ekonomi.

“Seperti dinyatakan dalam laporan Malaysia Economic Monitor Bank Dunia, sistem pendidikan membina kemahiran kognitif dan melengkapkan pekerja dengan pengetahuan yang dapat meningkatkan daya pengeluaran mereka dan memungkinkan inovasi untuk terjadi.

“Pengetahuan daripada peringkat asas seperti kemahiran membaca sehingga kejuruteraan maju, yang disalurkan menerusi sekolah adalah amat penting untuk kemajuan ekonomi dan sosial kita,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pendidikan Malaysia bermasalah bukan daripada segi kuantiti atau akses kepada pendidikan, sebaliknya mutu atau akses kepada pendidikan bermutu.

Katanya, Bank Dunia menyifatkan usaha membentuk sistem pendidikan berprestasi tinggi sebagai satu unsur penting dalam transformasi Malaysia ke arah menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi, lestari dan inklusif.

“Atas sebab inilah semua rakyat Malaysia perlu memandang serius krisis sistem pendidikan negara dalam keadaan prestasi penilaian antarabangsa di bawah tahap yang wajar bagi sebuah negara yang mempunyai pendapatan per kapita serta perbelanjaan pendidikan.

“Selain itu kerana prestasi Malaysia lebih buruk daripada negara berpendapatan tinggi yang kita anggap pesaing dalam usaha menarik masuk pelaburan berasaskan inovasi dan pengetahuan,” katanya.

Menurutnya, Malaysia berdepan dua masalah dalam usaha membentuk sistem pendidikan berprestasi tinggi iaitu memastikan pelajar Malaysia berusia 15 tahun yang pencapaian bawah tahap purata antarabangsa serta ketinggalan di belakang negara berprestasi tinggi seperti Shanghai, Singapura, Korea Selatan, Hong Kong dan Taiwan untuk mampu melakukan lonjakan berganda dalam PISA 2021 daripada tangga sepertiga tercorot ke tangga sepertiga terbaik.

Keduanya, peningkatan besar daripada segi peratusan pelajar berprestasi tinggi dalam subjek matematik, sains dan bacaan.

Untuk subjek matematik dalam PISA 2012, Shanghai-China memiliki pelajar berpencapaian terbaik iaitu pada Tahap 5 atau 6 (55.4%), diikuti Singapura (40%), Taiwan (37.2%), Hong Kong (33.7%) dan South Korea (30.9%).

Antara 15 dan 25 peratus pelajar Belgium, Kanada, Finland, Jerman, Jepun, Liechtenstein, Macao, Netherlands, New Zealand, Poland, dan Switzerland mencatatkan prestasi terbaik dalam matematik.

Sebagai perbandingan, hanya 1.3% pelajar Malaysia tergolong sebagai pelajar berpencapaian terbaik, sedangkan lebih daripada separuh pelajar Malaysia (51.8%) tidak mencapai tahap keupayaan asas yang memadai dalam bidang itu (di bawah Tahap 2).

Pelajar Malaysia dalam kumpulan 5% terbaik sekali pun menunjukkan pencapaian yang hanya setara dengan pelajar biasa dari Korea Selatan dan Jepun.

Menurut Kit Siang, perkara yang perlu diperhatikan, pencapaian Malaysia berada di bawah Vietnam, sebuah negara berpendapatan rendah yang pertama kali menyertai PISA pada 2012. Sebanyak 13.3% pelajar Vietnam digolong sebagai pelajar berpencapaian tinggi dan hanya 14.2% yang keupayaan asas dalam subjek Matematik mereka berada di bawah tahap asas.

“Perbandingan mata PISA 2012 antara Vietnam dan Malaysia perlu diperhatikan secara lebih dekat pemimpin politik, perancang pendidikan dan ibu bapa dalam tiga subjek itu iaitu Malaysia dalam matematik (421), Sains (420) dan Bacaan (398) manakala Vietnam matematik (511), sains (528) dan bacaan (508).

“Apakah Malaysia mempunyai kesungguhan politik untuk mengubah sistem pendidikannya menjadi sistem pendidikan berprestasi tinggi demi mengejar kecemerlangan dan bukan hanya terbiar menjadi satu sistem ala kadar untuk membolehkan Malaysia mencapai matlamat untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi, lestari dan inklusif menjelang 2020,” katanya.-Roketkini.com

Tiada ulasan: