Ahad, 15 Disember 2013
KDN: 20 pengakuan saksi direkodkan jadi bukti ‘gred A’ Mat Sabu Syiah
Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan memiliki bukti eksklusif 'gred A' berupa pengakuan lebih 20 individu yang didakwa mampu 'menceritakan' kecenderungan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar) dengan fahaman Syiah.
Penolong Setiausaha Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam KDN, Zamihan Mat Zain Al-Ghari, berkata mereka merupakan individu terdekat dan rapat dengan pemimpin yang dikenali sebagai Mat Sabu itu.
“Ada yang 'sekapal' daripada sudut politik, ada juga pengikut Syiah yang sudah bertaubat. Mereka ini rapat dengan pemimpin tersebut, orang yang berkawan dengannya, jadi 'anak buah' dia. Mereka menyaksikan apa dia cakap, buat dan libatkan aktiviti berkaitan Syiah.
''Mereka juga pernah bersama dia ke Iran dan menghadiri mesyuarat kumpulan Syiah. Jadi, kalau orang yang dekat dengannya boleh mengemukakan bukti, bagaimana hendak nafi?
''Jangan lupa, bila dia ke luar negara, dia lawat siapa, pergi mana, sudah tentu ada aspek catatan rekod teknikal Jabatan Imigresen. Semua ada rekod dan bukti,'' katanya dipetik daripada akhbar Utusan Malaysia edisi Ahad, Mingguan Malaysia hari ini.
Zamihan berkata, KDN juga memiliki bukti yang mengaitkan Mohamad menghadiri seminar berkaitan Syiah di Iran selain kekerapan pertemuan dengan pemimpin tertinggi Syiah di luar negara.
Beliau mendakwa, penglibatan Mohamad dengan Syiah bukannya perkara baharu tetapi dikatakan berlaku sejak era 1990-an.
''Ada gambar, tetapi tidak banyak termasuk video.
''Kementerian mengemukakan 10 maklumat secara fakta. Kalau fakta ini ditarafkan sebagai lemah, lawak atau tidak masuk akal, sila bawa fakta yang boleh nyahkan bukti-bukti kementerian itu.
''Sampai kini, tak mampu nyahkan bukti itu. Kita tidak akan dakwa kalau tiada fakta. Kita bukan bercirikan politik atau mahu aibkan individu berkenaan. Kita bercakap atas platform kebenaran,'' katanya.
Mohamad sebelum ini menafikan sekeras-kerasnya berfahaman Syiah, tetapi tidak menolak beliau mengagumi pemimpin besar Revolusi Iran Ayatollah Ruhullah Musawi al-Khomeini dan Setiausaha Agung Hezbollah, Sayyid Hassan Nasrallah.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
Baguslah kalau sudah cukup dengan untuk buat dakwaan tapi kenapa pengikut syiah yang tegar dan telah mengaku mengamal ajaran syiah tidak pula ditangkap dan didakwa kenapa dengan Mat Sabu adakah dia seorang saja yang akan mengancam keselamatan Negara dan 'Aqidah umat Islam diMalaysia.Fikirlah sendiri wahai rakyat Malaysia yang berfikiran waras.
Catat Ulasan