Isnin, 9 Disember 2013

Jasa Rosmah, menteri lain perlu insafi diri

MUHAMMAD FAIZAL 


KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar meminta barisan kabinet menginsafi diri apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak lebih menghargai jasa isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor kepada negara ini.

Malah jelasnya lagi, pengakuan tersebut menunjukkan apa yang dilakukan oleh barisan kabinet itu turut tidak dihargai oleh Najib.

"Mana-mana menteri atau timbalan yang dilantik di dalam kabinet perlulah menginsafi diri dan menilai kembali segala jasa yang mereka lakukan selama ini.

"Kita lihat Najib lebih menghargai jasa isterinya sahaja jika dibandingkan pemimpin lain, kerja teruk-teruk tetapi tidak dihargai, kesian," jelasnya.

Dalam pada itu, Mahfuz juga turut menyatakan pengakuan tersebut membukti Najib tidak mempunyai kemampuan untuk menyelesaikan masalah di peringkat antarabangsa sehingga terpaksa meminta bantuan isterinya.

"Sekarang sudah jelas bahawa Najib tidak ada kemampuan untuk menyelesaikan masalah rakyat di peringkat antarabangsa termasuk Menteri Luar yang dilantik.

"Jadi untuk apa kita membazirkan duit membayar gaji Perdana Menteri dan menteri, lebih baik lantik Rosmah menyertai kabinet atau sebagai Perdana Menteri sebab bukti beliau mampu menyelesaikan masalah.

"Rasanya belum terlambat untuk Najib serta barisan kabinet membuat perubahan dengan melantik Rosmah sebagai menteri," sambung beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena.

Mahfuz dalam pada itu tidak bersetuju jika pendedahan 'jasa' Rosmah oleh Najib itu sekadar alasan untuk membenarkan isterinya itu menggunakan kemudahan serta kewangan negara.

Tiada ulasan: