Isnin, 9 Disember 2013

Misi bantuan banjir agih bantuan dari rumah ke rumah



HAZAYANI ZAKARIA 


KUALA LUMPUR: Sekretariat Parlimen Temerloh meneruskan misi bantuan kepada mangsa banjir di beberapa pusat pemindahan banjir di Dun Mentakab, Lanchang dan Kuala Semantan.

Menurut Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan pihaknya bergerak dengan kerjasama Unit Amal Malaysia dan Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan selain jentera dari Selangor dan Perak.

Katanya, selain mengagihkan bantuan ke pusat-pusat pemindahan banjir, pihaknya juga pergi memberikan bantuan dari rumah ke rumah kerana ada mangsa yang terperangkap di rumah dan tidak dapat dibawa ke pusat pemindahan banjir.

Setakat ini penduduk Kampung Lompat dan Kampung Batu Kapur di Dun Semantan terperangkap di rumah masing-masing dan bantuan perlu dihantar ke sana menaiki bot.

"Paling besar kredit saya perlu berikan kepada Unit Amal kerana mereka yang bertungkus-lumus membantu dari awal lagi hinggalah hari ini.

"Hari ini pun ada 20 orang lagi jentera Unit Amal memberikan perkhidmatan mereka mengagihkan bantuan ke pusat bantuan banjir dan ke rumah-rumah.

"Sebanyak sepuluh pusat pemindahan banjir masih didiami mangsa banjir," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Tambah beliau juga, operasi bantuan mungkin akan berterusan sehingga empat atau lima hari lagi, sehingga banjir surut di Temerloh.

Selepas mangsa pulang ke rumah masing-masing, operasi membersihkan rumah akan dilakukan sehingga selesai.

"Mengikut pengalaman lepas, banjir akan berterusan labih dari seminggu. Walaupun di Temerloh tidak hujan, tetapi hujan dari Jerantut dan kawasan sekitar menyebabkan air melimpah ke Temerloh.

"Khidmat kita bukan sahaja ketika banjir, tetapi akan tutut membantu mangsa membersihkan rumah mereka yang dicemari lumpur dan sampah-sarap," kata AJK PAS Pusat itu.

Tiada ulasan: