Isnin, 9 Disember 2013

Gaji Adun: Semakan dua minggu lagi, kata Khalid

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjangkakan semakan semula terhadap kelulusan kenaikan gaji Adun negeri itu akan diadakan dalam masa dua minggu lagi.

Menurut Abdul Khalid, beliau akan memanggil ahli dewan negeri untuk berbincang bagi memahami cadangan dan saranan pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat terhadap isu itu yang dikemukan baru-baru ini.

“Kenaikan gaji itu telah diluluskan Dewan Negeri Selangor. Justeru, kita perlukan perbincangan lanjut dengan ahli dewan,” katanya dipetik Selangorkini.

Dewan Negeri Selangor sebelum ini meluluskan kenaikan gaji untuk 56 Adun berkuatkuasa tahun depan, dengan timbalan speaker mendapat kenaikan tertinggi sebanyak 373.3 peratus.

Rang undang-undang Enakmen Anggota Pentadbiran dan Anggota Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2013 juga memperuntukkan kenaikan gaji menteri besar, speaker dan exco kerajaan negeri.

Bagaimanapun, pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat menggesa kadar kenaikan itu dikaji semula dengan mengambil kira suara rakyat terbanyak.

Dalam pada itu Abdul Khalid berkata, sehingga kini tiada Adun dari pihak kerajaan mahupun pembangkang yang membantah kenaikan berkenaan.

Tiada ulasan: