Dapat RM200 sehari jual ubi kayu 
 Mohd Fauzi menjual ubi kayu pada harga RM2 sekilogram dan mampu menjual 100 kilogram sehari pada musim tengkujuh.


MARANG - Sepanjang musim tengkujuh ini, ubi kayu mendapat permintaan tinggi memandangkan harganya yang masih murah, selain boleh dibuat pelbagai jenis juadah.

Seorang peniaga ubi kayu di Kampung Padang Air Deras, Bukit Payung, Mohd Fauzi Hamzah, 32, berkata, dia mula menjual ubi kayu di Pasar Bukit Payung sejak akhir bulan lalu, sebaik saja hujan lebat melanda daerah berkenaan.

Menurutnya, dia mampu menjual sehingga 100 sekilogram sehari, malah jumlahnya akan meningkat pada Jumaat.

“Permintaan tinggi mungkin disebabkan harganya yang masih murah iaitu hanya kira-kira RM2 sekilogram,” katanya.

Seorang penggemar ubi kayu, Abdullah Muda, 52, berkata, ubi kayu dan nasi mempunyai khasiat yang sama, malah ubi kayu boleh dibuat pelbagai kuih dan rasanya jauh lebih enak berbanding kuih dibuat daripada beras atau gandum.