Selasa, 3 Disember 2013

Bekas polis desak Peguam Negara buka semula kes mata lebam Anwar

OLEH MD IZWAN


Gani dituduh mereka bukti bagi kes mata lebam Anwar Ibrahim. Gambar fail. 
 Gani dituduh mereka bukti bagi kes mata lebam Anwar Ibrahim. Gambar fail


Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim mendesak supaya siasatan insiden pemalsuan bukti kes mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim dibuka semula susulan arahan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail supaya polis membuka semula siasatan kes rogol di Kedah semalam.

Mat Zain berkata, sekiranya Peguam Negara boleh mengarahkan siasatan semula kes pasangan suami isteri remaja di Kedah, maka perkara sama boleh dilakukan dalam siasatan kes mata lebam Anwar.

Semalam Gani berkata, polis akan membuka semula siasatan kes rogol remaja 13 tahun dari Kedah yang berkahwin dan bercerai dengan lelaki yang dikatakan perogolnya.

Beliau berkata, gadia remaja itu membuat laporan polis di Balai Polis Kulim pada 15 Julai, 2013.
Katanya, dia dirogol dua remaja kemudian dirogol oleh Mohd Fahmi Mohamed Alias yang kemudian menjadi suaminya.

"Peguam Negara sedia mengarahkan polis membuka kes tersebut di atas kesilapan atau ketinggalan pihak penyiasat atau DPP (Timbalan Pendakwa Raya) yang mengendalikan kes tersebut.

"Maka saya mendesak malah mencabar Peguam Negara untuk membuka semula penyiasatan ke atas laporan Polis Dang Wangi No: 2/08 bertarikh 1 Julai 008 yang dibuat oleh Anwar Ibrahim," kata Mat Zain dalam satu kenyataan media hari ini.

Mat Zain mendakwa, beliau teraniaya disebabkan oleh insiden mata lebam tersebut bersama-sama seorang lagi saksi yang memberikan keterangan iaitu Dr Abdul Rahman Yussof.

"Kamu boleh lihat bagaimana pihak terlibat memutarbelitkan penyiasatan perkara ini yang berkesudahan dengan Gani dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dibersihkan daripada perbuatan salah laku.

"Sementara Dr Rahman dan saya dibiarkan untuk dijadikan bahan spekulasi dan cemuhan rakyat," katanya.

Beliau berkata, insiden pemalsuan mata lebam tersebut sepatutnya disiasat oleh polis dan bukannya menyerahkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) ketika itu.

"Kes ini diserahkan kepada BPR ketika itu dan penyiasatan dijalankan di bawah Seksyen 15 Akta BPR. Undang-Undang yang digunakan ini adalah langsung tidak berkaitan dengan kesalahan memberi atau mereka keterangan palsu seperti yang dilaporkan.

"Sepatutnya kes ini disiasat di bawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang sememangnya khusus untuk penyiasatan kesalahan ini dan badan yang paling layak dan mahir menyiasatnya ialah polis dan bukan BPR/SPRM," katanya.

Insiden tersebut mendapat perhatian selepas Anwar hadir di mahkamah pada 29 September 1998 dengan keadaan mata lebam akibat ditumbuk Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor.

Anwar secara peribadi menuduh Abdul Gani dan Musa Hassan mereka bukti terhadapnya semasa perbicaraan, khususnya laporan perubatan mata lebam kononnya memukul diri sendiri semasa di dalam penjara.

Tuntutan Anwar itu disokong dengan surat terbuka pegawai kanan polis Mat Zain kepada bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berhubung isu insiden "mata lebam" Anwar.

Mat Zain pada waktu itu adalah pegawai yang menyiasat kes mata lebam itu.

Tiada ulasan: