Rabu, 18 Disember 2013

Barang naik: Angkara penasihat atau tanda lemahnya Najib?

Shahbudin Husin



Kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang berturut-turut sejak beberapa bulan lalu mula menimbulkan keresahan kepada rakyat. Setelah beberapa kenaikan berlaku, pertanyaan yang sering bermain di fikiran ialah, apakah lagi akan naik selepas ini?

Setelah kenaikan tarif letrik sebanyak 15 peratus bermula Januari 2014, kenaikan kadar tol antara 50 sen hingga RM2 di beberapa lebuh raya bermula tarikh yang sama, mungkin adalah hadiah tahun baru paling menyedihkan yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat. Lebih-lebih lagi, janji pengurangan tol antara bandar adalah antara janji BN yang terkandung dalam manifesto pilihan raya umum 5 Mei lalu.

Dengan pengumuman kenaikan tol semalam bermakna kerajaan ‘membakulsampahkan’ janjinya sendiri kepada rakyat sehingga dilaporkan kandungan manifesto itu sudah pun dipadamkan daripada laman web BN. Ia menunjukkan satu lagi bukti janji dicapati, bukannya ditepati.

Sebelum ini, walaupun hanya mencapai kemenangan paling buruk dalam sejarah BN, kerajaan juga sudah mengumumkan kenaikan harga minyak, penghapusan subsidi gula, kenaikan cukai pintu DBKL dan pelaksanaan cukai GST yang akan bermula pada April 2015.

Dengan segala kenaikan yang dilakukan kerajaan itu, semua kos kehidupan kini sudah meningkat dan rakyat mempunyai semakin kurang wang dalam poket masing-masing.

Keresahan rakyat terhadap kerajaan kini boleh didengari di mana-mana. Di dalam Umno dan kerajaan sendiri sudah mula kedengaran suara-suara yang semakin lantang menolak pelbagai kenaikan yang dilakukan oleh kerajaan ini. Pemuda Umno misalnya tidak berselindung lagi menyatakan rasa tidak senangnya dengan kenaikan yang bertalu-talu sejak kebelakangan ini dan akan membangkitkannya dalam mesyuarat Kabinet.

Blogger dan laman sosial pro Umno dan kerajaan juga mulai bersikap kiri dengan mengkritik pelbagai kenaikan yang berlaku sejak kebelakangan ini yang dianggap tidak sensitif terhadap kehidupan rakyat yang sudah sedia terhimpit kehidupannya. Lebih daripada itu, kenaikan harga barang dan perkhidmatan ini juga seolah-olah menunjukkan kerajaan tidak mengenang budi pengundi luar bandar yang memenangkannya dalam pilihan raya lalu.

Bagaimanapun, bagi kebanyakan pemimpin Umno dan blogger pro kerajaan, mereka lebih banyak menyalahkan penasihat Najib dalam semua kenaikan yang berlaku ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Idris Jala yang mengetuai Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan atau Pemandu serta penasihat kanan Najib, Omar Ong adalah dua individu yang paling banyak dipersalahkan kerana mereka berdua yang dikatakan memberi nasihat mengenainya kepada Najib.

Kedua-dua mereka ini digambarkan sebagai orang paling berpengaruh kepada Najib dalam menentukan dasar kerajaan dan ekonomi negara. Idris dikatakan orang yang bertanggungjawab meyakinkan Najib untuk memperkenalkan cukai GST dengan menjadikan negara Greece yang muflis sebagai rujukannya.

Beliau juga merupakan nadi dalam pelbagai program transformasi yang diperkenalkan Najib serta di sebalik pengumuman pelaburan bernilai berbilion ringgit yang diperolehi kerajaan.

Omar Ong, selain penasihat kanan Najib dan Ahli Lembaga Pengarah Petronas, dikatakan memainkan peranan penting dalam penstrukturan harga minyak dan rasionalisasi subsidi yang sehingga ini  menyebabkan meningkatnya harga minyak dan gula. Kenaikan tarif eletrik juga dikatakan atas nasihat beliau sebagai salah satu cara menambah pendapatan negara.

Tersebar juga berita bahawa hasrat peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai Penasihat Petronas adalah juga kerana kecewa dengan peranan Omar Ong yang terlalu berpengaruh dalam syarikat minyak itu sehingga dikatakan bekas PM itu tidak dapat berbuat banyak perkara, terutama berkaitan dengan usaha membantu usahawan Bumiputera.

Tetapi sejauh mana peranan dan pengaruh mereka ini kepada Najib tidak dapat dipastikan dengan tepat kebenarannya. Selain kedua-dua tidak pernah membuka mulut atau menafikan cakap-cakap orang ramai mengenainya, Najib juga turut berdiam diri dan tidak pernah bercakap tentangnya.

Tetapi setiap kali berlaku kenaikan yang dilakukan kerajaan, setiap kali itulah juga nama Idris dan Omar dikaitkan. Malah kalangan pemimpin kanan parti dan kerajaan juga turut menyebut mengenai perkara yang sama, seolah-olah merekah berdua inilah yang menentukan perjalanan serta hala tuju kerajaan.

Dan adalah mustahil Najib yang merupakan antara pemimpin dunia paling aktif dalam laman sosial tidak mengetahui langsung mengenai pelbagai dakwaan yang dilemparkan terhadap Idris Jala dan Omar Ong itu kerana setiap kali berlaku kenaikan harga barang dan perkhidmatan, pasti nama mereka itu disebut ramai.

Idris dan Omar juga mustahil tidak mengetahui langsung apa yang pemimpin Umno, blogger pro kerajaan dan orang ramai mengata mengenai diri mereka.

Oleh itu, sikap berdiam diri mereka ini agak misteri sifatnya. Ia mungkin bermakna benar mereka itu berpengaruh dalam menentukan dasar kerajaan yang diperkenalkan Najib atau mungkin juga semua kenaikan itu adalah kehendak Najib sendiri untuk menambah pendapatan dan mengurang hutang negara yang sudah pun mencecah 53.6 peratus daripada KDNK negara tetapi menjadikan Idris dan Omar sebagai kambing hitamnya.

Tetapi kalau pun Idris dan Omar begitu berpengaruh dalam merancang pelbagai dasar untuk kerajaan, Najib juga tidak seharusnya menerima bulat-bulat nasihat mereka itu, kecuali kalau perdana menteri sudah kena bomoh dengan mereka itu. Sebagai perdana menteri, Najib sebenarnya boleh menerima nasihat dan pandangan daripada sesiapa saja tetapi kata putus terpulang kepada beliau menentukannnya.

Dan sebagai perdana menteri yang memerlukan mandat rakyat setiap lima tahun, sebelum sesuatu keputusan dibuat, selain perlu juga menerima pandangan daripada menteri-menteri Kabinetnya, Najib juga perlu memikirkan soal kesejahteraan dan susah senang kehidupan rakyat. Tentulah tidak bermakna melaksanakan sesuatu yang kelihatan cantik daripada segi rekod ekonomi tetapi mengundang kemerosotan sokongan rakyat.

Menguruskan negara bukan seperti menguruskan syarikat perniagaan yang semata-mata berpaksikan keuntungan. Menguruskan negara adalah menguruskan kehidupan dan kesejahteraan rakyat dan faktor ini akan menjadi perkiraan paling penting setiap kali pilihan raya.

Kiranya benar semua kenaikan harga barang dan perkhidmatan ini adalah angkara nasihat daripada penasihat kiri dan kanannya yang tidak pernah memikirkan soal beban hidup rakyat tetapi semata-mata kerana mahu melihat rekod ekonomi tertulis dengan pencapaian yang baik, tindakan Najib menerima bulat-bulat nasihat mereka tidak lebih menunjukkan kelemahannya sendiri.

Sama ada peranan penasihat ini dapat dibuktikan atau sebaliknya, beban pertanggungjawaban terhadap segala penderitaan dan kesusahan rakyat akibat pengenalan dasar baru atau kenaikan harga barang dan perkhidmatan sejak kebelakangan ini adalah terletak dibahu Najib sepenuhnya.

Tiada orang lain yang boleh dipersalahkan dan Najib juga tidak boleh menyalahkan orang lain mengenainya. Najib pula mungkin berat untuk mengakui kesalahan dan kelemahannya, walaupun jauh di sudut hatinya beliau menyedari hakikat itu.

Oleh itu, kitalah sebagai rakyat dan pengundi yang perlu memberitahu Najib mengenai kesalahannya itu apabila tiba waktunya nanti. – shahbudindotcom.blogspot.com,

Tiada ulasan: