SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Kerajaan akan menggunakan Akta Kawalan Harga dan
Antipencatutan 2011 bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga
barangan sewenang-wenangnya apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST)
dilaksanakan pada April 2015.
Berdasarkan pemantauan ke atas negara-negara yang sudah pun
melaksanakan sistem pencukaian itu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk
Ahmad Maslan berkata harga barangan (secara keseluruhan) akan naik
sekitar 1.8 hingga dua peratus pada tahun pertama pelaksanaan.
"Kebiasaannya harga barangan ini akan naik kerana mereka (peniaga)
tidak memansuhkan cukai 10 peratus daripada sistem asal, tapi terus
memasukkan enam peratus daripada sistem GST kepada harga barangan
tersebut.
"Jadi kita akan menggunakan akta yang sedia ada bagi memastikan tiada
penyelewengan harga berlaku di negara ini apabila GST dilaksanakan
kelak," katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul
Rahman Bakar pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.
Semasa membentang Bajet 2014 pada Oktober lepas, Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelaksanaan GST pada kadar enam peratus
bermula April 2015.
Terdahulu, ketika menjawab soalan Senator Datuk S Nallakarupan mengenai
langkah-langkah yang perlu diambil kerajaan bagi memastikan rakyat
memahami pelaksanaan GST, Ahmad berkata selain kempen berterusan,
kerajaan akan mengeluarkan Garis Panduan Pengguna, tiga bulan sebelum
pelaksanaan sistem itu.
Beliau berkata senarai itu akan dikeluarkan bagi meningkatkan kesedaran
dalam kalangan pengguna serta memastikan mereka tidak ditindas
sewenang-wenangnya oleh golongan peniaga kelak.
"Kempen-kempen ini akan kita teruskan supaya kita dapat menjelaskan
kepada rakyat bahawa GST ialah satu cukai yang lebih telus, adil, kepada
pengguna dan juga mendapatkan hasil kepada negara.
"Cukai (menjadi) lebih baik dan ia juga mendatangkan beberapa faedah,
termasuk mengurangkan kos perniagaan...bila kurang kos itu, maka harga
barangan dapat diturunkan," katanya.
Selain itu, Ahmad turut menjelaskan bahawa pelaksanaan GST dapat
membantu mengurangkan kesan dari 'black economy' iaitu kerugian yang
negara tanggung akibat tindakan beberapa pihak melarikan diri daripada
membayar cukai.
Menurutnya pelaksanaan GST juga dapat mengurangkan ketirisan yang sedang berlaku dalam negara secara sistematik.
"Di negara kita, termasuk negara-negara yang sedang membangun, berlaku
situasi yang disebut 'black economy atau shadow economy,' di mana
berlaku ketirisan yang melibatkan puluhan bilion ringgit kerana tidak
patuh cukai.
"Tetapi apabila laksanakan GST, amat sukar untuk lari, terutama kepada
peniaga. Ia akan mengurangkan karenah birokrasi, menjamin ketelusan dan
menjadikan harga barangan lebih berpatutan," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan