Sabtu, 24 Oktober 2009

Ronnie Liu beri keterangan kepada SPRM

UTUSAN ONLINE


SHAH ALAM - Exco Selangor, Ronnie Liu Tan Khiew memberi keterangan lebih dua jam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berhubung dakwaan salah guna peruntukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pelek.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran dari DAP itu memberi keterangan berhubung dakwaan tersebut di pejabatnya kepada tiga pegawai penyiasat SPRM dari Putrajaya bermula pukul 10.45 pagi sehingga 1 petang ini.

Menurut Ronnie, beliau memberi keterangan sebagai saksi membabitkan lapan kes yang sedang disiasat SPRM termasuk peruntukan yang disalurkan kepada mangsa kebakaran, orang kurang upaya (OKU), gotong-royong dan mesra rakyat di kawasan DUN berkenaan.

Katanya, kesemua kes itu membabitkan pemberian wang tunai serta bantuan berjumlah antara RM1,000 hingga RM5,000 seorang termasuk sumbangan sebuah mesin proses air tebu kepada OKU.

"Saya luluskan semua peruntukan lapan kes yang disiasat SPRM ini. Saya ada semua bukti termasuk dokumen, gambar dan kad pengenalan penerima bantuan.

"Saya puas hati kerana semua pembayaran ini telah dibuat kepada penerima. Semua peruntukan digunakan dengan bersih dan betul," katanya kepada pemberita selepas memberi keterangan tersebut di pejabatnya di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini.

September lalu, pegawai khas kepada Ronnie untuk DUN Sungai Pelek, Wong Chuan How, ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan peruntukan tahunan DUN itu.

Sebelum ini, Ronnie juga merupakan antara ADUN yang dipanggil memberi keterangan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) kerana membelanjakan hampir RM800,000 daripada RM1 juta bagi kawasan Sungai Pelek dan Sungai Panjang.

Dalam perkembangan lain, Ronnie yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Kajian Selangor turut memberitahu hasil Audit Dalaman yang dilakukan oleh kerajaan negeri mendapati tiada penyelewengan peruntukan tahunan di Selangor.

Tiada ulasan: