Ahad, 18 Oktober 2009

Pengurangan 20 peratus kadar tol terlalu besar: Penyelidik

BERNAMA


KUALA LUMPUR - Cadangan oleh entiti swasta, Asas Serba Sdn Bhd, baru-baru ini untuk mengurangkan kadar tol sebanyak 20 peratus mungkin terlalu besar, kata Kenanga Research.

Firma penyelidikan itu berpendapat bidang utama perlu ditangani terlebih dahulu, termasuk struktur kos operasi dan kos kewangan baru.

“Kami juga percaya struktur kos sudah diputuskan dalam Perjanjian Konsesi (CA) sedia ada supaya selari dengan jadual kenaikan tol,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Kenangan Research berkata, bagi mendapatkan kesan nilai bersih semula jadi (NPV) semasa menerusi cadangan Asas Serba, ia akan menyebabkan lanjutan tempoh pemegangan konsesi yang lebih panjang

Laporan baru-baru ini menyebut Asas Serba telah melantik perunding untuk menjalankan kajian kesesuaian pelan pengambil alihan 22 lebuh raya dan menyemak semula serta menstrukturkan landskap industri lebuh raya semasa.

Kenanga Research berkata, pembiayaan untuk cadangan penswastaan itu, sehingga RM19 bilion (selepas mengambil kira hutang oleh pengambil alih), hanya merugikan sumber.

Mudah tunai itu wajar menjadi platform untuk pelaksanaan projek tertangguh lain dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), untuk memulakan dan merangsang kesan pengganda kemajuan sebenar.

Ia juga berkata, kerajaan mungkin memilih untuk membayar pampasan kepada Plus Expressway Berhad (Plus) secara tunai atau melanjutkan tempoh konsesi jika kadar tol baru dilaksanakan.

“Bagi tempoh konsesi yang berbaki, kerajaan menanggung RM5.8 bilion tunai pampasan setahun (dengan andaian pampasan tunai RM200 juta setahun), dengan jumlah dividen pendapatan yang dijangkkan sebanyak RM18 bilion,” kata firma penyelidikan itu.

Dalam hubungan itu, adalah lebih baik isu kenaikan tol itu diselesaikan dan sekali gus mengehadkan pembayaran tunai bagi sepanjang tempoh konsesi.

Sementara itu, firma penyelidikan itu mengekalkan andaian pertumbuhan trafik 3.5 peratus menjelang akhir tahun ini.

Jumlah trafik meningkat 5.7 peratus mengikut perbandingan tahunan dan dijangkakan lebih kukuh bagi tempoh bulan berbaki tahun ini, berikutan musim perayaan dan cuti sekolah.

Tiada ulasan: