Sabtu, 24 Oktober 2009

Nama Kopi Janda tetap tidak sesuai

UTUSAN ONLINE


KOTA KINABALU - Penggunaan nama Kopi Janda sebagai produk minuman tetap memberi persepsi negatif terhadap golongan itu walaupun ia dilakukan dengan niat baik.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Azizah Mohd. Dun berkata, golongan berkenaan akan merasa tidak selesa dan tertekan jika nama itu masih digunakan.

"Sama ada dinamakan sebagai Kopi Janda atau Kopi Duda sekali pun, penggunaannya tetap tidak sesuai dan memberi persepsi negatif. Banyak lagi nama yang sesuai.

"Golongan lelaki akan mempersendakan nama kopi ini. Fikirkanlah perasaan janda-janda dengan menjaga sensiviti mereka," tegasnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Azizah mengulas penjelasan Pengurus Besar Janda Produk Marketing, Md. Zulaimi Kazin bahawa penggunaan nama tersebut adalah berniat baik iaitu untuk mengangkat martabat golongan itu.

Menurut Md. Zulaimi, ia bukan bertujuan menghina maruah wanita, tetapi sebagai satu pengiktirafan terhadap kehebatan dan kecekalan golongan itu dalam mengharungi kehidupan.

Kelmarin, Azizah meminta syarikat minuman tersebut supaya tidak menggunakan nama kopi itu kerana mendakwa penggunaannya menghina wanita yang bergelar janda.

Beliau berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada golongan berkenaan yang melahirkan rasa tidak puas hati dengan penggunaan nama tersebut.

"Gunalah nama lain. Contohnya Kopi Bestari. Bukan ke sedap nama ini daripada kita menggunakan nama yang bukan-bukan dan tiada kena mengena dengan minuman itu," ujarnya.

Tiada ulasan: