Isnin, 12 Oktober 2009

Najib lancar buku Menakhoda Zaman, Helming the Times



Najib Tun Razak memegang buku Menakhoda Zaman dan Helming the Times sambil diperhatikan oleh Mohd. Khair Ngadiron (kiri) dan Ng Tieh Chuan di Mid Valley, Kuala Lumpur, semalam.

UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan buku dwibahasa iaitu Menakhoda Zaman dalam bahasa Melayu dan Helming the Times dalam bahasa Inggeris yang merupakan himpunan ucapan beliau yang telah diolah semula semasa menjadi Timbalan Presiden UMNO dari 2004 hingga 2009.

Perdana Menteri dalam kata-kata pendahuluan buku itu memberitahu, Menakhoda Zaman dipilih sebagai tajuk buku bersempena dengan tema ucapan beliau ketika merasmikan persidangan serentak perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO pada 29 Mac lalu.

Tambahnya, ia menjadi amanat terakhir beliau selaku Timbalan Presiden UMNO kepada perwakilan ketiga-tiga sayap itu sebelum mengambil alih tampuk pimpinan parti.

"Buku ini merupakan koleksi inti pati daripada siri ucapan perasmian tiga sayap UMNO dalam kapasiti Timbalan Presiden selama lima tahun, penerbitannya pula bukan hanya ditujukan kepada ahli-ahli parti.

"Penyuntingan semula lima ucapan itu dengan menyaring sebahagian besar aspek yang membabitkan politik dan UMNO, adalah untuk mengajak pembaca tanpa mengira latar belakang siasah mahupun keturunan untuk berkongsi kebimbangan, kepercayaan, pandangan juga wawasan saya demi bangsa dan negara ini, terutama orang Melayu," katanya.

Pelancaran buku itu di East Atrium Mid Valley Megamall turut dihadiri isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MPH, Datuk Ng Tieh Chuan dan Pengarah Urusan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITJNM), Mohd. Khair Ngadiron di sini hari ini.

Buku setebal 152 muka surat itu dijual di semua cawangan MPH serta kedai buku utama seluruh negara pada harga RM42 di Semenanjung dan RM45 di Sabah dan Sarawak.

Najib memberitahu, sebagai pemimpin pertubuhan Melayu terbesar negara, beliau tidak dapat lari daripada tanggungjawab memastikan orang Melayu tidak terus ketinggalan berbanding rakan dari kaum lain.

Bagaimanapun, tegasnya, selaku pemimpin sebuah negara majmuk, beliau tidak akan sekali-kali membiarkan kaum lain dipinggir atau dianaktirikan dalam usaha untuk memajukan orang Melayu.

"Konsep 1Malaysia yang saya perkenalkan sejurus selepas menggalas tanggungjawab menjadi Perdana Menteri jelas mengenai hakikat ini.

Perdana Menteri berkata, kesemua 11 bab di dalam buku ini adalah pecahan daripada lima ucapan beliau sebagai Timbalan Presiden UMNO sepanjang separuh dekad.

Katanya, lima ucapan itu masing-masing bertemakan Menakhoda Zaman (tahun 2009), Mengangkasa Tamadun Bangsa (2007), Memacu Minda Melayu (2006), Menjana Melayu Glokal (2005) dan Kesinambungan dan Perubahan (2004).

"Dua bab pertama daripada sedutan ucapan 2009 membicarakan mengenai politik, khususnya masa depan UMNO ekoran keputusan pilihan raya umum 2008.

"Bab lain memberi tumpuan kepada kedudukan, kelemahan dan masa depan orang Melayu serta bagaimana mereka boleh bangkit menjadi sebuah bangsa yang disegani dan dihormati," katanya.

Najib memberitahu, dimensi baru menuntut bangsa Melayu melonjak ke hadapan dengan memperkukuh daya saing untuk berlumba menjadi antara yang terbaik di pentas dunia.

Tegas beliau, orang Melayu tidak mempunyai pilihan kecuali berubah kerana jika orang Melayu gagal menakhoda zaman akan ketinggalan zaman.

"Sebahagian besar kandungan buku ini menjurus kepada usaha mengajak bangsa Melayu menyingkir kelemahan, menyahut cabaran, menggerak perubahan dan membina masa depan dalam zaman yang serba mencabar ini," katanya.

Tiada ulasan: