Khamis, 22 Oktober 2009

Najib gagal ketepi hukuman mati

BERNAMA


PUTRAJAYA: Ahmad Najib Aris, yang dijatuhkan hukuman mati kerana kesalahan membunuh penganalisis teknologi maklumat Canny Ong Lay Kian enam tahun lalu, akan kekal merengkuk di penjara, selepas kehabisan saluran untuk mengetepikan hukuman matinya itu.

Mahkamah Persekutuan semalam menolak permohonan Ahmad Najib bagi kebenaran untuk menyemak keputusan panel sebelum ini yang mengekalkan hukuman mati yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum yang bersidang bersama dua Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk James Foong dan Datuk Heliliah Mohd Yusof sebulat suara menolak permohonan Ahmad Najib atas alasan mengikut fakta keadaan kes itu, tidak wujud isu pemula untuk membenarkan permohonan itu mengikut Peraturan 137.

Bekas penyelia pencuci kabin kapal terbang itu yang kini berumur 33 tahun, memohon Mahkamah Persekutuan melaksanakan bidang kuasanya mengikut Peraturan 137, Peraturan-peraturan Mahkamah Persekutuan 1995 untuk menyemak keputusannya sebelum ini yang dibuat pada 27 Mac, 2009, mendakwa wujud ketidakadilan dalam penghakiman itu.

Ahmad Najib, dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Februari , 2005 atas kesalahan membunuh Ong, di Batu 7, Jalan Klang Lama antara 1 pagi dan 5 pagi pada 14 Jun 2003.

Dia juga dihukum penjara 20 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi yang sama selepas dia didapati bersalah merogol Ong pada masa, hari dan tempat yang sama. -

Tiada ulasan: