Ahad, 4 Oktober 2009

Murugiah bakal umum parti disertainya November ini

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk T.Murugiah semalam berkata beliau akan mengumumkan parti yang beliau dan 157,000 penyokongnya bakal sertai pada awal November ini.

Beliau antara lain menggambarkan parti itu sebagai sebuah parti komponen Barisan Nasional di Semenanjung, yang turut menjanjikan jawatan Timbalan Presiden untuknya jika beliau dan penyokongnya menyertai parti itu.

"... lagipun penyokong-penyokong saya berminat untuk menyertai parti berbilang kaum berbanding parti yang hanya menumpu kepada satu kaum sahaja," katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai parti yang bakal disertainya selepas menyampaikan ijazah pelbagai bidang kepada 37 penuntut Malaysian Management Science Academy (MAMSA) di sini.

Beliau berkata penyokong-penyokongnya juga mahu parti yang mempraktikkan slogan 1Malaysia yang mengambarkan kepelbagaian kaum di negara ini.

Murugiah, yang dipecat daripada Parti Progresif Penduduk (PPP) pada Jun lepas, mendakwa kira-kira 90 peratus anggota PPP menyokongnya dan beliau mesti membantu memilih parti yang dipersetujui mereka.

Katanya sebelum membuat pengumuman itu, beliau dan presiden parti yang bakal disertainya akan bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendapatkan restu beliau.

Ketika ditanya mengenai desakan Naib Presiden PPP Datuk Nik Sapeia Nik Yusof yang mahu beliau meletakkan jawatan sebagai senator dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Murugiah berkata Nik Sapeia tidak berhak bercakap mengenai hal beliau.

Sebagai orang baru dalam PPP, beliau berkata Nik Sapeia sepatutnya tidak membuat sebarang desakan terhadapnya. "Selama 16 tahun saya menyertai PPP, saya yang turun padang cari anggota, edar borang, dia tidak tahu apa-apa. Dia tidak berhak bercakap pasal saya," katanya.

Nik Sapeia kelmarin dilaporkan meminta Murugiah berbuat demikian kerana sebagai senator yang dipilih melalui kuota PPP, beliau tidak sepatutnya menyaman parti itu dan sebagai seorang Timbalan Menteri, beliau tidak sepatutnya menyaman Pendaftar Pertubuhan yang merupakan agensi kerajaan.

Terdahulu, Murugiah menerima Anugerah Pencapaian Cemerlang bagi Personaliti Kepimpinan Contoh daripada MAMSA atas penglibatan aktifnya dalam menyelesaikan pelbagai masalah rakyat melalui Biro Pengaduan Awam di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Anugerah itu disampaikan oleh Duta Timor Laste ke Malaysia Juvencio de Jesus Martins.

Antara penerima anugerah khas lain ialah Pengurus Besar Makkal Osai M.Periasamy (Anugerah Pencapaian Cemerlang bagi Pembangunan Komuniti), Pengerusi Penerbitan Sahabat Malaysia Datin Zainam Rukiah Abdullah (Anugerah Pencapaian Cemerlang bagi Pengurusan Perniagaan), Presiden Persatuan Perkhidmatan Awam Malaysia P.Gunaselan (Anugerah Pencapaian Cemerlang bagi Khidmat Kebajikan Awam dan Sosial) dan Guruji Bhalarchanthar (Anugerah Pencapaian awam bagi Amalan Yoga).

Tiada ulasan: