Sabtu, 10 Oktober 2009

MB mungkin saman pembangkang

SINAR HARIAN ONLINE


PORT DICKSON - Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan mungkin mengambil tindakan undang-undang terhadap ahli pembangkang kerana dikatakan membuat tuduhan melulu memburuk-burukkan Kerajaan Negeri dan Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains).

Ketika berkempen pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, ahli pembangkang tersebut dikatakan menuduh Kerajaan Negeri menswastakan Jabatan Bekalan Air Negeri Sembilan (JBANS) serta wujudnya kroni dalam syarikat itu.

“Saya sedang mengkaji aspek perundangan sebab saya sudah muak tohmahan dan fitnah yang main pakai cakap saja. Kalau ada kemungkinan, say:a akan saman kerana ia telah memburukkan Kerajaan Negeri Sembilan dan kakitangan syarikat itu,” katanya.

:Mohamad berkata, tuduhan pembangkang itu tidak benar kerana JBANS bukan diswastakan, tetapi hanya diperbadankan menjadi Sains sebagai salah satu langkah untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatan tanpa ada unsur kronisme di dalam syarikat baru itu.

“Kita tidak pernah swasta air, tetapi dia kata kita swastakannya dan beri pada kroni. Saya rasa ini fitnah melampau. Sains adalah kepunyaan Menteri Besar Diperbadankan (MBI). Dia bukan syarikat swasta kerana tidak ada pegangan perseorangan, sebaliknya 100 peratus milik kerajaan.

“Sebab itu, saya akan serahkan perkara ini kepada Penasihat Undang-Undang untuk (mengkaji kemungkinan) mengambil tindakan saman terhadap beliau,” katanya kepada media selepas merasmikan Kolam Air Telok Kemang, dekat Batu 8, di sini, semalam.

Mohamad berharap tindakan undang-undang itu akan memberi pengajaran kepada pembangkang yang sering memburukkan Kerajaan Negeri dan kakitangan kerajaan sehingga mengelirukan masyarakat.

Beliau juga kesal dengan pembangkang yang menuduh kononnya Sains menaikkan caj minima tarif air sebaik saja mengambil alih tugas pembacaan meter.

Tiada ulasan: