Sabtu, 10 Oktober 2009

Malaysia rawat 2,656 mangsa gempa bumi

Daripada SAIFUL HAIZAN HASAM


PADANG - Walaupun kehadiran Pasukan Kemanusiaan Malaysia tidak 'dihargai' oleh media tempatan, unit kesihatannya tetap menjadi tumpuan penduduk setempat untuk mendapatkan rawatan.

Bermula 4 Oktober sehingga semalam, seramai 2,656 mangsa gempa bumi telah mendapat rawatan daripada unit itu yang dianggotai lima doktor dan 19 paramedik dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Kor Kesihatan Diraja (KKD) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Komander Perubatan Lapangan, Dr. Sazwan Reezal Shamsuddin berkata, bermula hari ini sehingga tarikh jangkaan misi ditamatkan Isnin ini, sekurang-kurangnya 772 pesakit lagi dapat dirawat.

"Kebanyakan mereka menghadapi masalah jangkitan saluran pernafasan (ARI), sakit otot mungkin kerana membawa barangan berat sewaktu berpindah, cirit-birit dan sukar tidur akibat tertekan.

"Selain pusat rawatan statik di pusat operasi Pasukan Kemanusiaan Malaysia, kita juga memberi rawatan di kampung-kampung khususnya di kawasan yang tidak dimasuki pasukan kemanusiaan negara lain," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sazwan Reezal memberitahu, selain mangsa gempa bumi, pihaknya turut merawat tiga mangsa kemalangan jalan raya yang berasingan semalam.

Katanya, walaupun perkara itu bukan berada dalam bidang tugas pasukan berkenaan, namun pihaknya tetap membantu atas dasar kemanusiaan.

Jelasnya, salah seorang daripada mangsa kemalangan jalan raya itu jika tidak dirawat dengan segera berkemungkinan besar akan meninggal dunia.

"Lelaki berkenaan mengalami masalah kebocoran paru-paru yang boleh menyebabkan kematian, jadi kita terpaksa mengeluarkan angin melalui kaedah tebukan jarum.

"Dua lagi mangsa mengalami kecederaan muka 'maxillofacial' dan kepala yang parah,'' ujarnya.

Menurutnya, lelaki yang cedera di kepala itu dibawa ke unit kesihatan berkenaan oleh Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) kerana penduduk tempatan enggan membantu.

Tiada ulasan: