Selasa, 27 Oktober 2009

Kerajaan jamin hukum pendera Mantik

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia hari ini memberi jaminan akan memastikan pendera pembantu rumah warga Indonesia, Mantik Hani, 36, tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

Menterinya, Datuk Dr. S. Subramaniam menegaskan, tiada sebarang kompromi akan diberikan jika siasatan mendapati majikan mangsa bertanggungjawab melakukan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu.

''Saya kesal dengan insiden ini dan memberi jaminan bahawa tindakan akan diambil ke atas pihak yang menyebabkan kematian beliau,'' tegasnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kematian Mantik pada pukul 10 pagi ini di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang selepas menerima rawatan dipercayai akibat didera teruk sejak Selasa lalu.

Mengulas lanjut, Subramaniam menegaskan, perkara itu tidak seharusnya berlaku dan kerajaan memandang serius kejadian berkenaan.

Menurutnya, majoriti daripada 280,000 pembantu rumah di negara ini sebenarnya dilayan dengan baik, tetapi kejadian itu telah mencemarkan nama para majikan di negara ini.

Sehubungan itu, Subramaniam menegaskan, kerajaan akan mengambil tindakan lebih tegas supaya kejadian serupa tidak berulang.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Tiada ulasan: