Jumaat, 2 Oktober 2009

Isu Selcat: Ibu Pejabat PAS sahkan pertemuan dengan DAP 7 Oktober

Oleh NURUL AIN HUSSAIN


KUALA LUMPUR: Ibu Pejabat Pas mengesahkan bahawa pucuk pimpinan PAS dan DAP peringkat Negeri Selangor akan mengadakan pertemuan bagi mencari jalan penyelesaian berhubung beberapa perkara termasuk isu Selcat pada 7 Oktober ini.

Ibu Pejabat PAS juga dengan tegasnya menolak dakwaan yang mengatakan parti itu akan meninggalkan gabungan Pakatan Rakyat di Selangor.

"Saya rasa inilah peluang terbaik kepada kedua-dua belah pihak untuk meluahkan pandangan masing-masing bagi menyelesaikan isu berkenaan," kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PAS Jalan Raja Laut di sini pada pagi Jummat.

Isu Selcat menjadi perhatian apabila Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hassan Ali sebelum ini mengkritik agar format dan prosedur Selcat dikaji semula.

Selcat ditubuhkan oleh DUN Selangor selepas pilihan raya umum Mac 2008 untuk memantau selia dan memeriksa keupayaan, kebertanggungjawab dan ketelusan dalam segala urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Anggotanya terdiri daripada Haniza Mohd. Talha (PKR-Taman Medan), Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa), Shaari Sungib (PAS-Hulu Klang), Edward Lee Poh Lin (DAP-Bukit Gasing), Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) dan Ismail Sani (BN-Dusun Tua).

Bagaimanapun, Selcat berhadapan dengan kritikan ekoran pendirian pegawai-pegawai daerah yang dipanggil memberi keterangan mendakwa dilayan seperti penjenayah dan perlu menjawab soalan mengikut kehendak jawatankuasa tersebut.

Sebelum 1 Syawal lalu, Pegawai Daerah Klang, Bakhtiar Hussin menyifatkan Selcat tidak mencerminkan proses siasatan sebenar kerana lebih menjurus kepada serangan peribadi selain menjejaskan imej serta kredibiliti diri beliau sebagai penjawat awam.

Beliau adalah antara sembilan Pegawai Daerah di Selangor yang dipanggil memberi keterangan pada 9 September lalu.

Bakhtiar mendakwa siasatan yang diketuai oleh Speaker Dewan Undangan Negeri, Teng Chang Khim itu dilakukan dalam suasana tegang dan tidak berhemah.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Mustafa yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Terengganu turut menolak mendakwa PAS di Selangor akan mengkaji semula kedudukan mereka dalam Pakatan Rakyat. "Perkara ini bukan lagi satu isu yang berbangkit kerana saya telah bertanya kepada pimpinan PAS negeri dan mereka menafikan ada mengeluarkan kenyataan untuk mengkaji semula kedudukan dalam PR. Perkara ini tidak timbul.

"Kita ada mekanisma yang sesuai untuk digunakan dalam menyelesaikan perbezaan pendapat dalam isu-isu tertentu. Kita minta pemimpin-pemimpin PR tidak memberi kenyataan terbuka yang menghentam satu sama lain. Kita boleh selesaikannya secara dalaman semuanya," katanya.

Isu Selcat terus menjadi panas apabila Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad turut mempersoalkan pendirian terbuka Hasan mempertikaikan tatacara Selcat dan meminta agar Hasan meletakkan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri jika beliau tidak dapat memainkan peranan sebagai ‘team player’.

Ketika ditanya sama ada PAS akan mengambil tindakan disiplin ke atas Khalid mahupun Hassan, Mustafa berkata: "Saya belum terima apa-apa laporan atau surat berhubung tindakan disiplin. Bagi saya pandangan kita mungkin berbeza tapi matlamatnya tetap sama."

Jelasnya, perbezaan pendapat antara pemimpin tidak boleh ditafsirkan sebagai wujudnya perpecahan dalam parti.

"Tindakan disiplin hanya boleh dikenakan apabila jawatankuasa disiplin bermesyuarat dan mencadangkan agar satu tindakan diambil. Setakat ini saya tidak ada terima apa-apa. Jadi soal ini (tindakan disiplin) terhadap Hasan atau Khalid tidak berbangkit," katanya.

Tiada ulasan: