Memaparkan catatan dengan label POLITIK - PAKATAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label POLITIK - PAKATAN. Papar semua catatan

Selasa, 25 Julai 2017

Langkah Kajang Punca Perpecahan Pakatan Rakyat


LIHAT VIDEO DI SINI

 Langkah Kajang, satu usaha yang dilakukan PKR untuk menggantikan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 2014 merupakan punca perpecahan Pakatan Rakyat.

Langkah Kajang anjuran PKR itu disokong oleh DAP, namun ditentang oleh PAS.

27 Januari 2014 : Langkah Kajang bermula dengan pengosongan kerusi DUN Kajang oleh Lee Chin Cheh. Anwar umum akan bertanding dan ura-ura menggantikan Tan Sri Khalid sebagai MB bermula.

07 Mac 2014 : Mahkamah Rayuan mensabitkan Anwar dengan kesalahan meliwat pembantunya Saiful Bukhari Azlan dan menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun (nota: Mahkamah Rayuan sebenarnya sudah pun memulakan proses menetapkan rayuan kes liwat Anwar ini sebelum Langkah Kajang bermula lagi).

08 Mac 2014 : Anwar mengumumkan bini beliau Wan Azizah Wan Ismail menggantikan beliau sebagai calon PRK Kajang;

23 Mac 2014 : Wan Azizah memenangi PRK Kajang;

26 Jun 2014 : Tan Sri Khalid diumumkan tewas dalam mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR Kuala Selangor dalam satu perkiraan undi yang sangat meragukan apabila berlaku black-outsewaktu perkiraan;

21 Julai 2014 : Mesyuarat MPT PKR yang dipengerusikan Anwar memutuskan Wan Azizah dilantik menggantikan Tan Sri Khalid sebagai MB Selangor dan meminta Tan Sri Khalid meletakkan jawatan dan memberi laluan kepada Wan Azizah;

22 Julai 2014 : Tan Sri Khalid menyatakan proses penggantian harus mematuhi tatacara dan prosedur menurut Undang-Undang Tubuh Perlembagaan Selangor, yang memberi mesej bahawa beliau tidak bersedia meletakkan jawatan begitu sahaja;

25 Julai 2014 : Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang mempertahankan Tan Sri Khalid dan menyatakan pendirian beliau tidak ada sebab untuk menggantikan Tan Sri Khalid kerana ‘beliau tidak pernah khianat dalam menjalankan amanah kepada rakyat’;

26 Julai 2014 : Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat menyatakan sokongan terhadap kenyataan Datuk Seri Hadi Awang dan mengambil pendirian Tan Sri Khalid tidak wajar dipecat atau digantikan;

01 Ogos 2014 : Lim Guan Eng menyokong secara terbuka keputusan PKR menggantikan Tan Sri Khalid dengan Wan Azizah;

04 Ogos 2014 : PKR melondehkan Tan Sri Khalid dengan pendedahan nota setebal 40 mukasurat dengan 50 Dalil kenapa Tan Sri Khalid wajib digantikan sebagai MB Selangor;

05 Ogos 2014 : PKR menghantar notis tunjuk sebab kepada Tan Sri Khalid;

06 Ogos 2014 : Tan Sri Khalid menjawab notis tunjuk sebab tersebut;

07 Ogos 2014 : Majlis Syura Ulama PAS iaitu dewan tertinggi dalam Pas turut mempertahankan Tan Sri Khalid dengan menegaskan beliau tidak boleh digugurkan selagi tidak disabitkan sebarang pelanggaran terhadap amanah yang mewajarkan Menteri Besar itu disingkirkan.

09 Ogos 2014 : PKR memecat Tan Sri Khalid sebagai MB berkuatkuasa serta-merta;

10 Ogos 2014 : Tan Sri Khalid menyatakan akan meneruskan tugas sebagai MB sehingga semua tatacara dan prosedur untuk penggantian MB dipenuhi termasuk membawa usul ke Dewan Undangan Negeri Selangor;

11 Ogos 2014 : Tan Sri Khalid mengadap Tuanku Sultan Selangor;

11 Ogos 2014 : Tan Sri Khalid membuat sidang media menyatakan Tuanku Sultan Selangor memperkenankan beliau meneruskan tugas sebagai MB; dan beliau menyatakan mana-mana Exco yang tidak boleh bekerja dengan beliau supaya meletakkan jawatan;

12 Ogos 2014 : Tan Sri Khalid memecat 6 ADUN daripada PKR-DAP dengan perkenan bertulis daripada Tuanku Sultan Selangor setelah mereka menyatakan tidak boleh bekerjasama dengan beliau; 4 ADUN PAS kekal kerana menyatakan sokongan kepada Tan Sri Khalid sebagai MB Selangor;

13 Ogos 2014 : PAS Negeri Selangor dan keempat-empat ADUN PAS yang menjadi anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor menyatakan sokongan keatas Tan Sri Khalid dan menghadiri mesyuarat Majlis Exco Kerajaan Negeri;

17 Ogos 2014 : Jawatankuasa PAS Pusat membuat keputusan tidak menyokong Tan Sri Khalid atas alasan ‘beliau telah dipecat daripada PKR dan bukan lagi ahli PKR’ dan mencadangkan nama Wan Azizah atau Azmin Ali sebagai pengganti.

17 Ogos 2014 : Mesyuarat pemimpin pakatan DAP-PKR-PAS sebelah petang mengumumkan akan hanya mengemukakan nama Wan Azizah sebagai MB Selangor dengan kenyataan Azmin Ali dikatakan menyokong Wan Azizah sebagai MB.

18 Ogos 2014 : Datuk Nik Aziz Nik Mat yang telah mengadakan perjumpaan dengan Datuk Seri Hadi Awang menyatakan sokongan kepada keputusan Jawatankuasa PAS Pusat yang menolak Tan Sri Khalid dan mencalonkan Wan Azizah atau Azmin Ali.

Ahad, 19 Jun 2016

Hidupkan semula Pakatan Rakyat, kembali bersatu - PRM

MALAYSIAKINI


Parti Rakyat Malaysia (PRM) menyeru Pakatan Rakyat 'dihidupkan' semula dengan bersatu untuk melawan BN, melaksanakan dasar dan mengambil tindakan yang dapat memenuhi kehendak dan kepentingan rakyat bagi membawa perubahan.

Setiausaha Agungnya, Koh Swe Yong berkata, kemenangan BN di Sungai Besar dan Kuala Kangsar menunjukkan rakyat tidak mempunyai pilihan yang lebih baik walaupun ada sebahagian pengundi yang menuntut perubahan.

"Pada masa yang sama, peningkatan undi BN itu boleh dikatakan bahawa rakyat menunjukkan kekecewaan terhadap ketiga-tiga bekas komponen Pakatan Rakyat," katanya dalam kenyataan.

Dalam kedua-dua pilihan raya kecil itu, walaupun BN memperoleh majoriti undi sebanyak 9191 undi di Sungai Besar dan 6969 undi di di Kuala Kangsar namun peratusan undi BN hanya sebanyak 53.01 peratus di Sungai Besar dan 53.81 peratus di Kuala Kangsar, katanya.

Keadaan ini berbeza kerana pada pilihan raya umum tahun 2013, BN menang dengan 50.53 peratus di Sungai Besar dan 51.14 peratus di Kuala Kangsar yang membuktikan peningkatan undi BN yang kecil, katanya.

Mengulas lanjut, PRM juga berpendapat bahawa data-data semasa tersebut menunjukkan rakyat masih tidak berpuas hati dengan parti pemerintah.

"Rakyat menganggap BN tidak berkemampuan dan berkecekapan kerana gagal mengawal kenaikan harga barang, rasuah, penyelewengan kuasa, boros membelanjakan wang cukai rakyat dan autokratik.

"BN juga dilihat memainkan sentimen perkauman dan keagamaan ekstrim untuk mengalihkan tumpuan rakyat terhadap ketidakcekapan dan ketamakan pemerintah," jelasnya.

Oleh itu, apa yang rakyat mahukan ialah tenaga pembangkang yang bersatu dan mampu menggantikan kerajaan persekutuan yang sedia ada.


Selasa, 11 Ogos 2015

DAP percaya Pakatan baru mampu tarik sokongan Melayu

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua percaya pakatan baru yang bakal ditubuhkan akan menarik sokongan orang Melayu di Johor, Melaka dan Perak meskipun Pakatan Rakyat sedang berdepan dengan krisis dalaman. 
 
Ujarnya dengan penyertaan Gerakan Harapan Baru (GHB), ia tidak menjejaskan pengundi Melayu kelas pertengahan di barat dan selatan Semenanjung, malah sokongan kepada pemimpin progresif Islam lebih baik ditunjukkan berbanding puak konservatif.
 
“Penyokong Umno mungkin juga sanggup mengundi progresif berbanding konservatif. PAS sendiri tidak cemerlang di negeri tersebut sejak berdekad lalu.
 
“Jadi dengan perikatan baru, kami harap akan melakukan lebih baik tanpa tentangan seperti dalam Pakatan Rakyat (PR).
 
“Kami mencari kemenangan ke Putrajaya melalui sokongan dari Johor, Perak dan Selangor,” katanya yang dipetik The Malaysian Insider.
 
Kata Pua lagi, DAP tidak berhajat untuk memanjangkan langkahnya ke Kelantan atau Terengganu kerana pengundi di dua negeri itu cenderung menyokong puak konservatif PAS.
 
Kenyataannya itu berikutan perkembangan dalam PAS di mana sebahagian pimpinannya membentuk GHB dalam persediaan membentuk parti Islam baru.
 
GHB dibentuk pemimpin progresif PAS yang kalah dalam pemilihan parti baru-baru ini.
 
Parti yang ingin ditubuhkan GHB dijangka bakal menggantikan PAS dalam perikatan pembangkang baru bersama DAP dan PKR selepas PR menamatkan kerjasamanya ekoran terputus hubungan PAS dan DAP.
 
Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad memberitahu GHB mungkin akan meletakkan calon mereka di Kelantan dan Terengganu walaupun mengetahui ia adalah keputusan yang berisiko.
 
"Kami mendapat respons positif kepada program yang diadakan di Kelantan dan Terengganu," katanya pada forum itu.
 
Tindakan itu dilakukan supaya rakyat boleh membuat keputusan samada mahu kekal dengan kerajaan lama atau memilih perikatan baru.
 
"Dalam pilihan raya akan datang, pengundi akan diberi pilihan di antara dua parti bertanding yang akan membentuk kerajaan persekutuan.
 
"Rakyat akan memilih untuk kerajaan baru atau kekal dengan yang lama. Jika PAS bersama BN, ia merupakan kerajaan lama.
 
"Jika PAS bersendirian, rakyat akan tahu ia akan tetap pembangkang kerana ia tidak mampu menjadi kerajaan sendiri," katanya.
 
 

Jumaat, 7 Ogos 2015

Kit Siang: Pakatan baru muncul tak lama lagi

MALAYSIAKINI


 


Penasihat DAP Lim Kit Siang memberi gambaran bahawa satu gabungan baru parti pembangkang akan diwujudkan selepas Gerakan Harapan Baru didaftarkan secara rasmi sebagai parti politik.

Antara yang disebut-sebut sebagai nama gabungan baru itu ialah Pakatan Rakyat Perjuangan.

"Apabila satu parti politik baru muncul daripada Gerakan Harapan Baru (GHB) dalam masa beberapa minggu, satu Pakatan Rakyat baru – sama ada Pakatan Baru, Pakatan 2.0 atau apa juga nama – akan sedia untuk membawa obor bagi Malaysia Baru,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Lim, beliau diberitahu oleh pengerusi GHB bahawa penubuhan parti baru itu akan selesai dalam masa beberapa minggu lagi.

GHB dibentuk oleh kalangan pemimpin progresif PAS sebagai mukadimah bagi penubuhan parti politik baru selepas kumpulan itu disingkirkan dalam pemilihan parti.

Kumpulan konservatif dalam PAS pula pada bulan lalu memutuskan hubungan dengan DAP susulan kritikan ke atas isu kontroversi yang menjadi duri dalam daging sejak sekian lama.

Ia seterusnya menyebabkan Pakatan Rakyat berkubur.

Lim yang juga MP Gelang Patah berkata, gabungan baru itu akan membentuk jajaran baru dalam kuasa politik negara dan melahirkan gabungan politik baru yang akan menggantikan Pakatan Rakyat.


Isnin, 13 Julai 2015

DAP punca Pakatan Rakyat berpecah

SM AMIN

 

satifulbahri650X360
Satiful Bahri menegaskan Pas berulang kali menerangkan bahawa, perlaksanaan Enakmen Jenayah Syariah adalah dasar Pas yang wujud lama, sebelum terbentuknya Pakatan Rakyat. Foto fail TRP



KUALA LUMPUR[ Perpecahan yang berlaku dalam Pakatan Rakyat ketika ini berpunca daripada sikap DAP yang memungkiri persepakatan yang terjalin selama ini, kata Pesuruhjaya Pas Negeri Terengganu, Satiful Bahri Mamat.


Kata Satiful, Pas teguh dengan perkara yang dipersetujui dalam Pakatan Rakyat iaitu setuju untuk tidak bersetuju dalam pelaksanaan undang-undang hudud dan sepakat dalam memerangi rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Telah berulang kali Pas menerangkan dan menegaskan bahawa, perlaksanaan Enakmen Jenayah Syariah adalah dasar Pas yang wujud lama, sebelum terbentuknya Pakatan Rakyat.

“Bahkan setelah diberikan taklimat beberapa kali bahawa sesungguhnya perlaksanaan undang-undang Islam adalah untuk orang Islam dan tidak ada kena mengena dengan mereka yang bukan Islam.

“Namun DAP memungkiri persepakatan itu malah masuk campur dalam urusan Pas serta mengecam dan mencemuh Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,” katanya dalam satu kenyataan.

Majlis Syura Ulama (MSU) pada Jumaat lalu, memutuskan hubungan tahalul siyasi dengan DAP tetapi dalam masa yang sama meneruskan kerjasama dengan PKR.

Menurut Setiausaha MSU, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, keputusan tersebut terpaksa dibuat susulan tindakan provokasi DAP yang mengecam dan melanggar semangat kerjasama Pakatan Rakyat serta campur tangan dalam aqidah, dasar dan matlamat Pas.

Mengulas lanjut perkara itu, Satiful meminta semua pemimpin dipelbagai peringkat, ahli-ahli dan penyokong berlapang dada dengan keputusan tersebut dan sentiasa mendapatkan maklumat serta perkembangan terkini daripada pemimpin, dari semasa ke semasa.

“Saya yakin rakyat akan terus menyokong dan mendokong perjuangan Pas kerana jelas Pas tetap dengan dasarnya mahu menegakkan dan memartabatkan Islam serta istiqamah dengan prinsipnya.

“Hanya PAS, sebuah parti terbaik dan alternatif unggul bagi menggantikan Umno untuk memimpin dan memerintah serta membawa umat Islam, orang Melayu dan pelbagai bangsa di negara ini, untuk masa depan yang lebih baik,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Paka itu.

Ahad, 12 Julai 2015

Kit Siang: Maaf atas kematian Pakatan

MALAYSIAKINI


 


Lim Kit Siang memohon maaf kepada orang ramai atas kegagalan Pakatan Rakyat bertahan lebih lama seperti diharapkan.

Berucap di majlis berbuka puasa di Shah Alam malam tadi, Lim berkata, di sebalik "kematian" Pakatan, DAP akan meneruskan perjuangan seperti dipersetujui dalam Dasar Bersama Pakatan.

Kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu, matlamat mereka ialah mencapai matlamat negara yang bersatu, inklusif, progresif dan adil.

"(Dasar Bersama Pakatan) akan terus hidup dan menjadi asas kepada perjuangan DAP untuk mencapai Malaysia baru sehingga tertubuh kerajaan baru di Putrajaya," katanya.

Melihat kepada realiti politik di Malaysia, Lim berkata, tiada mana-mana parti tunggal boleh memerintah.

Justeru, katanya, semua pemimpin politik "progresif dan patriotik" - termasuk dalam BN - perlu bekerjasama menyelamatkan Malaysia.

"Tidak adakah seorang ahli parlimen dari BN atau Umno yang tidak berasa kecewa dengan rasuah, salah guna kuasa, ketidakadilan sosioekonomi dan runtuhnnya urus tadbir baik yang berleluasa ketika ini?

"Saya tidak fikir begitu," katanya.


Jumaat, 10 Julai 2015

Pakatan Rakyat masih ada masa - Nakhaie

Oleh Azizul Osman
  Post Pic


SHAH ALAM: Perpecahan dalam Pakatan Rakyat masih boleh diselamatkan berikutan gagasan itu masih mempunyai masa sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memalu gendang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Nakhaie Ahmad berkata selagi matlamat utama pembangkang untuk menumbangkan Umno Barisan Nasional (BN) tidak berubah, hubungan antara DAP-PKR dan PAS masih ada harapan untuk kembali kukuh.

"Mereka (Pakatan Rakyat) ada masa untuk memperbetulkan keadaan, PR memang ada masa dan boleh menyelesaikan masalah itu. Saya rasa mereka akan buat demikian kalau matlamat masih tidak berubah untuk menumbangkan kerajaan BN. 

"Tidak mustahil kalau matlamat itu masih menjadi pegangan bersama dan kembali rujuk antara PAS dan DAP", katanya.

Meskipun parti komponen dalam Pakatan Rakyat itu bersifat lantang sesama mereka dalam isu-isu tertentu, DAP-PKR dan PAS masih boleh berbincang dan menyelesaikan perbezaan pendapat mereka, walau tanpa 'pendamai' mereka, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta isterinya, Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Rundingan terus antara DAP dan PAS mungkin boleh menyelesaikan kemelut jika matlamat mereka masih teguh. Mereka boleh merunding secara terus dan menyelesaikan tanpa Anwar Ibrahim, Wan Azizah atau sesiapa," tambah Nakhaei.

Sementara itu, bekas naib pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim pula berpandangan hubungan tiga parti kompenan itu tidak akan bertahan lama. 

Jelas beliau, sudah terang lagi bersuluh ketiga-tiga perti itu saling mempergunakan sesama mereka demi kepentingan politik masing-masing.

"Hubungan 'perkahwinan mutaah' ini tidak akan berpanjangan, bukan satu hubungan yang kekal. Rakyat akan menderita daripada agenda ini," ujarnya ketika dihubungi Antarapos.

Media sebelum ini melaporkan bahawa DAP tidak menolak kemungkinan akan bersatu kembali dengan PAS pada masa akan datang.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata perbentukan gabungan pembangkang dalam pilihan raya akan datang mungkin berlaku namun mesti berteraskan kepada dasar bersama dalam Pakatan Rakyat (PR).

Sebelum ini, DAP bertindak memutuskan hubungan dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas berang dengan Presiden PAS itu bersabit isu pelaksanaan hudud di Kelantan.
Pemimpin PAS yang lain kemudiannya tampil mempertahankan Hadi dan berkata 'putus hubungan dengan Hadi bermaksud putus hubungan dengan PAS'.

Pergolakkan itu makin meruncing apabila Muktamar PAS meluluskan usul 'putus hubungan dengan DAP' tanpa bahas, 6 Jun lalu.
Seraya perkembangan itu, DAP mengisytiharkan Pakatan Rakyat sudah tiada, tanpa merujuk PAS ataupun PKR.

PAS pula bertegas Pakatan Rakyat masih wujud berikutan masih ada pakatan antara parti itu dengan PKR.

Rabu, 1 Julai 2015

Masih gagal hasilkan keputusan isu PR Selangor

SINAR HARIAN


 Azmin Ali Azmin Ali - Foto Sinar Harian
 
 
 
SHAH ALAM - Perbincangan pemimpin DAP Selangor dengan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali hari ini tentang kemelut hubungan antara parti itu dengan Pas dalam kerajaan negeri tidak mencapai sebarang keputusan.

Pengerusi DAP Selangor Tony Pua berkata berikutan perjumpaan dengan Timbalan Presiden PKR selama hampir setengah jam itu, satu lagi perjumpaan akan diadakan selepas hari raya Aidilfitri.

Namun hasil daripada pertemuan itu, pihaknya kini lebih jelas mengenai kedudukan wakil-wakil daripada DAP, Pas dan PKR dalam pentadbiran kerajaan Selangor, katanya kepada pemberita di lobi Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Ketika ditanya sama ada pemimpin DAP menyokong pentadbiran Mohamed Azmin, Pua berkata pihaknya tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan Adun Bukit Antarabangsa itu.

"Isunya bukan sebab kedudukan Azmin sebagai menteri besar. Kita ada bincang mengenai kedudukan Pas untuk kekalkan Selangor kepada PR namun tiada keputusan dicapai," katanya.

Sementara itu, Mohamed Azmin menafikan pentadbiran kerajaan Selangor dilanda kemelut seperti yang diuar-uarkan sebaliknya memberi jaminan akan terus membangunkan negeri ini.

Katanya pertemuan dengan DAP adalah perjumpaan berkala bagi membincangkan beberapa perkara dan menyifatkan ia berjalan dengan harmoni walaupun tidak mencapai sebarang keputusan.

Pada 16 Jun lepas, DAP mengisytiharkan PR yang terdiri daripada parti itu, PKR dan Pas tidak lagi wujud apabila Muktamar Pas baru-baru ini memutuskan hubungan dengan DAP dilihat 'membunuh' pakatan itu.

Namun, pada 21 Jun lepas, Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail  berkata kerjasama dan semangat dalam menjalin hubungan kerja antara ketiga-tiga parti itu masih diteruskan.

Pas pula menerusi Majlis Syuranya setakat ini dijangka memuktamadkan cadangan memutuskan hubungan dengan DAP selepas Aidilfitri nanti. - Bernama


Ahad, 28 Jun 2015

PR masih berfungsi di Selangor, P.Pinang

Shuhaimi Shafiei Shuhaimi Shafiei
 
 
SHAH ALAM – Kerajaan PR Selangor masih berfungsi namun yang berkubur hanyalah Majlis Presiden Pakatan Rakyat (PR) kerana kerajaan negeri ditadbir pembangkang masih memegang teguh dasar bersama yang diasaskan daripada ketiga-tiga parti komponen.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata, PR masih wujud cuma Majlis Presiden PR di peringkat nasional sahaja tidak lagi berfungsi.

“PR masih wujud di Selangor dan Pulau Pinang, hanya Majlis Presiden tidak berfungsi namun dalam berdepan situasi ini, tidak ada mana-mana pihak daripada PKR, Pas dan DAP berhak mengatakan PR mati dan tidak lagi wujud.

“Di Selangor PKR, Pas dan DAP masih menjalankan tugas bersama dalam hal pentadbiran negeri dan juga rakyat. Sebab itu saya tegaskan PR masih wujud,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Shuhaimi yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali memaklumkan pada Ahad ini akan berlangsungnya majlis berbuka puasa anjuran Pejabat Menteri Besar di kediaman rasminya.

“Majlis buka puasa ini ialah rutin tahunan kalendar Pejabat Menteri Besar yang dihadiri Ahli Parlimen, Adun,ahli majlis, penyelaras Dun, penghulu,ketua kampung dan juga nazir masjid dan bukanlah pertemuan  bagi membincangkan masa depan PR seperti dilaporkan beberapa portal.

“Memang kita jemput semua pimpinan negeri yang juga terdiri orang politik namun ia bukanlah berhasrat membincangkan masalah PR sebaliknya sekadar majlis berbuka puasa biasa,” katanya.


Rabu, 24 Jun 2015

'Pembangkang akan muncul bersatu, lebih kuat'

MALAYSIAKINI


 


Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim - yang membawa tiga parti berlainan ideologi duduk semeja - kekal optimis dengan masa depan pembangkang sekalipun Pakatan Rakyat sudah berkubur.

Beliau, yang kini menjalani hukuman penjara lima tahun, percaya pembangkang akan lebih kuat selepas "disusun semula dengan kekuatan baru".

"Saya percaya bahawa Pembangkang, setelah disusun semula dengan kekuatan baharu termasuk NGO-NGO, akan muncul bersatu dan lebih kuat selepas ini.

"Yakinlah, saya tidak akan sesekali meninggalkan perjuangan ini selagi nyawa dikandung badan," katanya dalam satu perutusan melalui peguamnya yang diedarkan oleh PKR.

Sedar beberapa perkara berlaku mutakhir ini, Anwar berkata niat dan semangat pembangkang untuk menyelematkan Malaysia daripada dakwaan kepincangan tatakelola dan autoritarianisme BN terus utuh.

Beliau berkata tekanan dan ketegangan dalam Pakatan Rakyat adalah fitrah sebuah gabungan politik yang telus dan demokratik dan tidak bermakna ia tidak boleh diselesaikan dan mengatasi masalah yang dihadapi.

"Kita sekarang sedang berusaha untuk menjalin kesepakatan yang lebih kukuh dan yang kekal, supaya rakyat dapat diberi khidmat yang lebih baik.

"Pada masa yang sama, walau apa pun, pembangkang masih berfungsi dan teguh di peringkat kerajaan-kerajaan negeri dan Parlimen," katanya .

Sehubungan itu, beliau menggesa teman-teman seperjuangan di dalam parti pembangkang dan juga rakyat untuk terus bergerak dalam perjuangan sehingga kemenangan dikecapi dan Malaysia diselamatkan.


Isnin, 22 Jun 2015

Kerjasama tetap diteruskan walau PR tak wujud

SINAR HARIAN




Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail  
Wan Azizah Wan Ismail

 
BUKIT MERTAJAM - Biarpun Pakatan Rakyat (PR) telah diisytihar tidak lagi wujud, namun kerjasama dan semangat dalam menjalin hubungan kerja antara ketiga parti iaitu Pas, DAP dan PKR masih diteruskan, kata Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis sumbangan Ihya Ramadan kepada surau dalam Parlimen Permatang Pauh di Masjid Jamek Kampung Pelet dekat sini hari ini, Dr Wan Azizah berkata, beliau mempunyai pandangan optimis terhadap semangat yang ada dalam pakatan pembangkang.

Pada Rabu lepas, beliau dilaporkan mengakui bahawa gabungan politik pakatan pembangkang tidak lagi berfungsi secara formal.

Keadaan itu, katanya, berlaku berikutan usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP diterima tanpa bahas pada Muktamar Pas Ke-61, manakala Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP pula telah mengumumkan 'penamatan riwayat' PR,

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata berdasarkan pembacaan dan pengamatannya menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin Pas sama ada yang tewas atau menang dalam pemilihan jawatan parti itu, mereka telah memberi mesej bahawa ketiga-tiga parti terbabit akan terus bersama-sama.

Selasa lalu, media melaporkan DAP mengisytiharkan PR tidak lagi wujud.

Setiausaha Agung DAP,  Lim Guan Eng berkata, keputusan yang dibuat Muktamar‎ untuk memutuskan hubungan dengan DAP telah 'membunuh' PR. - Bernama


Ahad, 21 Jun 2015

Tiada pertemuan tiga parti setakat ini

PR
 
 
SHAH ALAM – Tiada perancangan dalam tempoh terdekat ini untuk menemukan Pas, DAP dan PKR bagi membincangkan pergolakan yang berlaku dalam PR.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya masih belum memutuskan sama ada akan mengadakan pertemuan atau tidak.

Bagaimanapun, katanya pertemuan antara ketiga-tiga parti mungkin diadakan oleh Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali.

“Belum ada, itu terserah kepada menteri besar kalau berkait Selangor,” katanya ringkas ketika ditanya adakah PKR akan mengadakan mesyuarat bersama kepimpinan Pas dan DAP.

Pada malam Selasa lalu, PKR melalui Biro Politiknya telah mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan situasi terkini mengenai kedudukan PR.

Bagaimanapun, sehingga semalam PKR belum buat pendirian sama ada mahu bersama Pas atau DAP.

Ia berikutan tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengumumkan PR tidak wujud lagi selepas menganggap perhubungan Pas dengan DAP sudah putus.

Jumaat, 19 Jun 2015

Hadi: Pakatan Rakyat belum berkubur

MALAYSIAKINI


 


Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menegaskan Pakatan Rakyat masih wujud dan belum berkubur biarpun rakan sekutunya DAP sudah mengisytiharkan pakatan pembangkang itu tidak lagi wujud.

Malah Abdul Hadi berkata DAP tidak berhak mengumumkan PR dibubarkan selain dengan sinis menyatakan parti berkenaan tidak memahami maksud 'Pakatan Rakyat' sehingga terburu-buru bertindak sedemikian. lapor Bernama.

"Itu kenyataan peribadi, pada saya ia merupakan kenyataan yang tidak tepat kerana satu parti bukanlah (boleh dipanggil) Pakatan. Pakatan mesti merangkumi banyak parti...boleh bukalah kamus dewan apa makna Pakatan... sorang-sorang boleh dipanggil Pakatan ke? Tidak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di rumahnya sebaik sahaja selesai kuliah Jumaat di Rusila di Marang hari ini.

Pakatan Rakyat merupakan pakatan tidak rasmi yang dibentuk pada 1 April 2008 oleh DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas Pilihan Raya Umum ke-12.

Ditanya sama ada status Pakatan itu masih lagi wujud, Abdul Hadi berkata: "Ya, masih lagi wujud".

Menurutnya setakat ini PAS belum menerima sebarang kenyataan rasmi berhubung tindakan DAP bubar Pakatan Rakyat dan PAS juga belum terima kenyataan rakan sekutunya, PKR.

"... PKR tidak membuat kenyataan yang menunjukkan kami berpisah dan menunjukkan pakatan antara dua parti masih ada...dan DAP setakat ini, kami tak dapat keputusan secara rasmi (cuma) kami dapat melalui laporan media sahaja," katanya.

Ditanya sekiranya PKR lebih menjurus memilih untuk bersama-sama DAP berbanding PAS, Hadi berkata beliau tidak akan membuat keputusan sebelum PKR keluarkan kenyataan.

"Sehingga PKR ada keluarkan kenyataan, kemudian barulah saya boleh buat keputusan. Terpulang kepada PAS dan terpulang kepada PKR. Kalau PAS tak setuju PAS boleh keluar, PKR tak setuju PKR boleh keluar. Sehingga hari ini PAS tak buat kenyataan keluar Pakatan.

"Kami sayangkan perpaduan kaum kerana mempunyai masyarakat majmuk di Malaysia. Terpulang kepada masyarakat menilai kenyataan dia (Guan Eng) tu," katanya. - Bernama


 

Khamis, 18 Jun 2015

Anwar: Kerjasama negeri, parlimen diteruskan

KEADULAN DAILY


KUALA LUMPUR- Ketua Umum KEADILAN, Anwar Ibrahim menggesa KEADILAN, DAP dan Pas supaya menumpukan perhatian kepada tiga negeri di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.

Dalam  perutusannya hari ini, Anwar berkata kerjasama itu perlu diteruskan di peringkat kerajaan negeri dan parlimen, meskipun Pakatan tidak lagi berfungsi secara formal.

“Saya mengikuti perkembangan terkini yang telah menjejaskan gabungan formal Pakatan Rakyat.

“Namun secara (substance) hakikat, kerjasama di antara ketiga-tiga parti diperingkat kerajaan-kerajaan negeri, dan di Parlimen demi menentang kerakusan dan ketidakdilan secara tegas terhadap kerajaan Barisan Nasional masih kekal diteruskan.

“Saya ingin menggesa rakan-rakan untuk menumpukan sepenuh perhatian menjadikan kerajaan negeri Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan yang menunjukkan kepedulian terhadap masalah rakyat berdasarkan Dasar Bersama Pakatan Rakyat,” ujarnya.

Anwar yang kini dijatuhi hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh mengirimkan pesanan itu menerusi Ahli Biro Politik KEADILAN, Sivarasa Rasiah.

“Rakyat kini menanggung beban kenaikan harga barang dan perlaksanaan GST.

“Pemimpin parti bersama dengan NGO-NGO perlu berganding bahu menuntut perubahan dan menolak kerakusan kuasa dan rasuah kerajaan BN,” tegasnya.

DAP pada 16 Jun lalu mengumumkan Pakatan tidak lagi wujud berikutan keputusan muktamar PAS meluluskan usul tanpa bahas bagi memutuskan hubungan dengan parti itu.

Keputusan untuk membubarkan Pakatan itu disambut dengan reaksi pelbagai termasuk daripada pemimpin Pas sendiri yang menganggap ia merupakan pandangan DAP.

Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali pula yakin Pakatan masih boleh diselamatkan meskipun adanya perbezaan antara ketiga-tiga parti terutama antara DAP dan PAS.

Ada atau tiada? Anwar pula berkias-kias

MALAYSIAKINI


 


Ketika ramai mahukan jawapan pasti berkaitan status terkini Pakatan Rakyat, pemimpin kanan PKR terus memberikan jawapan tidak jelas dan seperti mengelak-elak.

"Saya mengikuti perkembangan terkini yang telah menjejaskan gabungan formal Pakatan.

“Namun secara substance (hakikat), kerjasama antara ketiga-tiga parti di peringkat kerajaan-kerajaan negeri, dan di Parlimen demi menentang kerakusan dan ketidakadilan secara tegas terhadap kerajaan BN masih kekal diteruskan,” kata bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tiada penjelasan lanjut diberikan berhubung bentuk kerjasama jelas masa depan PKR, PAS dan DAP.

Malah, dalam kenyataan ringkas lima perenggan itu, Anwar hanya menggesa tumpuan diberikan di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan untuk menunjukkan kepedulian pada masalah rakyat berdasarkan dasar bersama Pakatan.

Dalam kenyataan sama, Anwar mengajak “pemimpin parti” bersama dengan NGO berganding bahu menuntut perubahan dan menolak dakwaan kerakusan kuasa dan rasuah kerajaan sedia ada.

Semalam, Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail juga memberikan jawapan kabur bahawa gabungan politik Pakatan tidak lagi berfungsi secara formal.

Bagaimanapun, Azizah yang juga isteri Anwar, berkata semangat dan permuafakatan Pakatan di Selangor dan Pulau Pinang terus kekal.

Dan atas semangat sama dan tertakluk kepada dasar bersama Pakatan, katanya, PKR akan terus memberikan sokongan kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob.

Setakat ini hanya DAP mengeluarkan kenyataan jelas bahawa Pakatan tidak wujud lalu susulan keputusan muktamar PAS awal bukan ini yang memutuskan hubungan dengannya.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang setakat ini masih berdiam diri manakala Majlis Syura parti Islam itu juga masih belum mengumumkan tarikh akan bersidang bagi menyelesaikan kemelut itu. 


Rabu, 17 Jun 2015

PKR mahu Pakatan Rakyat terus kekal

Keputusan mesyuarat telah diserahkan kepada Anwar Ibrahim untuk kelulusan.


rafizi,izzah,azmin,tia


PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak membuat keputusan memilih DAP atau Pas dalam mesyuarat Biro Politik pada Selasa.

Sumber parti memberitahu, pucuk pimpinan bersepakat supaya Pakatan Rakyat (PR) terus kekal bersama Pas dan DAP.

Namun, PKR mahu parti itu menjadi ketua dan dua lagi parti perlu berhenti membuat kenyataan menyerang antara satu sama lain.

Katanya, deraf hasil mesyuarat telahpun siap dan telah dihantar kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di Penjara Sungai Buloh untuk mendapatkan persetujuan.

“Perubahan mungkin ada jika ada arahan terbaru daripada Anwar,” katanya.

Keputusan PKR itu bagi menyelamatkan kerajaan PR di Selangor dan Pulau Pinang.

Sumber mengaku, krisis DAP dan Pas itu telah menyebabkan wujud dua kumpulan dalam PKR.

Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar lebih memihak kepada DAP manakala Mohamed Azmin Ali dan Tian Chua lebih kepada Pas.

Mat Sabu akui sukar menang PRU jika tak bergabung

Mohamad Sabu Mohamad Sabu
 
SINAR HARIAN
 

BUTTERWORTH - Bekas Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu mengakui bahawa DAP, Pas dan PKR sukar menang pilihan raya umum (PRU) akan datang jika ketiga-tiga parti itu tidak bergabung dalam kerjasama PR.

Beliau yang kini anggota biasa Pas, berkata kegagalan dalam penyatuan pakatan itu akan menyulitkan mereka untuk menawan Putrajaya.

Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata kerajaan-kerajaan negeri di bawah pakatan pembangkang perlu berusaha memulihkan hubungan mereka bagi menghadapi PRU akan datang.

"Berdasarkan pengalaman sebelum ini, kalau bersendirian susah untuk berjaya sebenarnya, kita ada pengalaman...maka bagi saya kena usahakan semula pakatan untuk hadapi pilihan raya akan datang," katanya di sini hari ini.

Ditanya pendirian DAP yang menyatakan bahawa PR tidak lagi wujud, Mohamad berkata ia pandangan DAP dan beliau yakin kepimpinan Pas pusat yang baharu akan membuat keputusan berhubung perkara itu.

Beliau yang enggan mengulas lanjut berhubung kemelut politik yang melanda pakatan pembangkang itu, berkata pihak media perlu mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu daripada Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung Pas.

Bagaimanapun Mohamad berkata hubungan peribadinya sebagai seorang kawan bersama DAP masih diteruskan dan berjalan seperti biasa.

Jawatankuasa kerja pusat DAP dalam mesyuaratnya pada Isnin mencapai kata sepakat berhubung Pakatan Rakyat tidak lagi wujud.

Ketika ditanya sama ada beliau akan meninggalkan Pas dan menyertai Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma), Mohamad berkata masih terlalu awal untuk memperkatakan mengenai perkara itu.

"Belum lagi, saya belum buat keputusan, sekarang saya masih ahli Pas," katanya.

Sementara itu di MARANG, Ketua Pemuda Pas Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata tindakan DAP mengisytiharkan bahawa PR sudah berakhir, menunjukkan sikap sebenar parti itu.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata secara peribadi beliau telah menjangkakan tindakan yang akan dilakukan parti itu yang bersungguh-sungguh untuk keluar dari PR.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis himpunan Istiqamah, Marang, malam tadi, beliau berkata parti itu telah membuat keputusan yang betul dan tidak memaksa parti lain mengikuti jejak langkahnya.

Nik Mohamad Abduh berkata PR telah lama berhadapan masalah akibat tekanan DAP ke atas Pas dan bila Pas bertahan dan tidak mahu jadi punca perpecahan kepada pakatan itu, DAP telah memilih jalannya sendiri. – Bernama

Selasa, 16 Jun 2015

Pakatan masih wujud, kata Nik Abduh

SINAR HARIAN


Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
 
 
 
KUALA LUMPUR - PR masih wujud dengan adanya kerjasama antara Pas dan PKR meskipun DAP mengisytiharkan gabungan tersebut tidak lagi wujud, kata Ketua Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Beliau berkata, PR ditubuhkan atas dasar kerjasama dan kesepakatan tiga parti berkenaan dan apa jua keputusan perlu dicapai secara bersama dan bukannya secara bersendirian.

"PR tidak 'habis' walaupun hilang satu. DAP lah habis...kita ada lagi PR, ada dua parti ke atas, maka gabungan itu wujud, ia bergantung kepada hubungan Pas dan PKR.

"Kita kekal dengan PR. Keputusan DAP bukan bubar PR...itu bermakna dia buat keputusan dia. Kita tidak keluar PR..Kalau dia tolak kita, kita ada PKR," katanya di lobi Parlimen hari ini.

Nik Abduh yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mengulas berhubung keputusan DAP hari ini mengisytiharkan PR yang terdiri daripada parti itu, PKR dan Pas tidak lagi wujud.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, keputusan yang dibuat susulan Muktamar Pas untuk memutuskan hubungan dengan DAP telah 'membunuh' pakatan itu.

Jawatankuasa eksekutif pusat DAP dalam mesyuaratnya semalam mencapai kata sepakat berhubung PR tidak lagi wujud.

Nik Abduh juga berkata, masa depan PR kini umpama di tangan PKR untuk diputuskan dan diselamatkan supaya krisis itu tidak terus berlanjutan.

Sementara itu, Naib Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata pihaknya akan membincangkan perkembangan terbaru itu dalam mesyuarat Biro Politik mingguan yang akan diadakan di ibu pejabat mereka di sini, malam ini.

"Saya mengambil maklum kenyataan DAP mengenai kedudukan DAP dan Pakatan Rakyat seperti yang ditandatangani oleh Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP sebentar tadi.

"Pimpinan Keadilan di semua peringkat tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan sehinggalah pendirian parti mengenai perkara ini dimuktamadkan," katanya dalam satu kenyataan. - Bernama


Formula Ku Li mungkin kembali, kata Zuhdi

MALAYSIAKINI


 


Walaupun DAP mengisytiharkan Pakatan Rakyat tidak lagi wujud, keadaan masih tidak jelas apabila pemimpin PAS kelihatan keberatan menerima perkembangan itu.

Selain beranggapan ia “pandangan DAP”, seorang pemimpin lantang PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata pengumuman DAP hari ini bermaksud parti itu keluar Pakatan.

Bagaimanapun, kata anggota jawatankuasa Pusat PAS itu, gabungan PAS-PKR tidak terjejas dan Pakatan sebenarnya masih kekal.

“Pakatan terus kekal dengan gabungan PAS dan PKR, sebagaimana pernah berlaku kepada Barisan Alternatif (BA) sebelum ini,” katanya merujuk peristiwa pada tahun 2002 itu.

DAP ketika itu keluar BA selepas pertelingkahan isu negara Islam yang digagaskan PAS.

Sementara itu, mengulas keadaan di Selangor, Zuhdi berkata PKR perlu membuat keputusan sama ada akan meneruskan gabungan dengan PAS dalam Pakatan atau tidak.

“Sekiranya PKR juga menarik diri dari Pakatan, maka tidak mustahil kerajaan negeri Selangor goyah,” katanya.

“Sekiranya PKR terus bersama PAS dalam Pakatan, maka mereka perlu menentukan sama ada menerima kehadiran DAP dalam Kerajaan Selangor atau tidak, di samping mereka juga perlu menentukan sama ada meneruskan sokongan kepada DAP di Pulau Pinang atau tidak.”

Pandangan peribadi

Keputusan itu, katanya lagi, bakal menentukan negeri mana yang menjadi goyah, kerajaan negeri Selangor atau kerajaan negeri Pulau Pinang.

Beliau juga berkata tidak mustahil formula Tengku Razaleigh Hamzah melalui dua barisan pembangkang akan dipakai semula di negara itu.

Parti Melayu Semangat 46 sekitar tahun 90-an memimpin barisan pembangkang melalui dua gabungan berbeza – Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan Gagasan Rakyat.

APU menyaksikan gabungan parti-parti Islam, termasuk PAS, sementara Gagasan Rakyat pula menyaksikan gabungan Semangat 46 dengan DAP, Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Parti Bersatu.

PAS belum menyatakan pendirian rasminya setakat ini. Seorang pegawai penerangan parti Islam itu menegaskan bahawa kenyataan Zuhdi itu cuma pandangan peribadi.

Bagaimanapun, kenyataan Zuhdi itu siarkan di Facebook Dewan Ulama dan yang hampir sama di organ rasmi PAS, Harakahdaily hari ini. 


Ahad, 14 Jun 2015

Azmin elak ulas isu hubungan PAS-DAP

MALAYSIAKINI


 


Menteri Besar Selangor Azmin Ali dilihat mengelak sama ada beliau bersetuju dengan keputusan muktamar PAS yang memutuskan hubungan parti itu dengan DAP.

Bagaimanapun, timbalan presiden PKR itu berkata keputusan yang dibuat dalam persidangan tahun terikat dan muktamad bagi semua parti politik, termasuk muktamar untuk PAS.

"Tetapi keputusan muktamar itu perlu dilaksanakan dalam konteks Pakatan Rakyat.

"Dan ia disebut dalam ucapan dasar Presiden dan diputuskan dalam muktamar," katanya kepada media selepas merasmikan majlis "Hijrah Selangor" di Bestari Jaya tengah hari ini.

MP Gombak dan ADUN Bukit Antarabangsa itu tidak menyatakan pendiriannya berhubung keputusan muktamar PAS walaupun diasak media.

Namun, Azmin membayangkan bahawa keputusan akhir PAS untuk memutuskan DAP, tidak terletak pada Majlis Syura Ulama tetapi muktamar.

Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din yang mengetuai badan tertinggi dalam PAS itu berkata, tiada mesyuarat yang diadakan sejak kepimpinan baru Majlis Syura dinamakan selepas mesyuarat jawatankuasa PAS diadakan minggu lalu.

Sehubungan itu, tiada keputusan rasmi dibuat oleh kepimpinan tertinggi PAS untuk membatalkan kerjasama politik dengan DAP yang terjalin sejak tujuh tahun lalu.