Jumaat, 23 Oktober 2009

Ibu muda lahir anak dalam pesawat AirAsia


Liew Siaw Hsia menerima replika kad penerbangan seumur hidup kerana selamat melahirkan bayi lelaki di dalam pesawat penerbangan AirAsia AK 6506 dari Pulau Pinang-Kuching di Putrajaya, semalam. - UTUSAn/Gambar : Zaki Amiruddin

UTUSAN ONLINE

PUTRAJAYA - Seorang ibu muda melalui saat-saat mendebarkan apabila melahirkan anak keduanya di dalam pesawat AirAsia yang dalam penerbangan dari Pulau Pinang ke Kuching, semalam.

Kebimbangan Liew Siaw Hsia, 31, itu lebih terasa bukan hanya kerana anak keduanya itu dalam peringkat pramatang tetapi tidak ditemani suami dalam penerbangan tersebut.

''Saya tidak menyangka ia boleh berlaku kerana saya tidak merasa tanda-tanda sakit untuk bersalin sebelum menaiki pesawat.

''Namun selepas 20 minit penerbangan, saya mula rasa sakit-sakit di bahagian bawah perut dan ketika itulah perasaan gemuruh datang kerana pesawat bukan tempat sesuai untuk bersalin," katanya.

Dia ditemui pemberita selepas menerima hadiah penghargaan AirAsia iaitu penerbangan percuma seumur hidup ke semua destinasi kepada Siaw Hsia dan bayinya di Hospital Putrajaya di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Operasi AirAsia, Moses Devanayagam.

Menceritakan lanjut detik-detik bersalin, Siaw Hsia berkata, dia membisikkan kepada penumpang di sebelahnya agar memaklumkan kepada krew pesawat bahawa dirinya akan melahirkan anak.

''Mereka meminta saya bertahan seketika kerana pesawat itu akan tiba di Terminal Penerbangan Murah (LCCT) di Sepang tidak lama lagi.

''Tetapi saya katakan saya tidak boleh bertahan lagi dan atas sebab itulah, mereka mengosongkan satu barisan kerusi untuk membolehkan saya bersalin," katanya.

Siaw Hsia berkata, dia bernasib baik kerana selamat melahirkan bayi dengan bantuan seorang doktor yang dikenali sebagai Ronald Tang yang juga salah seorang penumpang pesawat itu.

''Mula-mula rancang nak bersalin di rumah emak di Kuching tetapi saya gembira kerana anak kedua saya ini sihat dan kini dalam jagaan rapi Hospital Putrajaya," katanya.

Ditanya mengenai hadiah penghargaan dari AirAsia itu, dia menyifatkan ia hadiah paling istimewa untuk anak lelakinya itu.

''Saya amat gembira menerima hadiah ini," katanya yang mempunyai seorang lagi anak lelaki berusia tujuh tahun.

Tiada ulasan: