Jumaat, 23 Oktober 2009

Beli petrol RM300 seliter disiasat

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan membuat siasatan terhadap laporan Jabatan Audit Negara berhubung pembelian minyak petrol sehingga RM300 seliter di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Pulau Pinang.

Pengarah Kanan Bahagian Perdagangan Dalam Negeri, Datuk Ismail Ahmad berkata, siasatan berdasarkan laporan Audit Negara itu akan dilakukan oleh pihak Ketua Pengarah Penguatkuasaan kementerian tersebut.

"Syarikat yang menjual petrol dengan harga melebihi paras ditetapkan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan boleh dikenakan denda atau dibatalkan lesen atau kedua-duanya sekali," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Beliau menjelaskan demikian berhubung Laporan Ketua Audit Negara 2008 mengenai pembelian minyak petrol sehingga RM300 seliter.

Sementara itu Bernama melaporkan, Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Farizan Darus berkata, kenderaan yang mendapat teguran adalah PHK 42 (Proton Perdana), PGW 7744 (Bas) dan PCT 7777 (Bas).

"Sebenarnya pada masa itu, PGW 7744 dan PCT 7777 mengisi minyak melebihi RM200 kerana melakukan perjalanan yang jauh," katanya.

Semakan juga mendapati kad inden PHK 42 turut digunakan oleh PDC 7722 pada 23 Jun lepas berikutan kerosakan kad inden kenderaan itu.

Beliau berkata, teguran pembelian minyak dalam kuantiti yang tidak munasabah berpunca daripada kesilapan teknikal stesen minyak.

"Kedai berkenaan tidak meletakkan "unit price" di pam berkenaan setelah kenaikan harga minyak kepada RM2.70 seliter," katanya.

Tiada ulasan: