Khamis, 1 Oktober 2009

5 kampung dilanda hujan air batu

UTUSAN ONLINE


JERANTUT - Lebih 4,000 penduduk di lima kampung dan satu tanah rancangan Felda di Tembeling Tengah dekat sini gempar apabila kediaman mereka dilanda hujan air batu dalam kejadian ribut di Tembeling Tengah dekat sini kelmarin.

Kejadian pada pukul 7.40 petang itu mengakibatkan sekurang-kurangnya 40 rumah di Kampung Cebong, Kampung Pasir Sia, Kampung Air Hitam, Kampung Selimbar, Kampung Kekura dan Felda Sungai Retang rosak teruk akibat hujan air batu tersebut.

Kejadian selama 35 minit itu bermula dengan hujan lebat pada pukul 7.40 petang ketika umat Islam selesai menunaikan solat Maghrib disusuli angin kencang dan hujan batu bersaiz sebesar penumbuk orang dewasa.

Salah seorang penduduk Kampung Kekura, Siti Noriah Mohd. @ Mad Isa, 40, berkata, dia terkejut apabila hujan lebat dan ribut itu disusuli bunyi yang kuat seperti peluru menghujani bumbung rumahnya.

''Mendengar bunyi yang kuat pada bumbung dan ribut bertalu-talu, suami saya melaungkan azan untuk meredakan keadaan. Hanya Allah yang tahu perasaan keluarga kami ketika itu," katanya.

Siti Noriah berkata, angin kuat yang menerbangkan atap rumahnya menyebabkan ketulan ais berwarna putih bertaburan di ruang dapur dan halaman rumahnya.

''Kejadian ini merupakan kali pertama berlaku di kampung ini dan saya bersyukur walaupun rumah rosak teruk tetapi tiada kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Seorang lagi penduduk Kampung Cebong, Mariah Mat Taib, 50, berkata, dia yang tinggal bersendirian di rumah ketika kejadian, tiba-tiba terdengar bunyi kuat menimpa bumbung rumahnya.

''Bumbung bilik tidur rumah kami bocor dan cermin tingkap pecah dihujani air batu sebesar penumbuk orang dewasa," katanya.

Dalam keadaan cemas, kata Mariah, dia sempat mengutip ketulan ais yang tercampak di ruang tamu rumahnya.

Dia berharap pihak berkuasa dapat membantu untuk membaik pulih rumahnya kerana suaminya berpendapatan rendah.

Sementara itu, peneroka Felda Sungai Retang, Bakar Dollah, 66, berkata, semasa kejadian, dia dan isterinya yang sedang berehat dalam rumah melihat atap rumahnya diterbangkan angin manakala ketulan ais jatuh berselerakan di ruang tamu.

''Rasa cemas dan takut tidak dapat digambarkan lagi apabila mendengar dentuman ketulan ais selama setengah jam itu.

''Tanpa memikirkan keselamatan diri, kami segera menyelamatkan barang-barang penting sebelum kejadian lebih buruk berlaku," katanya.

Menurut Bakar, dia berharap pihak pengurusan Felda membantu menggantikan atap rumahnya atau menyegerakan pembinaan rumah barunya menerusi skim pinjaman perumahan yang diluluskan Felda baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak ketika melawat mangsa kejadian berkata, bencana itu merupakan pertama kali berlaku di kawasan tersebut.

''Saya memohon Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyalurkan bantuan bencana bernilai RM500 kepada setiap mangsa termasuk barangan keperluan seperti selimut, kain, bantal dan tikar," katanya.

Tiada ulasan: