PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menafikan kerajaan tidak bertanggungjawab dalam menangani isu kenaikan harga barangan.
Beliau sebaliknya berkata, kerajaan sentiasa mengambil tanggungjawab dalam memastikan tindakan yang sewajarnya dilakukan supaya rakyat tidak dibebankan.
Ismail Sabri berkata demikian susulan video berdurasi 15 saat yang memetik potongan ucapan beliau dalam satu majlis makan malam yang ditularkan di laman sosial sejak beberapa hari lepas dengan mendakwa kerajaan pimpinannya tidak bertanggungjawab terhadap kenaikan harga barangan.
“Disebar mengatakan kerajaan tidak mahu jawab apa masalah petani itu, itu tidak betul. Video itu diedit (potong) untuk tujuan manipulasi.
“Kerajaan tidak akan berlepas tangan dengan mengatakan bahawa ini adalah luar kawalan,” katanya menerusi catatan yang dimuat naik di Facebook, hari ini.
Perdana Menteri berkata seperti diumumkan beliau pada Majlis Makan Malam Persatuan Peladang Kebangsaan (NAFAS) 25 November lepas, kerajaan memperuntukkan RM262 juta untuk membantu golongan peladang iaitu RM62 juta untuk insentif racun dan pinjaman mudah sebanyak RM200 juta tanpa faedah dan moratorium selama enam bulan.
“Kalau dulu petani diberi RM200 sebagai insentif, sekarang ini kita tambah RM100 lagi menjadi RM300,” katanya.
Justeru, alasan harga perlu dinaikkan kerana kos pengeluaran meningkat disebabkan harga racun tinggi tidak boleh lagi digunakan, katanya.— BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan