Rabu, 1 Disember 2021

Terlalu banyak rantaian punca harga barang naik – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertanyakan sesuatu kepada peniaga sayur-sayuran ketika mengadakan tinjauan harga barang di Myfarm Outlet Kasih, Putrajaya, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

TERLALU banyak rantaian perniagaan untuk memperoleh keuntungan berlebihan disifatkan antara punca menyebabkan peningkatan harga barang yang berlaku ketika ini.

Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah pun mengarahkan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee mencari jalan memerangi orang tengah supaya dapat mengurangkan harga.

Kata beliau, perkara itu telah pun dilakukan sewaktu beliau menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menerusi program ‘Jihad Memerangi Orang Tengah’.

Pada masa sama, Perdana Menteri turut meminta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk memastikan kenaikan harga tidak disebabkan manipulasi peniaga.

“Saya lihat tadi kenaikan harga juga berpunca kerana terlalu banyak rantaian untuk mengaut keuntungan. Sebagai contoh, harga ayam daripada penternak ke pasar ini, setiap rantaian ada kos hingga menyebabkan bila sampai ke sini harga dah pun jadi RM8.30.

“Kita pun tak boleh salahkan peniaga di pasar kerana rantaian itu terlampau banyak sebab itu saya beritahu Ronald untuk lihat semula perangi orang tengah yang pernah saya lakukan dahulu supaya kita boleh potong rantaian itu bagi kurangkan harga.

“Saya faham rakyat marah, memang betul. Saya tak salahkan rakyat kerana harga begitu tinggi tetapi kita akan lakukan sesuatu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan harga barang di MyFarm Outlet Kasih Putrajaya, hari ini.

Menyentuh mengenai laporan harga ais dan roti yang dikatakan akan naik, Ismail Sabri berkata, harga ais tidak patut meningkat kerana tarif air dan elektrik kekal seperti biasa.

Kata beliau, tiada alasan bagi pengusaha ais menaikkan harga.

Bagi harga roti pula, Ismail Sabri mengakui kemungkinan kenaikan harga gandum yang diimport memberi kesan kepada peningkatan produk roti.

Bagaimanapun, beliau telah mengarahkan KPDNHEP untuk membuat kajian mendalam tentang peningkatan harga berkenaan.

“Saya dah beritahu KPDNHEP bahawa kita tak mahu dengan alasan. KPDNHEP mesti buat kajian dari segi kenapa kos itu meningkat.

“Sebagai contoh, berapa kos import, berapa harga di luar negara. Semua rantaian itu saya minta KPDNHEP buat kajian terperinci.

“Rakyat kena tahu dan kita juga kena telus tentang perkara ini,” jelas beliau.

Tiada ulasan: