Ramai mangsa banjir berkata mereka memerlukan bantuan tunai RM1,000 dijanjikan kerajaan dengan segera.
Penduduk Selangor yang terdesak untuk menggunakan bantuan tunai banjir dijanjikan kerajaan negeri berkata mereka memerlukan wang tersebut segera di samping berusaha menyelamatkan barangan peribadi selepas rumah dilanda banjir besar sehingga memusnahkan kawasan kejiranan berikutan hujan lebat selama beberapa hari.
Sebelum ini, Menteri Besar Amirudin Shari berkata proses pemberian bantuan RM1,000 tersebut akan dipermudahkan bagi mangsa banjir dengan pengumuman lanjut mengenainya akan dibuat pada Isnin.
Bagaimanapun, bagi Ili Fathirul yang tinggal di Batu 15, Hulu Langat, proses pemberian bantuan tunai itu mengambil masa yang terlalu lama.
“Terlalu lewat untuk umum pada Isnin depan hanya untuk muktamadkan proses pemberian bantuan tunai itu, terutamanya bagi mereka yang sangat memerlukan wang,” katanya kepada MalaysiaNow.
“Kami orang kampung. Ada yang tinggal di kawasan ini golongan miskin, dan mereka kehilangan hampir segala-galanya.”
Ili adalah antara mangsa yang menyaksikan rumahnya musnah akibat banjir.
Dia hanya dapat menyelamatkan sebuah televisyen dan meja makan.
Sementara barangan lain terpaksa dibuang.
Dia berkata jika wakil kerajaan negeri dapat melawat kawasan yang terjejas dan mengagihkan bantuan tunai, ia akan banyak membantu mereka berbanding mengarahkan mangsa banjir pergi ke bank atau ke pusat-pusat pengagihan seumpamanya.
“Ramai daripada kami kehilangan kereta dan motor, sukar untuk kami bergerak.
“Kami bernasib baik ramai orang luar yang datang hulurkan bantuan,” katanya.
Ahmad Zambri yang bekerja di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut menanggung kerugian akibat banjir tersebut.
Dia bersetuju dengan cadangan supaya kerajaan menghantar wakil ke kampung-kampung terjejas di Hulu Langat bagi mengagihkan bantuan tunai tersebut.
“Ia akan ringankan beban mangsa-mangsa banjir.
“Sebagai seorang penjawat awam, saya faham proses itu memakan masa.
“Namun kita boleh cuba mudahkan mangsa-mangsa ini kerana mereka tiada masa atau kenderaan untuk bergerak,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Noraini berkata dia sudah tua dan bergantung dengan anak perempuannya untuk bergerak.
Katanya, tempoh seminggu itu terlalu lama untuk menunggu bantuan tiba.
“Saya harap sebarang bantuan sampai pada kami dengan lebih cepat kerana kami sangat memerlukannya.
“Kebanyakan kami sudah hilang hampir segala-galanya. Kami perlu beli banyak barang untuk ganti barangan yang sudah hilang, terutama barang-barang keperluan asas seperti makanan dan barangan untuk kerja pembersihan,” jelasnya.
Penduduk Hulu Langat adalah antara ramai yang berpandangan proses untuk mendapatkan bantuan tunai itu terlalu rumit kerana perlu pergi ke banyak agensi bagi menerima wang bantuan tersebut.
Ada juga yang merungut di media sosial selepas diberitahu perlu menunjukkan bil elektrik dan air sebagai bukti mereka tinggal di alamat kawasan yang terjejas.
Awal pagi tadi, Naib Canselor UKM Hanafiah Harunarashid yang dilihat turun ke lapangan bagi menghantar bantuan kepada mangsa banjir di Hulu Langat bersama pasukannya berkata ramai mangsa memerlukan alatan pembersihan, bantal dan selimut selain barangan lain untuk rehat dan tidur.
“Orang ramai takut untuk tinggalkan rumah mereka tanpa ada yang menjaga.
“Ramai yang pilih untuk berada di rumah masing-masing, namun mereka tiada bantal atau selimut.
“Tempat lain pula masih tiada bekalan air, kalau ada pun, tekanan air terlalu kecil sedangkan ramai yang perlukan air untuk cuci rumah mereka,” kata Hanafiah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan