Orang ramai disaran ambil dos penggalak, patuhi SOP
BANGI – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyarankan orang ramai untuk mengambil dos penggalak susulan kebimbangan terhadap penularan varian baharu COVID-19, Omicron.
Ini kerana, beliau berkata, varian yang pertama kali dikesan di Afrika Selatan itu berkemungkinan sudah berada dalam komuniti.
Katanya, sebanyak 62 kes Omicron telah disahkan dengan jujukan genomic penuh, manakala 94 kes lagi telah dikesan namun belum disahkan dan ujian penuh sedang dijalankan.
Serentak itu, Dr Noor Hisham menggesa orang ramai untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan amalkan kaedah ‘TRIIS’ walau di mana pun berada.
Untuk makluman, kaedah TRIIS adalah uji, lapor, asing, maklum dan dapatkan rawatan.
Individu yang mengalami gejala jangkitan seperti hidung berair, demam atau batuk perlu segera lakukan ujian pengesanan COVID-19 secara kendiri dan melaporkan keputusan – sama ada negatif, positif atau tidak sah – secepat mungkin di aplikasi MySejahtera.
Lakukan pengasingan kuarantin kendiri dengan segera dan penuh disiplin sekiranya positif COVID-19, selain mematuhi perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Selain itu, pesakit perlu memaklumkan kepada kontak rapat dan ahli keluarga terdekat sekiranya positif, termasuk kepada pihak berkuasa kesihatan atau Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) berhampiran sekiranya situasi kesihatan diri semakin merosot ketika kuarantin kendiri di rumah.
Dapatkan rawatan segera di pusat perubatan atau CAC berhampiran sekiranya gejala bertambah teruk seperti kesukaran bernafas atau demam panas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan