Rabu, 1 Disember 2021

Omicron: Kemasukan pelajar antarabangsa, pekerja asing ditangguhkan

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengadakan sidang media di Kementerian Kesihatan, Putarajaya, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil beberapa langkah keselamatan susulan kewujudan varian baharu Omicron termasuk menangguhkan sementara kemasukan pelajar antarabangsa dan pekerja asing ke Malaysia.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ia melibatkan pelajar antarabangsa dan pekerja asing dari negara-negara yang disenarai berisiko wujudnya Omicron.

Selain itu, beliau berkata, sistem pagar automatik Jabatan Imigresen Malaysia di lapangan terbang juga akan diberhentikan sementara serta-merta.

Menurut Khairy, arahan itu bagi membolehkan pegawai Jabatan Imigresen menyoal pengembara mengenai sejarah perjalanan mereka.

Khairy memaklumkan, penerbangan yang membawa penumpang dari negara yang melaporkan penularan Omicron atau negara berisiko tinggi hanya dibenarkan masuk ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sahaja.

“Pihak Malaysian Airports Holdings Berhad (MAHB) pula perlu menyediakan laluan khas bagi penerbangan tersebut.

“Syarikat penerbangan juga bertanggungjawab mengenal pasti pengembara dari negara yang melaporkan Omicron atau negara berisiko tinggi yang menaiki penerbangan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar hari ini.

Sementara itu, Khairy turut memaklumkan pelancong dari negara yang melaporkan Omicron atau negara berisiko tinggi atau yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara-negara berkenaan dalam tempoh 14 hari tidak dibenarkan menyertai program gelembung pelancongan antarabangsa Langkawi.

Katanya, warganegara Malaysia iaitu penduduk Langkawi yang pulang dari negara-negara tersebut pula dibenarkan memasuki Malaysia melalui KLIA dan perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin khas.

“Pelancong asing yang disahkan positif COVID-19 Omicron pula akan diisolasi di hospital swasta dan perlu menanggung sendiri kos rawatan,” jelas beliau.

Tiada ulasan: