MAJLIS Amanah Rakyat (Mara) memberi kelonggaran bagi penjadualan semula bayaran balik pinjaman pelajaran dan perniagaan ekoran situasi bencana banjir yang melanda negara.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peniaga yang terjejas juga akan diberikan pengecualian bayaran sewaan premis perniagaan.
Menurut beliau, insentif bayaran balik pinjaman tersebut merupakan tanda keprihatinan Mara terhadap kepayahan dan kerugian yang ditanggung penerima kemudahan yang terjejas akibat bencana berkenaan.
“Bagi mereka yang menjadi mangsa banjir dan terkesan dengan bencana itu, boleh memohon kelonggaran tersebut dengan menghubungi Pejabat Mara Negeri atau Daerah berhampiran.
“Mara juga tidak akan meneruskan sebarang tindakan penguatkuasaan ke atas peminjam kemudahan yang terkesan akibat bencana banjir yang melanda kali ini.
“Bagi penyewa premis perniagaan Mara pula, pertimbangan pengecualian bayaran sewa adalah berdasarkan kerosakan dan kerugian yang ditanggung penyewa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mahdzir turut berharap insentif itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban peminjam terutama usahawan dalam memulihkan kembali operasi dan aliran tunai syarikat.
“Kita juga amat bersimpati dengan musibah bencana banjir yang melanda kali ini dan berharap agar semua mangsa yang terkesan dapat bersabar dengan ujian terpaksa dihadapi ini,” kata Mahdzir.
Peminjam yang terkesan boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan
insentif bencana banjir dengan melayari laman sesawang
https://www.mara.gov.my.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan