Isnin, 6 Disember 2021

Lebih 4,000 penumpang dari Singapura masuk Malaysia melalui darat sepanjang 5 hari VTL

MALAYSIA NOW

Jumlah itu adalah sekitar 60% daripada kuota yang dibenarkan.

Lebih 4,000 orang penumpang dari Singapura ke Malaysia melalui darat dalam tempoh lima hari pertama program Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) yang bermula minggu lepas.

Menurut pihak berkuasa imigresen Singapura, 4,343 penumpang masuk ke Malaysia di bawah VTL-Land setakat Jumaat lalu, jauh lebih banyak daripada jumlah perjalanan ke arah bertentangan.

Di bawah skim VTL, maksimum 2,880 orang sehari dibenarkan menyeberangi sempadan Singapura-Malaysia.

Akhbar Singapura The Straits Times berkata 4,343 pelancong yang memasuki Malaysia mewakili kira-kira 60% daripada kuota yang dibenarkan, berbanding 690 atau 9.5% menuju ke Singapura.

Program VTL untuk perjalanan darat dan udara bermula pada 29 November, membenarkan pergerakan rentas sempadan antara kedua-dua negara buat kali pertama dalam tempoh hampir dua tahun.

Menurut Reuters, seramai 300,000 rakyat Malaysia telah berulang-alik setiap hari ke negara kota itu sebelum wabak melanda.

Pelaksanaan VTL membenarkan sehingga 1,440 pengembara yang telah lengkap divaksinasi untuk melakukan perjalanan jika mereka memegang kewarganegaraan, pemastautin tetap atau visa jangka panjang di negara destinasi, tanpa menjalani kuarantin.

The Straits Times berkata sejumlah 2,771 pelancong telah memasuki Singapura dari Malaysia melalui udara dalam tempoh lima hari pertama skim VTL.

Satu kes Covid-19 dikesan di pintu masuk Tambak Johor pada 29 November, namun Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata ia tidak akan menjejaskan pelaksanaan VTL.

“Sebaliknya, ia harus menjadi contoh bagaimana ujian pra-perlepasan dan semasa ketibaan dan seumpamanya sebagai langkah pencegahan yang perlu diambil,” katanya.

Tiada ulasan: