BERNAMA
Pusat itu akan beroperasi 24 jam sehingga pusat penempatan sementara ditutup.
Pusat operasi medan kementerian kesihatan (KKM) di Taman Sri Muda, Seksyen 25 yang dibuka sejak Isnin, mampu memberi rawatan kepada 50 pesakit sehari dan turut menempatkan doktor pakar kecemasan serta 10 katil.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pusat operasi itu yang pertama dibuka KKM sebagaimana yang dicadangkan oleh menterinya, Khairy Jamaluddin susulan lawatan di kawasan tersebut Ahad lepas.
“Pusat operasi ini berfungsi seolah-olah bilik kecemasan mini di lapangan. Ini penting untuk kita bagi perkhidmatan yang terbaik,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di Taman Sri Muda, kawasan yang terjejas teruk akibat banjir, hari ini.
Beliau berkata pusat itu akan merawat kes-kes ringan dan membekalkan ubat untuk penduduk yang kehabisan bekalan ubat supaya tidak perlu ke hospital.
“Hanya kes-kes yang perlu rawatan rapi atau pendarahan serta kes-kes berat akan kita bawa ke hospital, namun kita akan beri rawatan awal terlebih dahulu di sini,” katanya.
Noor Hisham berkata pusat itu akan beroperasi 24 jam sehingga pusat penempatan sementara ditutup.
Beliau berkata tiga lagi pusat operasi di lapangan telah dirancang untuk dibuka di kawasan yang terjejas banjir di Selangor.
Selain itu, katanya KKM akan bekerjasama dengan hospital swasta yang terlibat dalam memberi bantuan kepada mangsa banjir bagi memastikan bantuan terbaik dapat diberikan kepada penduduk.
“Sekarang kebimbangan kita adalah selepas banjir kerana mungkin penyakit berjangkit akan menular seperti kencing tikus, cirit-birit dan keracunan makanan,” katanya.
Oleh itu, beliau menasihati mangsa banjir agar menjaga kebersihan serta terus mematuhi prosedur operasi standard untuk mengelakkan jangkitan Covid-19.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan