Rabu, 8 Disember 2021

Kes mungkin naik hujung tahun sebab ramai bercuti

KOTA KINABALU: Kes COVID-19 di Sabah dibimbangi naik semula menjelang hujung tahun ini, berikutan ramai keluarga bercuti atau membeli-belah di tempat yang ramai pengunjung.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata ia disebabkan jangkitan sporadik terutama jika tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Berikutan itu, beliau mengulangi peringatannya kepada orang ramai di Sabah supaya sentiasa mematuhi SOP dan nasihat Kementerian Kesihatan sama ada sudah menerima vaksin lengkap atau tidak.

"Kita tahu ramai keluarga mengambil peluang bercuti atau membeli-belah di tempat yang lazim dikunjungi ramai pada hujung tahun dan ini membimbangkan kita kemungkinan kes COVID-19 naik semula.

"Ini kerana risiko jangkitan COVID-19 secara sporadik di tempat sesak amat tinggi dan ini dibuktikan dengan peratusan kes sporadik hari ini (semalam) yang mencecah hampir 44 peratus.

"Malah, 75 peratus kes baharu di Sabah hari ini (semalam) adalah dalam kalangan mereka yang sudah lengkap divaksin," katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Semalam, Sabah merekodkan 306 kes baharu COVID-19, meningkat semula sebanyak 36 kes selepas turun ke paras terendah dalam tempoh lima bulan dengan catatan 271 kes, kelmarin.

Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, berkata daerah Kota Kinabalu juga kembali menjadi penyumbang utama kes harian di Sabah semalam dengan 47 kes, naik sembilan kes berbanding kelmarin.

"Daerah Penampang pula mencatat 37 kes baharu iaitu bertambah 18 kes, Ranau naik 12 kes kepada 20 kes dan di Papar bertambah 11 kes kepada 26 kes.

"Hanya beberapa daerah mencatat penurunan iaitu Tuaran turun 11 kes kepada 34 kes dan Putatan susut 22 kes kepada 11 kes. Lima daerah iaitu Kalabakan, Nabawan, Kunak, Kinabatangan dan Semporna tidak mencatat sebarang kes baharu," katanya.

Daripada 307 kes semalam, katanya sebanyak 295 pesakit berada dalam Kategori 1 dan Kategori 2, manakala dua pesakit dalam Kategori 3, empat pesakit dalam Kategori 4 dan dua pesakit dalam Kategori 5.

Tiada ulasan: