Jika bekalan menepati permintaan pastinya harga barangan akan kembali turun.
Isu kekurangan bekalan dan tenaga kerja merupakan punca utama kenaikan harga barangan asas seperti ayam dan sayur-sayuran kata Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Ameer Ali Mydin.
Beliau berkata, sekiranya masalah itu dapat ditangani kerajaan, sudah tentu isu kenaikan harga barangan akan selesai terutama apabila bekalan menepati permintaan.
Mengulas mengenai kenaikan mendadak harga ayam dan sayur-sayuran baru-baru ini, Ameer menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan fakta dan penjelasan yang jelas mengapa ia berlaku.
“Kalau cakap mengenai sayur brokoli, kubis bunga atau lobak, ini semua barangan import. Harganya memang naik di negara mereka atas pelbagai faktor, jadi tak boleh nak marah menteri KPDNHEP,” katanya dalam program “Dialog Tiga Penjuru” anjuran Astro Awani malam ini.
“Manakala kenaikan harga sayur tempatan seperti kobis dan timun yang ditanam di Cameron Highlands pula disebabkan kejadian banjir dan tanah runtuh.”
Justeru, Ameer berkata, masalah tersebut menyebabkan kekurangan bekalan dan tenaga kerja menjadikan ia isu yang bukan terletak di bawah kementerian perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna.
“Semua orang salahkan ‘orang tengah’ tetapi isu sebenarnya pengusaha tanaman tidak boleh teruskan aktiviti bertanam disebabkan tiada pekerja.
“Jadi perlu cari jalan untuk naikkan bekalan kerana akan turunkan harga,” katanya dan menambah kerajaan boleh pertimbang untuk sediakan tanah terbiar untuk diberi kepada golongan tersebut usahakan tanaman yang lebih banyak.
Mengulas lanjut, Ameer berkata, indeks harga makanan yang dinyatakan menerusi laporan
Pertubuhan Makanan dan Pertanian, menunjukkan harga komoditi makanan di peringkat global pada masa ini adalah lebih rendah berbanding 2011 dan 2008.
“Kenaikan ini amat terasa kerana harga tersebut naik secara tiba-tiba, namun itulah fenomena yang berlaku di peringkat global.”
Sementara itu, Ameer turut menjelaskan kebanyakan peniaga sangat terjejas ekoran penularan Covid-19 dan mereka masih berusaha untuk mengimbangi kerugian yang dialami sejak tahun lalu.
Katanya, pelaksanaan penjarakan sosial di kedai makan, contohnya, akan menyebabkan kedai itu tidak beroperasi dengan kapasiti penuh sekali gus menjejaskan pendapatan.
“Mungkin ada peniaga yang cuba ambil keuntungan melampau, tetapi tidak semua begitu.
“Keadaan sekarang sangat mencabar, jadi kos perniagaan agak terjejas,” tambahnya.
Sementara ituMenteri KPDNHEP Alexander Nanta Linggi, menegaskan kementerian itu terus melaksanakan pemantauan harga dan sesi libat urus bagi memastikan harga barangan asas tidak naik secara mendadak.
Bagaimanapun, beliau akui kementerian tidak mampu untuk menangani isu ini secara sendirian dan meminta orang ramai supaya melaporkan kepada pihak berkuasa jika mendapati peniaga menaikkan harga secara sesuka hati.
“KPDNHEP secara sendirian tidak boleh tangani isu ini secara bersendirian. Bagaimanapun, kami boleh beri jaminan dari segi penguatkuasaan undang-undang.
“Sebab itu perlu lapor kepada KPDNHEP jika tahu sebarang maklumat. Kami akan siasat,” tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan