SHAH ALAM: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor, Sabah dan Sarawak diminta berwaspada susulan amaran hujan lebat berterusan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) serta mengambil tindakan awal untuk membuka Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) bermula hari ini.
JBPN negeri terbabit juga turut diminta memaklumkan kepada semua agensi-agensi responder untuk berada dalam keadaan siap siaga termasuklah persediaan dalam pembukaan pusat pemindahan sementara (PPS) dan penyelarasan bantuan dari badan bukan kerajaan (NGO).
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr Aminuddin Hassim, berkata setiap PKOB negeri telah diarah mengemukakan laporan bagi kawasan-kawasan yang masih mengalami banjir dan yang telah surut.
"Semua PKOB terbabit bekerjasama dan memaklumkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) keperluan untuk atur gerak pam bagi operasi mengeluarkan air di kawasan banjir genang.
"NADMA telah dan sedang menyelaras bantuan-bantuan logistik yang diperlukan, antaranya membawa unit pam JPS dari Ipoh ke Taman Sri Muda di Shah Alam dan Mentakab, Pahang," katanya pada sidang media harian Ops Murni di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Aminuddin berkata, berdasarkan analisis situas, METMalaysia menjangkakan luruan monsun pada 27 hingga 31 Disember ini dan pada masa sama, terdapat sistem cuaca tekanan rendah di Laut China Selatan.
"Keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan berterusan di Sabah Timur, Sarawak Barat pada 27 Disember hingga 31 Disember serta di kawasan-kawasan Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan pada 30 dan 31 Disember. Ini adalah titik persiapan untuk kita terus menyusun responder dalam melihat keadaan ini.
"JPS melaporkan kebanyakan sungai di Pahang berada pada tahap normal kecuali di hilir, khususnya di kawasan Bera dan Maran yang masih mencatatkan paras tinggi, namun berada pada trend menurun kerana air bergerak turun," katanya.
Beliau berkata di Pekan, paras air dilaporkan naik di Paloh Hinai dan boleh meningkat ke paras bahaya sekiranya air dari hulu tiba, manakala di Terengganu, paras air sungai berada pada tahap normal dan Kelantan hanya merekodkan satu lokasi masih berada pada paras amaran, iaitu di Rantau Panjang berikutan banjir genang.
"Di Selangor, semua sungai kembali kepada paras waspada tengah hari tadi dan pengoperasian pam sebanyak 22 unit masih diteruskan untuk mengeluarkan air dari kawasan banjir genang, khususnya di Sepang, Labu Lanjut dan Kuala Selangor," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan