Kekalkan integriti tak terima habuan, jangan sekongkol dengan kartel
BANGI – Pendedahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung kewujudan kartel di pelbagai peringkat dalam kalangan pegawai Imigresen, sehingga menjejaskan tahap integriti jabatan sangat memalukan.
Situasi itu sangat menyedihkan berikutan yang terbabit adalah barisan hadapan kerajaan yang dipertanggungjawabkan dengan satu amanah amat besar.
Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar mempersoalkan sekiranya agensi seperti Jabatan Imigresen Malaysia pun dapat dibolosi, siapa lagi yang boleh dipercayai.
“Amat menyedihkan, mereka yang terbabit ini tanpa rasa malu hidup bergelumang dengan rasuah, selain salah guna kuasa.
“Pegawai kerajaan sebegini yang sanggup mencemari etika dan tanggungjawab penting dalam urusan penguatkuasaan undang-undang, menjaga pertahanan dan keselamatan negara, selayaknya dianggap pengkhianat negara,” katanya menulis di Berita Harian, hari ini.
Mengulas lanjut Akhbar menjelaskan, isu itu sudah lama menjadi ‘rahsia terbuka’ susulan terdapatnya sindrom kartel yang bersekongkol dengan anggota Jabatan Imigresen dalam hal berkaitan salah guna kuasa, penyelewengan dan ketirisan hasil kerajaan.
Atas dasar itu, kerajaan perlu melakukan sesuatu untuk membersihkan nama negara yang sudah tercalar sehingga mampu menghakis kepercayaan masyarakat, serta merosakkan imej kerajaan di mata dunia.
Tegas beliau, apa berlaku April lalu lebih menggerunkan apabila sindiket dengan kerjasama ‘orang dalam’ dilapor berjaya menggodam pangkalan data Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) dengan memasang transmitter (alat pemancar) untuk membolehkan anggota sindiket menukar kata laluan pegawai imigresen, seterusnya mencetak Pas Lawatan Kerja Sosial (PLKS) daripada pusat operasi mereka di luar pejabat imigresen.
Pencerobohan yang berlaku ke dalam pangkalan data agensi kerajaan dan jelas membabitkan isu kebocoran keselamatan yang sangat serius.
“Ini kerana, keupayaan ahli sindiket menggodam sistem komputer imigresen membolehkan mereka mencetak PLKS dan menjualnya kepada warga asing yang bekerja secara haram di negara ini.
“Sebenarnya, gejala rasuah seperti didedahkan Menteri Dalam Negeri itu sudah banyak kali berlaku.
“Sebagai contoh, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), terdapat lebih 30,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) dibenarkan masuk ke negara ini dengan begitu mudah.
“Oleh kerana segelintir anggota Imigresen yang tidak berintegriti dan tidak amanah menerima suapan, akhirnya keselamatan dan pertahanan negara tergugat, malah sempadan negara turut dikompromi,” kongsinya.
Beliau berpandangan, selaku agensi penting negara, Jabatan Imigresen perlu sentiasa mengekalkan integriti dengan tidak menerima habuan, apatah lagi bersekongkol dengan mana-mana kartel atau sindiket.
“Kita perlu ingat kartel atau sindiket hanya memberi habuan serendah RM100 atau RM200 (sebagai contoh) kepada pegawai tidak bertanggungjawab, tetapi mereka untung beratus juta ringgit.
“Lebih merisaukan, impak negatif kepada keselamatan negara adalah tinggi, jika berkhidmat dengan jujur dan mempunyai integriti tinggi, budaya kartel dan sindiket dapat dihindar”ujarnya.
Beliau dalam masa, mempersoalkan apakah penjawat awam yang terlibat tidak mempunyai semangat sayangkan negara sehingga sanggup membiarkan PATI dan orang luar memasuki negara tanpa dokumen?
Justeru itu, beliau mencadangkan exit policy atau dasar keluar bersesuaian perlu difikirkan segera supaya fungsi penyelaras Ops Bersepadu sedia ada perlu diambil alih agensi bersesuaian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan