Ahad, 26 Disember 2021

Banjir: Beberapa kawasan dijangka alami tekanan air rendah

Oleh DIANA SURYA ABD WAHAB

KUANTAN: Hampir semua loji rawatan air (LRA) di beberapa daerah yang mengalami banjir di negeri ini kembali beroperasi sepenuhnya bagi membekalkan air kepada pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip), Saiful Zaini Mohd. Bokhari berkata, namun dalam masa yang sama loji-loji berkenaan masih dalam proses pemulihan. 

Menurutnya, pengoperasian LRA akan pulih sepenuhnya secara berperingkat dalam waktu terdekat.

“Beberapa kawasan dijangka mengalami keadaan tekanan air rendah. Ini kerana penggunaan air yang terlalu tinggi secara serentak bagi tujuan pembersihan rumah atau premis yang terjejas akibat banjir boleh menyebabkan tekanan menjadi perlahan.

“Selain itu, antara faktor lain tekanan menjadi rendah apabila disebabkan kejadian tanah runtuh di beberapa kawasan hingga menyebabkan jajaran paip terputus atau pecah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Saiful Zaini menasihatkan pengguna menggunakan air secara bijak dan berhemah.

Katanya, orang ramai boleh melayari laman sesawang Paip di www.paip.com.my dan Telegram, Notis Gangguan Bekalan Air Negeri Pahang untuk mendapatkan maklumat mengenai sebarang notis  gangguan bekalan air.

Orang ramai juga boleh hubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 09-573 9999 bagi sebarang pertanyaan dan aduan. – UTUSAN ONLINE 

Tiada ulasan: