Jumaat, 24 Disember 2021

Ayob Khan kembali ke Bukit Aman terajui JSJN

ayob khan
AYOB KHAN MYDIN PITCHAY

KETUA Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay kembali semula ke Bukit Aman apabila dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) berkuat kuasa 25 Januari depan.

Ayob Khan, 55, akan menggantikan Datuk Razarudin Husain yang telah dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara berkuat kuasa Ahad ini.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Deputi Komisioner Ruslan Khalid dalam kenyataan memaklumkan, jawatan dipegang Ayob Khan selaku Ketua Polis Johor pula akan diisi Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Integriti) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Bukit Aman, Wan Hassan Wan Ahmad pula dilantik menggantikan Kamarul Zaman.

“Kesemua pertukaran jawatan ini berkuat kuasa 25 Januari 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.

April lalu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan nama Ayob Khan telah dicadangkan sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang baharu.

Namun, perkara itu tidak berlaku apabila Datuk Seri Abd. Jalil Hassan dilantik mengisi jawatan berkenaan, Jun lalu.

Anak jati Kedah itu telah memegang jawatan sebagai Ketua Polis Johor sejak 6 Mac 2020.

Sebelum bertukar ke Johor, Ayob Khan pernah menyandang jawatan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman sejak 11 Ogos 2016.

Ketegasan beliau dalam membanteras jenayah dan kejujuran melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan telah membuatkan orang ramai memandang tinggi usaha yang dilakukannya.

Tiada ulasan: