Khamis, 2 Disember 2021

9,551 kematian akibat Covid-19 di Selangor, Melayu tertinggi

SEBANYAK 9,551 kes kematian akibat Covid-19 dicatatkan di Selangor dari Januari hinga 2 November lalu jika dibandingkan hanya 66 kes kematian pada 2020.

Kaum Melayu merekodkan kes kematian tertinggi mengikut pecahan kaum untuk tempoh sama dengan 4,696 kematian.

Menurut EXCO Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita & Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, daripada 9,551 kematian itu, sebanyak 7,833 kes melibatkan warganegara manakala 1,718 lagi kematian bukan warganegara.

“Kadar kematian tertinggi direkodkan pada Julai serta Ogos lalu dengan masing-masing 3,034 dan 2,452 kes melibatkan kematian warganegara.

“Bagi tempoh sama, kematian pesakit bukan warganegara adalah 613 kes pada Julai manakala Ogos sebanyak 823 kes” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Lee Kee Hiong (PH-Kuala Kubu Bharu) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.

Dr Siti Mariah dalam pada itu memberitahu, mengikut data Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), jumlah kematian mengikut pecahan kaum bagi tempoh sama adalah 4,696 kes bagi Melayu, Cina (1,800), India (1,285) dan lain-lain (52).

Selain itu, sebanyak 775 kes kematian adalah dalam kalangan mereka yang sudah lengkap dua dos vaksin berdasarkan rekod JKNS dari 1 Jun hingga 30 September lalu.

Tambahnya, ini bermakna, sebanyak 9.1 peratus kematian akibat Covid-19 bagi tempoh Jun hingga September 2021 di Selangor adalah dalam kalangan mereka yang lengkap divaksin.

Tiada ulasan: